Sunday, June 24, 2012

Bom Yang Meletop!!!

Assalamualaikum,


Dingin begitu terasa hingga ke tulang sum-sum bila kain gebar mula mengelunsur dihujung kaki. Aku tarik untuk membungkus diri bila sejuk berlumba-lumba menerjah seluruh tubuh. Kakak aku menarik gebar yang sama. Sambil tarik menarik merebut bahagian selimut nipis yang tidak mencukupi untuk kami mengerekot dengan aman didalamnya, adik aku yang berada di antara kami berdua hanya redha bila kain gebar itu menjadi tegang ditengah-tengah tanpa dapat menyentuh tubuhnya yang kedinginan.

Mata yang penuh bertahi masih terlalu kelat untuk dibuka. Suara emak sudah memenuhi seluruh ruang rumah.   Aku rasa dari  mula aku wujud di rumah itu sampai aku sudah menginjakkan kaki ke sekolah, emak tidak pernah kenal erti penat untuk berleter walau sekalipun. Aku tahu kakak kakakku sudah lali dengan semua itu. Aku selalu berfikir sendiri dari manalah tenaga emak begitu rajin berleter walau pagi masih begitu gelap Jam cuma menunjukkan pukul 4.30 pagi.

Bila emak panggil kakak supaya menemankannya ke kebun untuk menoreh getah, kakak selalu mengarah emak supaya menyuruh aku dengan alasan dia mahu mengemas dan membuat kerja kerja lain di rumah..Mahu tak mahu aku adalah anak mak yang masih dalam antara mata separuh buka tetapi kaki sudah meredah embun. Akulah anak emak yang sering jadi mangsa gigitan nyamuk yang menderu deru menghidu  bau harumnya darahku sepanjang aku membontoti emak menoreh di kebun.

Tikar mengkuang kecil  aku kepit dicelah ketiak sepanjang jalan untuk aku jadikan tempat berehat sambil memerhati api dari sumbu lampu minyak tanah yang melingkari kepala emak. Kadang kadang tekun juga aku memerhati  kecekapan tangan emak menoreh batang pokok getah sambil tanganku sendiri  begitu ligat menepuk-nepuk hampir seluruh bahagian tubuh dek serangan nyamuk yang begitu mesra ingin mencumbuiku. Kendati secekap manapun aku menampar nyamuk itu laju-laju, namun nyamuk tidak sedikit pun ingin menghindariku.

Aku akur semangat juang emak begitu ampuh untuk mencari wang hasil torehan getah kebun arwah bapak. Waktu itu arwah bapak tidak mempunyai kederat sekuat emak. Arwah bapak selalu mencadangkan agar mengambil orang lain untuk diupah menoreh dan hasilnya akan dibahagi dua. Walau tidak banyak sekurang-kurang cukup untuk arwah bapak menyara kami anak-beranak.

 Namun emak  tetap degil. Emak tetap bertekad mengerjakan kebun seorang diri. Emak tak peduli walau sebelum subuh sudah menyembah pokok getah kerana mahu susu getah keluar lebih banyak bila ditoreh di waktu awal pagi begitu. Tapi bila badan emak penat, letih dan sakit sakit, emak mula bising berleter hampir setiap waktu. Kami sudah lali dengan keluhan dan leteran emak.. Biar sakit badan akibat berhempas pulas bekerja emak tetap teruskan juga. Baginya duit adalah segala-galanya. Yang lain semua tolak tepi termasuk kami anak beranak.

Duit emak banyak-banyak semuanya di simpan. Untuk kami ke sekolah susah betul emak nak hulur untuk belanja. Kadang-kadang bagi kadang kadang tidak. Selalunya emak bagi aku cuma lima sen. Lima sen hanya cukup untuk aku beli sebiji kuih bom kegemaran di kantin sekolah.. Aku merungut dalam hati. Depan emak aku tak berani sangat menyuarakannya. Emak dicipta Allah sebagai mahkluk yang garang hingga sukar diterima dek akal manusia norma. Emak aku tetap emak aku. Dalam dunia ni aku belum pernah jumpa seorang emak segarang emak aku.. Sedikit dia rasakan  aku kurang ajar, maka babak belur, calar balar seluruh badan aku emak belasah dengan kayu pohon jambu batu depan rumah.


Aku lihat dari celah-celah pohon getah dikebun arwah bapak langit mula cerah sedikit demi sedikit . Terasa lega yang amat sangat kerana aku boleh segera meneninggalkan emak sekaligus nyamuk nyamuk yang berdengung dikiri kanan telinga ku. Aku berlari pulang dan terus bergegas mandi. Arwah bapa tolong cedokkan air perigi yang digali sendiri dengan menggunakan timba. Air kolam yang sejuk membuat aku menggelatuk  kesejukan.


