Tuesday, February 23, 2010
Nak Buat Macam Mana Yer?
Tapi yang tak berape nak sedap tu...bile anak-anak teman ni nakei.!!!, dok mengajuk teman bercakap bahasa bapak deme.
Ate kat ghomah tu, kalau dalam sehaghi tu ader le dekat seratuih sepuluh kali teman teroyak kat deme sughoh deme ni naik kataih ghomah. Kalau teman kabor 'ataih' deme perbetoikan, mama atas bukan ataih.
Kalau deme ndengor teman cakap 'lepaih' pande deme negor, mama lepas bukan lepaih.
Kalau teman kate panaih deme negor, mama panas bukan panaih.
Hisk tak bagi chan langsung teman nak meluweh kan ilmu pelbagai bahasa gamak nyer.
Yang iye nye, ate ropa tu jugok dengan laki teman ni..kalau teman nak mengajor anak-anak cakap bahasa jawa, idok le pulak dibaginyer. Kate nyer, nanti sorang-sorang dia nyer yang tak paham bahasa hehhe. Dia? minta maap la yer..tak kan nak ngambek tau...nak belajor? idok ler..... nak buat macam mana udah tak berkenan dengan bahasa tu...
Eh ralit beno teman labun bahasa perak ni...bahasa perak ni berlagu...itu yang tak tahan anak-anak teman ndengor nyer.Yang teman pulak suker yang amat ndengor nyer...macam orang berpuisi la pulak....damai rasa kat ati....
Monday, February 22, 2010
Berilah Aku Pengertian Itu
mendekatiku
mencintaiku
merinduiku
atau memang sejajar ruang kalbu mu
sepahit hempedu
setajam sembilu
Memangkah ucapmu tiada makna
hatimu tiada rasa
atau wujudmu tanpa jiwa
Sampai hatimu
menikam luluh jiwaku
melempar aku ke dinding batu
terbenam dilumpur hampir mati
Meruntun jiwa
menanti bulan bicara
memujuk hati yang lara
untuk apa cintaku
pada siapa rinduku
mana hilang maruahku
percaya pada janjimu
atau memang jiwamu
penuh pura
penuh helah
penuh kepalsuan
Kalau mampu kau memahami
kalau bisa kau menyelami
cinta ku padu di hati
rinduku tak pernah terhakis lagi
Wajarkah aku disakiti begini?
Friday, February 19, 2010
Rahsia Awet Muda
Saya tak tahu kenapa saya suka sangat anak ramai. Termasuk seorang anak yang meninggal dan satu lagi keguguran, sudah lapan kali saya mengandung. Semasa mengandung Imran pun, saya juga hampir mengalami keguguran apabila berlaku pendarahan semasa mengandung. Oleh kerana terlalu sayangkan kandungan saya, bimbang akan mengalami keguguran lagi, saya sanggup mencuba satu kaedah terbaru dipasaran ketika itu untuk menguatkan hormon dalam kandungan agar kandungan jadi kuat dan dapat menghindarkannya dari keguguran.
Kaedah tersebut memang sungguh menyakitkan. Setelah ubat tersebut dimasukkan kedalam saluran darah melalui drip, saya akan merasa mual yang amat sangat dan berterusan muntah-muntah sehingga tubuh saya jadi lembik kerana tidak boleh menerima makanan mahupun minuman. Ianya berlangsung selama tiga hari.
Doktor mengarahkan supaya saya perlu berada di wad untuk mendapat kaedah rawatan tersebut. Saya perlu menghabiskan rawatan itu selama tiga bulan iaitu sebulan sekali perlu masuk wad.
Saya fikir saya boleh melaluinya, tetapi untuk temujanji kali kedua, saya terpaksa menarik diri kerana tak sanggup menempuh kesakitan itu. Namun alhamdulillah dengan kuasa Allah, walau cuma satu rawatan yang saya terima, kandungan saya stabil dan tidak mengalami sebarang tanda-tanda akan gugur.
Setelah genap 9 bulan maka lahirlah bayi seberat 3.97kg iaitu anak yang ke lima bernama Ahmad Imran.Kus semangat, bayi saya yang paling comel, putih dan gebu.
