Wednesday, April 28, 2010

Seni Dan Emosiku (Memori Bawah Pokok Getah)

Jiwa saya sebati dengan seni. Saya mencintai hampir semua karya seni. Muzik, puisi, drama, tari bahkan seni memasak sekalipun.

Keluar sahaja dari perut ibu, saya disogok oleh suara mak dengan lagu seperti 'gurindam jiwa', tudung periuk, dan banyak lagi. Ketika masih disekolah rendah lagi, saya sudah pandai berfikir cara untuk menghilangkan kebosanan apabila setiap hari terpaksa berada ditengah-tengah kebun getah yang telinga saya sudah lali dengan dengungan nyamuk dan agas lalu apa lagi, saya pun melalak sekuat hati tanpa segan silu kerana tiada seorang pun peduli atau memerli.

Saya ingat lagi lagu Mazuin Hamzah yang sangat top ketika itu iaitu lagu Cinta Palsu. Memang lagu itu jadi persaingan hebat buat nyamuk-nyamuk dikebun getah milik arwah ayah.Walaupun saya tahu dengungan nyamuk tak sesumbang alunan lagu-lagu top yang kerap saya nyanyikan.Sebab itu sampai sekarang saya hanya minat mendengar lagu bukan minat menyanyi.Terlalu minat sehingga mungkin mencecah ribuan buah lagu yang saya minati.

Samada lagu lama atau baru, saya kagum kerana kebanyakan melodinya sangat indah, meskipun lagu-lagu yang dihasil oleh pengiat seni itu adalah dari zaman tok kadok hingga zaman sekarang namun sentiasa sedap didengar seolah-olah sepanjang panjang zaman para pencipta lagu tidak pernah ketandusan idea.

Kadang-kadang bila jemu menyanyi, saya mencuba bakat untuk berlakun pula. Ditengah-tengah kesuraman kebun yang cahaya matahari cuma berjaya melalui celah-celah dahan itu, saya bercakap sorang-sorang dengan susu getah, daun getah kering dan pisau menoreh.Bila teringat puisi-puisi dari buku-buku sastera kakak sulung yang dah berulang kali saya baca sehingga hampir semua isi kandungan buku, saya hafal maka, apa sahaja yang terjangkau oleh pandangan mata saya waima sebiji baldi yang digunakan untuk mengisi susu getah pun saya boleh mendapat ilham untuk mencipta bait-bait puisi.

Minat menari pulak timbul bila saya sering dibawa kakak dan ibu menonton joget lambak dan tarian kuda kepang di pertunjukan pancaragam di rumah-rumah orang kahwin.

Bukan setakat nakal tetapi sangat nakal. Akibat kenakalan saya yang suka mencuri beras, bawang, ikan bilis, minyak tanah dan sebagainya untuk saya bawa ke tengah-tengah kebun semata-mata takut ternampak oleh mak saya dan bimbang projek main masak-masak saya kantoi, maka saya kini boleh berbangga dengan kebolehan saya memasak setaraf dengan chef-chef yang mempunyai ijazah.

Banyak lagu yang saya upload dan puisi yang saya hasilkan dalam blog baru-baru ini, seolah-olah menggambarkan emosi saya yang merindu, kecewa dan pilu. Ternyata walaupun ianya adalah gambaran kisah cinta orang lain, tetapi saya dapat merasai segala kepiluan itu. Saya dapat memasuki dan menghayati perasaan tersebut. Namun sedikit sebanyak ada yang menyentuh tentang kisah peribadi saya juga.

Contohnya dulu saya tak tahu langsung tentang lagu 'Cinta Dalam Hati' sehinggalah Hanis memberitahu saya yang seorang pemuda yang selalu menempah strawberry Moist Choc Cake, dari saya adalah Hanis punya 'secret admirer'. Beliau meng email lagu tersebut kepada Hanis. Setelah saya dengar lagu itu, hati saya jadi sebak. Saya suka akan keperibadian pemuda yang meminati Hanis itu kerana beliau mempunyai budi bahasa yang tinggi dan sangat bersopan santun serta tahu menghormati orang tua. Tetapi bukankah cinta itu datang sendiri dalam jiwa. Malangnya dia bukanlah cinta hati Hanis.

Bila saya hayati lagu itu saya dapati melodi yang sangat indah dan senikata yang sangat puitis.

Jadi saya suka berkongsi dengan anda semua untuk sama-sama mendengar dan menikmati keindahannya.

5 comments:

aNIe said...

Nani...anie ni suka mendengar lagu2 lama...tapi tak pandai menyanyi...kalau menyanyi lirik pitching semua ke laut...

Khadijah Zek said...

dengar jugak lagu lama, tapi bila duduk dengah ayah. Kalau duduk dalam kereta dengah ayah,kena dengar lagu yang dia suka yang yang lain jangan sibuk2 nak tukar chanel...hehehehe

zinnia-lyana said...

beruntung pemuda strawberry moist choc cake tu.nampak gaya mcm best je smpai aunty pun boleh berkenan. tp nak buat camna cinta tak boleh dipaksa.hehe;p

abang ensem said...

Sayang betul la bapak teman takde kebon getah..kalo tak musti teman pandai nyanyi, berlakon, memasak dan cipta bait-bait sajak mcm mike..huhu. Yg teman ada masa kecik dulu cuma lah cermin kat dlm bilik. Tu pasai la sampai sekrg teman perasan ensem.
Klik http://www.abangensem.blogspot.com bagi sesape yg nak ngutuk teman..

Zarina said...

aih tak leh jadik nih...asei teman baca apa2 entry jek mesti teman tepilih entry yg ada teselit2 ceghite pasal stroberi moist cake auntie tuh...agak2 auntie boleh tak COD @ sri pentaih? heee..am serius auntie...dah save no. auntie kat fon pun...