Saat yang paling indah bersekolah waktu itu adalah saat saat menunggu loceng waktu rehat dibunyikan. Fikiran aku melayang layang teringat-ingat kuih bom sambal yang di jual di kantin sekolah. Bau aroma masakan tumisan sambal bilis sudah menusuk nusuk di kalbu. Walau duit hanya lima sen dalam saku baju seragam sekolah ku yang telah lusuh  namun keterujaan aku macam aku boleh beli semua makanan yang dijual dikantin. 


Bagi aku ketika itu semua makanan yang dijual dikantin sekolah amat enak. Beehon goreng biasa di hias dengan sedikit sambal bilis pun sungguh enak kurasa. Kalau emak bekalkan aku sepuluh sen, maka dapatlah aku melahap dengan berselera sepiring bee hoon goreng yang berharga lima sen dan sebiji kuih bom yang berharga lima sen juga. Air minuman sirap pun dijual dengan harga lima sen. Namun mendapat  lima sen dari emak pun sudah kira cukup bernasib baik maka aku akan cuba usahakan untuk bawa bekal  air teh o suam ke sekolah. Kalau angin emak tak baik maka aku akan ke sekolah dengan tangan yang kosong dan perutpun akan kosong sepanjang waktu persekolahan.. Tapi kadang-kadang aku  sahaja buat muka bodoh mengendeng seorang kawan yang  hampir setiap hari bawa bekal nasi  dengan telur goreng kicap. Maka kalau hatinya bermurah untuk memberiku sedikit dapatlah buat lapik perut untuk beberapa jam sebelum pulang sekolah.


Sejurus selepas loceng berbunyi aku berlari bagi memastikan aku berada dibaris depan kaunter kantin sekolah. Kuih bom harus segera dicapai. Perut sudah berbunyi bunyi sejak pagi. Cis bedebah! lima sen memang tidak mencukupi. Balik sekolah aku harus segera memulakan misi berjinjit jinjit memaut poket seluar bapak yang disangkutkan dipaku dinding. Mahu saja ku tolak kerusi agar dapat kucapai  poket seluar bapak dengan mudah. Namun aku bimbang ada orang nampak. Tinggi betul bapak sangkut seluarnya di dinding Mungkin bapak tahu ada  kastam yang selalu memeriksa saku seluarnya tinggal serumah dengannya.




Sejak itu kuih bom jadi kenangan yang paling manis dalam hidupku. Bagi aku tiada kuih bom se enak kuih bom yang ku makan sewaktu aku bersekolah rendah dulu. 


Bila usia meningkat, aku mencuba untuk buat kuih bom yang se enak waktu itu. Alhamdulillah, aku berjaya menghasilkannya.

Kini kuih bom aku sangat disukai oleh anak-anak, menantu  dan adik beradik.

 Mari ku kongsi resepi.



 Amboi...sengaja bermukadimah bagai aku kan...siap sinopsis sebuah cerpen lagi. Walhal cuma mahu berkongsi  resepi kuih bom sahaja.Tetapi siap berkongsi kenangan mengenainya sekali. Tak per..uolls semua cuba buat dah jadi sila beritahu. Ini kuih bom kegemaran aku seumur hidup. Cara-caranya :


500 gram tepung gandum
100 gram gula pasir
1/4 sudu teh kecil garam
1/2 paket yis (dalam satu paket berat 11gm)
2 1/2 cawan air sejuk.




Campurkan kesemua sekali didalam mangkuk plastik dan kacau sehingga sebati menggunakan senduk kayu. Tutup dengan kain lembab dan biarkan diatas peti sejuk seperti gambar diatas sehingga adunan tepung tadi naik dua kali ganda.


Kaut dengan menggunakan tangan dan jatuhkan ke dalam kuali dengan tangan membentukkannya bulat-bulat. Balik balikkannya sehingga keperangan dan angkat serta toskan.





Resepi sambal tumis adalah :

20 tangkai atau agak-agak sahaja cili kering rebus, basuh dan buang biji.
Blend dengan setengah inci belacan. ketepikan.

2 labu bawang besar dihiris tipis tipis
Segenggam ikan bilis kopek .

Panaskan minyak didalam kuali mengikut banyaknya bahan-bahan.

Masukkan ikan bilis dan goreng sebentar.

Masukkan bawang hiris dan gaulkan bersama ikan bilis tadi.

Ketepikan di pinggir kuali.

Masukkan cili kisar dan 2 sudu makan gula pasir. Biarkan sampai naik minyak

Masukkan sedikit air asam jawa.