Namun dalam semua anak-anak yang saya kandung, mengandungkan Hanis adalah antara yang paling berat dan mencabar. Sampaikan kaki tak larat di angkat untuk melangkah. Setiap minggu pasti saya terpaksa mengambil cuti sakit.
Ketika itu dalam jangkamasa dua minggu lagi saya akan melahirkannya, saya ke klinik untuk pemeriksaan kandungan seperti biasa. Saya ingat lagi ketika itu doktor yang akan memeriksa kandungan saya ketika itu ialah doktor Norashikin, salah seorang doktor di Hospital Bersalin Pusat Rawatan Islam, Jalan Ipoh.
Setelah selesai memeriksa kandungan saya, saya pun bangun dari katil di bilik pemeriksaan itu. Namun saya merasa sangat tak berdaya untuk melangkahkan kaki saya sama seperti yang saya alami pada hari-hari sebelum itu.Sebaik jururawat meminta saya beredar, dengan rasa keberatan saya memusingkan badan dan meminta doktor Nora, memberi saya surat cuti sakit untuk hari itu. "Doktor boleh tak saya dapatkan mc untuk hari ini. Saya saya tak laratlah nak pergi kerja". Saya ingat lagi betapa masa tu, muka doktor Nora berkerut-kerut memandang saya sambil berkata, eh, i tengok you sihat saja, kandungan pun sihat. Kenapa perlu mc pulak?".
Saya pandang doktor tu dengan pandangan memohon simpati. Namun hati saya amat geram dan berbuku atas sikap kedekut doktor Nora untuk memberi saya cuti sakit. "Tapi saya tak larat nak pergi kerja lah doktor"... suara saya hanya separuh kedengaran yang separuh lagi tertinggal berbuku, kalau saya ucapkan juga, saya pasti yang keluar suara getaran nak nangis.
Dengan rasa berat nak beri saya mc, Dr Norashikin pun menyuruh saya berbaring semula di atas katil. Dalam hati memang menyumpah-nyumpah doktor kedekut mc nih. Sebaik doktor memeriksa pintu rahim..."ha....!!!! you punya pintu rahim dah 7 cm bukak, tinggal teran jer ni....nurse, pergi ambil wheel chair, nasib baik you tak naik teksi tadi....nurse, terus masukkan dia dalam labour room"!
Semasa saya ditolak ke labour room, sempat saya menyuruh jururawat itu menelefon suami saya supaya datang kehospital segera. Sampai dilabour room, jururawat terus menyuruh saya menukar pakaian hospital. Doktor pun mula memecahkan air mentuban dan saya mula merasai resa sakit bersalin yang berskala rapat.Bila saat merasai kesakitan yang amat sangat, saya mula merasa kepala bayi sudah menghampiri pintu rahim. Bila melihat saya tidak cuba meneran dengan bersungguh, Doktor Nora dengan suara tinggi...ok, you teran sekarang..teran..lagi...lagi" tiba-tiba muka doktor Nora berubah serta merta. Saya pula hanya terpinga-pinga penuh rasa bersalah.
Sejurus selepas itu maka lahirlah bayi saya yang paling berat iaitu 4.10 kg yang saya namakan Hanis Zalikha.
Itulah takdir saya melahirkan Hanis pada 09.10.1990 walhal tarikh sepatutnya saya melahirkannya 25.10.1990. Namun akibat setiap hari menapak dari bangunan Menara Bank Bumiputra, Jalan Melaka hingga ke bus stand klang untuk menaiki Bas Sri Jaya ke Subang Jaya, maka bayi dalam kandungan turun dan telah memasuki pangkal rahim sejak kandungan saya sejak kandungan berusia tujuh bulan lagi. Oleh kerana kepala bayi berada di antara tulang pelvik, maka ia menyebabkan saya kesakitan apabila berjalan ataupun sekadar mengangkat kaki untuk melangkah.
Sungguhpun begitu, saya tidak pernah merasa serik untuk mengandung lagi. Walaupun saya sering di gelar sebagai kilang namun, saya bangga kerana bukan mudah untuk membina sebuah kilang. Anda adalah merupakan seorang wanita yang cekal sehingga boleh menyerupai kilang. Untuk para suami di luar sana, hargai isteri anda setinggi-tinggi penghargaan kepadanya kerana sanggup melahirkan anak untuk anda seramai mungkin.
