Monday, June 28, 2010

Rumah Peninggalan Arwah Bapak (Bahagian Kedua)

Bukan itu sahaja, pada satu malam apabila bekalan letrik terputus, tiba-tiba emak terasa ada satu lembaga besar berbulu memeluk emak sehingga emak rasa sesak nafas hampir lemas. Emak tak putus-putus membaca ayat-ayat Al Quran yang terlintas difikirannya sehinggalah apabila tercetus dari mulutnya perkataan Allahuakbar, barulah dia merasa badan yang rasa kaku dipeluk tadi terlepas dan emak boleh bergerak semula. Selepas itu emak cepat-cepat mencari lilin dan meninggalkan rumah itu tergesa-gesa menuju ke rumah makcikku yang tak jauh dari situ. Malam itu emak bermalam di rumah makcikku.


Peristiwa itu tidak sedikitpun melemahkan emak untuk terus tinggal seorang diri di rumah itu kerana itulah rumahnya. Di rumah itulah dia mengharungi segala suka duka bersama arwah bapak dan anak-anak. Sepanjang usia muda hingga ke hari ini...di situlah dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya. Mana mungkin dia mahu meninggalkan rumah itu walau sebenarnya dia tidak betah dengan segala gangguan itu.


Waktu aku bersekolah rendah dulu, ketika adikku baru dilahirkan, kami sekeluarga sering merasa susah hati, bukan sahaja dengan masalah emak yang selalu histeria, tetapi adik yang baru emak lahirkan sering diserang demam panas. Bila sahaja malam menjelang adik mula menangis tak henti-henti dengan keadaan mata terbeliak-beliak memandang keatas. Sekejap emak sakit.Sekejap adik sakit. Berbagai usaha dilakukan untuk mengatasi masalah sehinggalah habis wang simpanan arwah bapak dan beberapa ekar kebunnya terpaksa dijual bagi mengubati penyakit yang tak putus melanda kami sekeluarga.


Keadaan itu tidak pernah berubah malahan semakin bertambah buruk. Berkali-kali kami meminta emak cari rumah lain atau berpindah sahaja ke Kuala Lumpur tetapi emak tetap berkeras mahu terus tinggal di rumah itu.


Hinggalah apabila kesihatan emak semakin teruk. Mata emak jadi semakin rabun dan tidak boleh melihat jelas. Kami adik beradik cuba menghantar emak berubat dan emak telahpun menjalani pembedahan membuang selaput mata. Namun penglihatan emak tetap kabur dan tidak jelas. Badan emak selalu sakit-sakit yang teramat sangat. Tetapi setiap kali kami membawa berjumpa doktor dan emak menjalani pemeriksaan rapi keputusannya tetap sama. Doktor akan mengatakan makcik sangat sihat. Jantung makcik macam jantung orang muda. Semua ok. Tak da kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.Sehingga tiada doktor yang dapat mengesan apa sebenarnya penyakit emak.


Akhirnya, emak mengalah. Dia mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah itu dan tinggal bersama anak-anaknya di Kuala Lumpur. Dua minggu sekali kami akan menghantar emak pulang sekadar mahu mengambil hasil pendapatan kebun kelapa sawitnya tanpa bermalam di rumah itu.


Kalau dulu ketika aku sesekali pulang ke rumah itu bersama anak-anak, kami akan tidur diruang tamu bersusun di depan TV. Tetapi sejak hari raya haji baru-baru ini, kami tidak berani tidur diruang tamu tetapi tidur beramai-ramai di ruang dapur betul-betul depan peti sejuk.


Satu malam pada hari raya puasa tahun lepas, sampai sahaja di rumah emak malam tu, seperti biasa kami anak beranak tidur di ruang tamu. Tepat jam 3 pagi tiba-tiba Liana terbangun dari tidur kerana begitu terasa hendak buang air kecil. Hendak ke bilik air di dapur sendirian belum ada kekuatan lalu dia mengejutkan Hanis untuk menemaninya ke bilik air di belakang dapur.



Hanis yang terlalu keletihan dek perjalanan yang jauh itu terus buat keras badan enggan bangun. Selepas seketika Liana mendengar suara kakakku dan emak rancak berbual di dapur.Dia pun bingkas bangun menuju ke dapur tanpa perlu mengejutkan Hanis untuk menemaninya ke bilik air.