Masukkan sedikit garam dan serbuk perasa mengikut citarasa.

Gaulkan semua sekali dan reneh sehingga naik minyak

Angkat dan sudukan sedikit kedalam kuih bom yang telah dibelah dua.



Inilah dia hasilnya. Seorang makan 5 biji pun tak cukup. Percayalah.

Selamat buat kuih bom yang meletoppssss!!!.





29 comments:

Mak Wardah said...

Salam.
Puan Nani pengalaman menjadikan puan isteri yang baik, ibu yang berjaya mendidik anak2,sahabat yang setia pada kawan2,insan yang memahami insan lain tetapi bab kecantikan puan saya tidak tahu puan warisan ayah @ ibu, saya hargai pengalaman dan jerih perih puan masa lampau menjadikan puan wanita hebat.

Pupel Liyana said...

burger malaysia. letak timun sehiris memang kaw-kaw sedap

Mooniqueen said...

Kuih bom bukan kt dlm inti kelapa manis tu ke kaknani? Cnfuse la... Hehe...kalau letak sambal tgh2 ni MQ panggil bege Malaysia.... Sedapnya...

Niza K. said...

Saya suka dgr pengalaman org dahulu. Bitter sweet kan kak :)

Cik Puan Nurul said...

oo kak nani panggil kuih bom ye..sy igt kuih bom yg ade inti kelapa dan berbijan di luar tu..kuih bom yg kak nani suka ni memang peberet saya gak huhu tapi sy panggil burger malaysia,ade jugak org panggil pau goreng..kalau bulan puasa dulu2 ms kami kecik2 lagi mak saya selalu buat tapi mak tumbuk ikan bilis dan jadikan sambal tumis..letak sekali dgn timun dalam kuih tu..saja je mak tumbuk ikan bilis nak cari kelainan tp sy memang suka tk kisahlah yg ikan bilis tumbuk atau terus je buat sambal tumis sekor2 ke tetap sedap memikat hati..
tetapi yang org jual biasanya sikit sgt isi sambalnya ada jugak yg terlampau pedas sambalnya.

Azwa Azee said...

sis,sy panggil pau sambal.sedap. kalau pergi kedai, kuih ni yang dicari dulu. cuba buat tapi kurang berjaya..;(

idaura said...

kak nani buat cerpen tu bestlah.. feel membaca tu ada..lepas ni bolehlah berlajar2 menulis cerpen ke novel ke..mcm best je..

lhmysh said...

Salam auntie,

Kite panggil kuih ni kuih burger malaysia..memang sedap!!tp kdg2 time bulan puasa beli kuih burger malaysia ni ada yg jual bahagian dalam tepung tu tak masak..and mentah lagi...da byk kali kene mcmtu...nanti nak rase auntie punye kuih bom ni la...mesti meletop! :)

eLL said...

seronok baca pengalaman kak nani. minta kongsi yer resepi ini...sedapnya bila tgk, ini antara kuih kegemaran saya jugak

nini said...

wahhhh....saya sangat suka kuih ni....kalau letak timun lagi best kan...=D

Papa, Mama & Azra said...

Masa saya kecik pun mak saya selalu hangkut saya pergi menoreh. Saya rasa mak nak berteman kot tp mak kata sbb kalau tinggal saya kat rumah, saya suka bergaduh dengan yang lain. Haha! Pandai mak cover line. Tak macam mak kak nani, mak saya pergi selepas subuh. Dah hampir nak terrang. Kat kebun, Mak tugaskan saya pegang ubat nyamuk. Yg paling saya takut adalah labah2 yang kalau tengah musim mak ai punya lah meriah. Tapi best kenangan masa tu.

Lady RaRa said...

saya panggil ni cucoq bom pasai saya orang kedah. haha.

LUNA LANUN said...

owhhhh lapar jadinya!

LATEST ENTRIES
1. Pasar Kraftangan Kota Kinabalu - Syurga Membeli Belah Barangan Kraftangan & Mutiara Sabah

bintangjauh said...

Salam Ratuku Nani,

Ya ampun... aduhai wahai ... header gambaran photo dirinya Nani begitu teramat jelita&anggun sesungguhnya... akan tetapi mengapa Nani sudah gantikan dengan yang ini walau pun Ratna adore juga, jadinya boleh Nani papar kan keduanya sekali?

Sebenarnya Ratna tidak pernah tahu dan rasa kuih bom yang bersambal ini, pertama kali kenal, insya'Allah... nanti akan Ratna mencuba sedia kan.

Salam kasihsayang buat Nani juga salam manis semanis madu.