HIJRAH ROHANI
Sabda Rasulullah s.a.w.
"Ada tiga perkara yang jika di antara kamu ada yang melakukannya Allah berkenan melimpahkan perlindungan dan rahmat kepadanya serta memasukkanya ke dalam syurga-Nya. Iaitu orang yang jika diberi ia berterima kasih (bersyukur), jika diperlakukan hal yang buruk ia memberi maaf, dan jika marah ia dapat menahan diri".
RESEPI
Kali ini sesiapa yang suka nak mencuba resepi daging beriani, silakan dengan besar hati saya turunkan di sini:-
2kg daging batang pinang (potong bentuk kiub sebesar 2 atau 3 inci, daging hendaklah direbus terlebih dahulu didalam pressure cooker atau sehingga lembut)
Bahan-bahan tumis :
A
2 btg kayu manis
2 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
5 biji buah pelaga
1 helai daun pandan
1 pokok daun ketumbar dengan akar sekali
B
2 sudu makan serbuk kas-kas
2 sudu makan jintan manis
2 sudu makan jintan putih
4 sudu makan biji ketumbar
C
10 biji cili kering dibuang biji dan cuci
1 biji bawang holland
3 biji bawang merah kecil
3 ulas bawang putih
11/2 inci halia
D
1 tin kecil tomato cincang dalam tin (heinz)
1 tin susu cair
1/4 cawan kicap manis
1 sudu makan air mawar
1 sudu makan stok ayam
4 sudu makan gula
Minyak sapi untuk menumis
Cara-cara
Tumis bahan A dalam minyak sapi.
Masuk bahan B yang telah dikisar.
Masuk bahan C yang dikisar juga
Tunggu sampai bau wangi
Masukkan gula
Masukkan daging yang sudah lembut
Masukan bahan D
Tunggu sampai masak dan naik minyak
Hidang dengan daun ketumbar dan tabur bawang goreng.
Alhamdulillah, Syukur Kehadrat Illahi
Perlahan-lahan saya cuba mengatasi segala beban yang mengulit diri saya kebelakangan ini. Saya mula mengaji semula bermula dari surah al baqarah. Bila sampai di surah al-imran saya dapati satu ayat yang boleh membuat sesiapa mengasihi kita jika kita mengamalkannya. Maka saya mula mengamalkannya.
Alhamdulillah, saya perolehi keberkatan dari Allah s.w.t, saya dapat rasa, yang selama ini cinta suami saya terhadap saya semakin mendalam. Begitu dia amat memahami apa yang saya tempuhi kebelakangan ini. Dia beri saya semangat. Dia berlemah lembut dengan saya. Dia banyak meluangkan masa bersama saya. Dia melayan saya dengan penuh kasih sayang.
Saya bersyukur dan rasa amat gembira bila saya dapat merasai berbaik dengan semua insan disekeliling saya. Saya rasa gembira bila Allah menyedarkan saya, lalu dapat saya memalingkan pandangan mata hati pada sekeping cermin mistik yang tak berguna kepada permata berkilau yang amat berharga.
Saya panjatkan rasa kesyukuran kerana ramai pembaca blog saya yang sangat budiman memberi kata-kata yang elok sebagai semangat dan perangsang untuk saya jalani kehidupan ini menjadi lebih baik.
Alhamdulillah.
