Dulu sewaktu saya kerja bank, memang tak pernah lekang dari ingatan bagaimana saya sering jadi bahan bualan atau umpatan kerana kerap sangat jadi mak buyung. Bila mereka terserempak saya ketika keluar makan tengahari atau sebagainya, selalu benar dialog ini diucapkan, hai nani, setiap kali i jumpa you, mesti you mengandung. Bila masa yang i akan jumpa you, you tak mengandung".Kemudian saya jawab dengan selamba, heeh ada bapak bukan tak da bapak.
Saya tak tahu kenapa saya suka sangat anak ramai. Termasuk seorang anak yang meninggal dan satu lagi keguguran, sudah lapan kali saya mengandung. Semasa mengandung Imran pun, saya juga hampir mengalami keguguran apabila berlaku pendarahan semasa mengandung. Oleh kerana terlalu sayangkan kandungan saya, bimbang akan mengalami keguguran lagi, saya sanggup mencuba satu kaedah terbaru dipasaran ketika itu untuk menguatkan hormon dalam kandungan agar kandungan jadi kuat dan dapat menghindarkannya dari keguguran.
Kaedah tersebut memang sungguh menyakitkan. Setelah ubat tersebut dimasukkan kedalam saluran darah melalui drip, saya akan merasa mual yang amat sangat dan berterusan muntah-muntah sehingga tubuh saya jadi lembik kerana tidak boleh menerima makanan mahupun minuman. Ianya berlangsung selama tiga hari.
Doktor mengarahkan supaya saya perlu berada di wad untuk mendapat kaedah rawatan tersebut. Saya perlu menghabiskan rawatan itu selama tiga bulan iaitu sebulan sekali perlu masuk wad.
Saya fikir saya boleh melaluinya, tetapi untuk temujanji kali kedua, saya terpaksa menarik diri kerana tak sanggup menempuh kesakitan itu. Namun alhamdulillah dengan kuasa Allah, walau cuma satu rawatan yang saya terima, kandungan saya stabil dan tidak mengalami sebarang tanda-tanda akan gugur.
Setelah genap 9 bulan maka lahirlah bayi seberat 3.97kg iaitu anak yang ke lima bernama Ahmad Imran.Kus semangat, bayi saya yang paling comel, putih dan gebu.
Namun dalam semua anak-anak yang saya kandung, mengandungkan Hanis adalah antara yang paling berat dan mencabar. Sampaikan kaki tak larat di angkat untuk melangkah. Setiap minggu pasti saya terpaksa mengambil cuti sakit.
Ketika itu dalam jangkamasa dua minggu lagi saya akan melahirkannya, saya ke klinik untuk pemeriksaan kandungan seperti biasa. Saya ingat lagi ketika itu doktor yang akan memeriksa kandungan saya ketika itu ialah doktor Norashikin, salah seorang doktor di Hospital Bersalin Pusat Rawatan Islam, Jalan Ipoh.
Setelah selesai memeriksa kandungan saya, saya pun bangun dari katil di bilik pemeriksaan itu. Namun saya merasa sangat tak berdaya untuk melangkahkan kaki saya sama seperti yang saya alami pada hari-hari sebelum itu.Sebaik jururawat meminta saya beredar, dengan rasa keberatan saya memusingkan badan dan meminta doktor Nora, memberi saya surat cuti sakit untuk hari itu. "Doktor boleh tak saya dapatkan mc untuk hari ini. Saya saya tak laratlah nak pergi kerja". Saya ingat lagi betapa masa tu, muka doktor Nora berkerut-kerut memandang saya sambil berkata, eh, i tengok you sihat saja, kandungan pun sihat. Kenapa perlu mc pulak?".
Saya pandang doktor tu dengan pandangan memohon simpati. Namun hati saya amat geram dan berbuku atas sikap kedekut doktor Nora untuk memberi saya cuti sakit. "Tapi saya tak larat nak pergi kerja lah doktor"... suara saya hanya separuh kedengaran yang separuh lagi tertinggal berbuku, kalau saya ucapkan juga, saya pasti yang keluar suara getaran nak nangis.