Cik Eka said...

eka pun suka kuih ni...masa sekolah dulu...

tak suka yg bertimun,sebab nanti cepat basi...
kat skolah nama dia pau sambal..

tapi ade satu lagi kuih sedap masa sekolah,dia macam bancuhan kuih donat,tapi makcik tu bulat2kan dia,cucuk kat lidi..
dan salut dengan sambal.sambal tu manis dan berkilat

sanggup dtg awal sebab nak kuih tu..

mrs kayrul said...

kak nani, bila baca coretan akak nie teringat gak masa dedulu pun rajin ikut tok menoreh getah..Tok toreh , kita kutip getah scrup...nyamuk memang tak ingat la..

dah besar baru kenal kuih bom nie coz kak penang dulu tak pernah jumpa..

aizeepesona said...

memang sebijik macam baca buku cerita...pandai kak nani...

besar betol duit 5 sen di ketika itukan...(walaupon payah utk kak nani nak mendapatkan dripada mak kak nani..)masa zaman sy ..sy belanja 30sen..dapt beli kuih dan air. kalau beli kuih udang atau kuih pau dah cukup menampung perut sehingga balik ke rumah..dulu2 kuih 10 sen tu besar...masa berlalu..sekarang apa lah yg dapat dgn duit sekecil itu..huhuu

sedap betol nampak kuih pau tu...apa yang tak sedap kalau kak yang buat...conpem SODAP ! hee...

Filla ~ Kasihs said...

mmg meletops tgk kuih bom kaknani.. orang panggil pau malaysia kan? telan ayaq lioq.. hehehe

Mrs. Norrie said...

ooo...bergini rupa caranya buat kiuh bom akak burger malaysia...terima kasih akak kongsi rahsia yang meletop.....

Molly said...

Salam Kak Nani sayang,

wahhh, profile gambar cun! ada kawan saya kat belakang tu, Ian Sham, kawan sekolah :)

susumanis said...

best bagat baca citer intro kak nani, resepi bom ni harus ku kopi paste nanti nak buat buka puasa bulan ramadhan, insyaAllah, shukran kak nani..love u lah :))

cik sally said...

salam
gambar yg 1st tu sy bayangkan cam cekodok pisang..bestnyer..terliur jap..apa kata k nani bg resepi cekodok pisang yg bulat2 besar tu :)

aizeepesona said...

pssst...

lupe nak bgtau ngn kak nani...

glamer betol gambar kat header blog nie...

cayalah !

Irfa said...

kak nani,.
ini adalah kueh kegemaran saya
mak saya x penah buat pun.hehe
tapi kalau nak beli kueh dan nampak kueh ni,,konfem sy tak ambik kueh lain'tq kak nani sbb bagi resepi

boleh tak lain kali buat cerpen dulu sblum bagi resepi?hehe

saya suka baca

Siti Yasmin said...

sweet je cerita. dok tersenyum2 baca.hihi.

Budak2 skolah sekarang anggil burger malaysia. Tapi susah nak cari yang betul2 sedap.

yana said...

Assalam Nani,

pengalaman kita serupa, kene tolong mak menoreh, bawak duit sikit je ke sekolah, kdg2 berlapar, kene belasah, kuih bom tu pun ada jugak di kantin sekolah saya, mmg sedap beserta sekeping timun. kita kecik2 rasanya sama thn ni. mmg masa kecik lapar sentiasa kan, tu pasal sumenye rasa sedap. terasa peritnya hidup masa tu selalu kene pukul dgn mak sampai lari masuk utan, dah agak2 mak cool down baru balik.. sedih kalo diingat2kan skrg ni

{ finieViolet} said...

assalamualaikum..

oh.. ingat kuih apa.. kalo sy kuih bom tu kuih yg uli pakai tepung pulut pastu golek2 dgn bijan tu.. burger jawa rupanya... sy panggil burger jawa.. tp mak sy x terima (sbb dia org banjar).. ingat org jawa je ke pandai buat kuih ni katanye.. so kita namakan dia burger 1 malaysia.. my pebret eber ni... mcm nk buat la wat sarapan sok pagi... hewhewhew..

NaniRostam said...

salam,

hahaha macam macam nama kuih bom ni kan....

kalau kuih pulut bulat bulat gelek bijan dala inti kelapa saya bilang kuih onde onde.

generasi baru pulak bagi nama burger malaysia, sedangkan kuih ni dah wujud bukan masa kecik, tetapi masa emak saya kecik lagi...masa tu zaman jepun, burger pun asing sangat kat malaysia ni...atau belum sampai lagi...

yang bagi nama bom sebab di bulat macam bom...kira dia wujud masa zaman tentera jepun iaitu zaman bom mengebom

mademoiselle ten said...

Suka sangat