Wednesday, February 17, 2010
Semuga Dia Insaf
Seorang insan bergelar hamba
wujudnya oleh Maha Pencipta
Selagi nyawa dikandung badan
selagi jiwa melekat dihati
selagi tubuh memiliki roh
Selagi itu dia manusia
hidup dan bernafas
bernafsu serakah mengalah binatang buas
bertopeng pelbagai wajah dan rupa
lain diluar lain didalam
lain dibibir suka memungkir
lain dikata tanpa mengota
Selagi dia bergelar hamba
sering silap sering berdosa
selalu ada sesal tak sudah
selalu pula jadi pelupa
bisikan syaitan jadi halwa
sering menolak selalu terjebak
Selagi dia ada Pencipta
dia hanya seorang manusia
seorang hamba cuma
sedikit yang kuat banyak yang lemah
sesat dihujung pulang ke pangkal
berbuat onar pastinya nanar
dulu diatas sekarang dibawah
dulu dibawah kini di atas
Selagi ada akalnya
walau sepicing dia memikir
jasad dan roh pasti berpisah
hari ini hidup esok mati
ada dunia ada akhirat
ada syurga ada neraka
Harusnya dia mahu
menyusun jari memohon kemaafan
sesama insan yang disakiti
bersujud memohon ampun pada Pencipta
atas segala maksiat dan dosa
Mahu hari ini di lalui
penuh gemilang senyuman
penuh nada keinsafan
berbuat baik
jahat jangan sekali
kerana esok belum tentu dia di sini
menjejak bumi menjunjung langit
kerana dia cuma manusia biasa
cuma seorang hamba
yang pasti kembali pada Pencipta
Wednesday, February 10, 2010
Mengapa Kita Suka Meletakkan Orang Dalam Keadaan Serba Salah. Baik Sangat kah Kita?
Bumi Allah ini luas. Seluas manapun, jalan itu juga yang akan kita lalui. Pantai itu juga yang akan kita sisiri. Langit itu juga yang kita dongak dan merasai terik mataharinya, simbahan sinar bulannya dan mengkagumi kerlipan bintangnya.
Hari hari yang mendatang merupakan sebuah rentetan hidup buat kita nikmati.Dan hari-hari yang berlalu adalah satu sejarah yang harus kita pelajari dan usah dilupai.
Andai kita menyedari bahawa hidup ini bagai pusingan roda. Hari ini kita di bawah, esok lusa pasti kita diatas pula. Begitulah sebaliknya. Jangan sesekali kita berfikir yang kita tidak seperti mereka itu dan ini. Walhal bila tiba masa kita mahu tak mahu kita pula berada dalam situasi seperti yang pernah mereka tempuh.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul beban. Siapa kita untuk mencemuh, menilai dan memandang rendah apabila kita sendiri tidak berada di dalam keadaan mereka itu.
Siapa kita untuk selalu mencari kelemahan dan kekurangan mereka sedangkan kita sendiri tidak mampu tampil menghulur salam sebaliknya cuma berani menunjukkan kekuatan dan kebenaran di balik nama yang indah dan sekadar gambaran luaran yang kita adalah baik.
Memang mudah untuk lidah berkata-kata, memang mudah untuk jari menuding sana sini. Memang mudah untuk tangan membaling batu kemudian sembunyikan dibelakang. Tetapi kalau kita berada di tempat mereka barulah kita faham yang mereka cuma manusia biasa, yang mahu belajar dari pengalaman, kesilapan dan keadaan. Kalau kita tidak mampu membantu, sekurang-kurang memahami mereka dengan kata-kata yang indah dan baik. Jangan cuma tahu mencela kelemahan orang.
Wajarkah kita rasa keyakinan dan kekuatan orang itu adalah satu kelemahan dan keaiban dirinya.Sedang kita tak tahu apa yang cuba ditempuhi dan diatasinya. Bersahabatlah dengan mereka dengan kata-kata semangat, bukan menyebab mereka jadi jauh dengan kata-kata yang melemahkan lagi jiwa mereka.
Begitu saya memahami deritanya hati seorang isteri jiran sebelah saya. Tiada mendung, tiada hujan, tiba-tiba hati suami berubah pergi. Sudah hampir 6 bulan suami tidak mahu kembali. Bayang betapa hancur hati seorang isteri. Saban hari menangisi diri. Saya yang mendengar pun pilu sendiri. Sejak itu dia langsung tidak mahu bertegur sapa dengan jiran tetangga. Cepat-cepat keluar masuk rumah takut bertembung dengan jiran-jiran. Hilang entah kemana keyakinan dirinya selama ini. Melihat sikap nya jadi begitu saya tidak langsung berkecil hati terhadapnya. Malahan saya amat memahami situasinya. Dia keliru. Dia malu. Dia takut akan reaksi dari jiran tetangga bila mengetahui masalah rumahtangganya.