Dengan rasa berat nak beri saya mc, Dr Norashikin pun menyuruh saya berbaring semula di atas katil. Dalam hati memang menyumpah-nyumpah doktor kedekut mc nih. Sebaik doktor memeriksa pintu rahim..."ha....!!!! you punya pintu rahim dah 7 cm bukak, tinggal teran jer ni....nurse, pergi ambil wheel chair, nasib baik you tak naik teksi tadi....nurse, terus masukkan dia dalam labour room"!
Semasa saya ditolak ke labour room, sempat saya menyuruh jururawat itu menelefon suami saya supaya datang kehospital segera. Sampai dilabour room, jururawat terus menyuruh saya menukar pakaian hospital. Doktor pun mula memecahkan air mentuban dan saya mula merasai resa sakit bersalin yang berskala rapat.Bila saat merasai kesakitan yang amat sangat, saya mula merasa kepala bayi sudah menghampiri pintu rahim. Bila melihat saya tidak cuba meneran dengan bersungguh, Doktor Nora dengan suara tinggi...ok, you teran sekarang..teran..lagi...lagi" tiba-tiba muka doktor Nora berubah serta merta. Saya pula hanya terpinga-pinga penuh rasa bersalah.
Sejurus selepas itu maka lahirlah bayi saya yang paling berat iaitu 4.10 kg yang saya namakan Hanis Zalikha.
Itulah takdir saya melahirkan Hanis pada 09.10.1990 walhal tarikh sepatutnya saya melahirkannya 25.10.1990. Namun akibat setiap hari menapak dari bangunan Menara Bank Bumiputra, Jalan Melaka hingga ke bus stand klang untuk menaiki Bas Sri Jaya ke Subang Jaya, maka bayi dalam kandungan turun dan telah memasuki pangkal rahim sejak kandungan saya sejak kandungan berusia tujuh bulan lagi. Oleh kerana kepala bayi berada di antara tulang pelvik, maka ia menyebabkan saya kesakitan apabila berjalan ataupun sekadar mengangkat kaki untuk melangkah.
Sungguhpun begitu, saya tidak pernah merasa serik untuk mengandung lagi. Walaupun saya sering di gelar sebagai kilang namun, saya bangga kerana bukan mudah untuk membina sebuah kilang. Anda adalah merupakan seorang wanita yang cekal sehingga boleh menyerupai kilang. Untuk para suami di luar sana, hargai isteri anda setinggi-tinggi penghargaan kepadanya kerana sanggup melahirkan anak untuk anda seramai mungkin.
HIJRAH ROHANI
Sabda Rasulullah s.a.w.
"Ada tiga perkara yang jika di antara kamu ada yang melakukannya Allah berkenan melimpahkan perlindungan dan rahmat kepadanya serta memasukkanya ke dalam syurga-Nya. Iaitu orang yang jika diberi ia berterima kasih (bersyukur), jika diperlakukan hal yang buruk ia memberi maaf, dan jika marah ia dapat menahan diri".
RESEPI
Kali ini sesiapa yang suka nak mencuba resepi daging beriani, silakan dengan besar hati saya turunkan di sini:-
2kg daging batang pinang (potong bentuk kiub sebesar 2 atau 3 inci, daging hendaklah direbus terlebih dahulu didalam pressure cooker atau sehingga lembut)
Bahan-bahan tumis :
A
2 btg kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga
1 helai daun pandan
1 pokok daun ketumbar dengan akar sekali
B
2 sudu makan serbuk kas-kas
2 sudu makan jintan manis
2 sudu makan jintan putih
4 sudu makan biji ketumbar
C
10 biji cili kering dibuang biji dan cuci
1 biji bawang holland
3 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
11/2 inci halia
D
1 tin kecil tomato cincang dalam tin (heinz)
1 tin susu cair
1/4 cawan kicap manis
1 sudu makan air mawar
1 sudu makan stok ayam
4 sudu makan gula
Minyak sapi untuk menumis
Cara-cara
Tumis bahan A dalam minyak sapi.
Masuk bahan B yang telah dikisar.
Masuk bahan C yang dikisar juga
Tunggu sampai bau wangi
Masukkan gula
Masukkan daging yang sudah lembut
Masukan bahan D
Tunggu sampai masak dan naik minyak
Hidang dengan daun ketumbar dan tabur bawang goreng.