Memang wajar dia merasakan begitu. Kerana banyak di antara kita, hanya tahu mencemuh bila melihat kepincangan orang. Bila dia bercerita kepincangannya, kita mungkin merasakan untuk apa membuka pekung di dada. Sebaliknya bila dia bercerita rumahtangganya bahagia kerana dia cuba menjadi isteri yang terbaik, kita mengata yang dia terlalu yakin dan riak.
Mengapa kita begitu gemar meletakkan orang dalam keadaan serba salah. Mengapa tidak kita bersama-samanya cuba meletakkan diri kita ditempatnya. Dan menghargai hidup kita tidak seburuk nasib dirinya.
Saya amat memahami keadaan siisteri yang menderita ditinggalkan oleh orang yang dicintai begitu juga saya amat memahami keadaan suaminya yang memang dah tidak menyintai lagi isterinya dan cintanya telah beralih arah.Si suami mahu menceraikan isterinya tetapi isterinya merayu untuk tidak diceraikan.
Dalam keadaan begitu tiada siapapun yang bersalah. Amatlah sukar untuk kita menduga perasaan manusia.Kalau dah hilang rasa cinta, memang sukar untuk menemui kembali. Kalau dah menaruh rasa cinta pula amat sukar untuk membuangnya dari hati.
Namun hidup perlu diteruskan.Betapa pahit,pedih atau deritapun, kita harus tempuhi jua. Kadang-kadang dalam hidup kita cuma boleh memilih untuk melupakan atau terus mengenangkan penderitaan.
Kalau jiran saya itu datang dan mengadu nasib dan bercerita masalahnya kepada saya,pasti saya terima dengan hati penuh terbuka. Pasti saya akan depangkan tangan memeluknya penuh kasih sayang. Pasti bahu ini saya biarkan untuk dia menumpang tangisan. Pasti saya akan memberi perangsang dan semangat supaya keyakinannya datang kembali. Supaya dia merasa yang dia masih cantik, masih sempurna untuk merasai cinta yang lebih baik.
Tidak semua orang sama dalam menghadapi masalah hidup ini. Saya sekadar dapat melihat dan merasakan dari jauh kerana dia memilih untuk menghadapinya sendiri. Saban hari menangisi nasibnya sendiri. Merahsiakan perihal rumahtangganya dalam pengetahuannya sendiri.Mudah-mudahan dia tahu apa yang dia lakukan untuk menangani penderitaan jiwanya.
Hari hari mendatang
Thursday, February 4, 2010
MOTIVASI DIRI
Sangat setia dan pemurah Bersifat patriotik Sangat aktif dalam permainan dan pergaulan Sikap kurang sabar dan tergesa-gesa Bercita-cita tinggi Suka menjadi orang yang berpengaruh dalam organisasi Seronok didampingi Suka bercampur dengan orang Suka dipuji, diberi perhati...an dan suka dibelai Sangat jujur, amanah dan bertolak ansur Tidak pandai berpura-pura Cepat marah Perangai yang berubah-ubah Tidak ego walaupun harga diri yang sangat tinggi Benci pada kongkongan Suka berlawak Pandai buat lawak dan berfikiran dengan logic.See More
Saya tak tahulah orang lain yang lahir dalam bulan ini. Tetapi kalau dengan diri saya hampir seratus peratus tepat. Saya tak tahulah macam mana Dato Dr Fadilah Kamsah buat kajian, tetapi sikap dan perangai saya memang bertepatan seperti ciri ciri diatas.
Sebenarnya bagus ambil tahu tentang kajian bijak pandai tentang sikap dan karektor kita melalui tarikh lahir atau sebagainya.
Bila kita lihat semua yang positif dalam diri kita, ianya merupakan satu semangat untuk kita terus jadi positif Kalau kita lihat ada unsur-unsur negatif dalam diri kita, pasti kita akan cuba mengatasi kekurangan itu sebaiknya.
Ini juga merupakan satu motivasi untuk kita menempuh kehidupan ini dengan rasa bangga, ceria dan gembira. Dengan itu segala cabaran dan dugaan yang mendatang pasti jadi mudah untuk kita lalui kerana kita kenal segala kelebihan dan kekurangan kita.