Bila sampai dipintu dapur, perasaan Liana tiba-tiba berderau bila mendapati dapur sunyi sepi dan tiadapun sesiapapun yang berada di situ.Cepat-cepat dia berpatah balik dan berkeras mengejut Hanis semula untuk menemaninya ke bilik air. Mujurlah cuma sekali itu dia terkucil....kalau tidak mahu Hanis pulak yang histeria tak cukup tidur.

Pada malam yang sama, sebaik kami semua melelapkan mata, tiba-tiba tanpa semena-mena Hafiiz terdengar bunyi tapak kaki berderap menaiki tangga depan dianjung rumah mengelilingi tempat kami tidur dan selepas beberapa ketika suara tapak kaki berlalu pergi ke arah tangga semula. Selepas itu dia mendengar suara seperti kakak aku berbual-bual dengan aku ditangga rumah itu. Mahu sahaja dia mengejutkan aku kerana berasa cuak dengan apa yang didengarnya. Tetapi bila memikirkan aku tidur di baris yang paling hujung dan jauh dari kedudukannya, Hafiiz membatalkan niat tersebut.Hafiiz yang ketakutan cepat-cepat berselubung di bawah kain selimut sambil memejamkan mata rapat-rapat lalu tertidur sehingga pagi.

Sebaik bangun tidur Hafiiz cepat-cepat menceritakan kepada kami semua tentang apa yang dialami pada malam tersebut. Setelah mendengar cerita dari Hafiiz, rupa-rupanya Imran juga mengalami peristiwa yang sama. Dan mereka berdua hanya berdiam diri berselubung selimut kerana ketakutan dan terlelap sampai hari telah siang.

bersambung.........




Sunday, June 27, 2010

Rumah Peninggalan Arwah Ayah (Bahagian Pertama)

Matahari pagi mula ghairah muncul menyelinap di celah rimbunan pepohon getah di kebun jiran kami di hadapan rumah lalu sinarnya yang berselerak masuk ke dalam anjung rumah aku mendamaikan pagi yang masih dingin itu.


Jam dua pagi itu aku sampai dirumah emak dengan memandu kereta hanya ditemani anak-anak. Selepas solat subuh mata masih segar dan belum ada ura-ura mahu mencari bantal untuk membalas dendam kerana mengantuk disepanjang perjalanan pulang. Aku hanya duduk-duduk di tangga batu bercat biru yang warna sudah pudar dah terkopek sana sini sambil menikmati suasana damai pagi itu. Sayu rasa hati memerhati rumah peninggalan arwah bapak yang sudah semakin usang dan semakin hilang seri dan membayangkan diri sendiri yang semakin tua diinjak usia.


Dulu ketika arwah bapak berwar war membeli tanah tapak rumah itu, arwah tok sebelah emak membantah dan menegaskan bahawa tanah di situ tidak elok untuk didiami. Bersungguh-sungguh arwah tok mengatakan tanah itu 'keras'.


Arwah bapak pula memang tidak pernah percaya perkara karut marut dan tahyul begitu. Dia berkeras dengan pendiriannya mahu membeli tanah itu dan mendirikan rumah untuk kami sekeluarga.


Tidak berapa lama mendiami rumah itu, hidup kami sekeluarga mula di hantui keresahan.
Emak sering sakit-sakit. Aku adalah antara anak emak yang sering sakit-sakit.Begitu juga adik-adik aku yang lain.Kadang-kadang kami diserang penyakit yang pelik dan tak masuk akal.


Sejak aku berada dalam darjah satu, emak sering diserang histeria.Bila sakitnya menyerang, tiba-tiba emak mempunyai kekuatan luar biasa yang melebihi kekuatan sepuluh orang lelaki. Emak akan mejerit mengilai-ngilai betul-betul menyerupai hilaian hantu pontianak.


Ketika itu kakak aku akan memanggil semua pakcik-pakcik aku yang kebetulan memang tinggal berdekatan. Emak seolah-olah mahu terbang ke udara sambil mengilai-ngilai dan dipegang oleh semua pakcik-pakcik ku. Mujurlah arwah pakcik ku iaitu abang emak yang sulung pandai mengubat orang. Apabila dia memegang ibu jari emak sambil mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu, tiba-tiba emak menjerit nyaring dan lama-lama semakin lemah dan tidak sedarkan diri.

Perkara itu berulang selama hampir setiap bulan dalam beberapa tahun tanpa dapat dipulihkan. Pelbagai usaha dan puluhan bomoh yang emak temui untuk mengubati penyakit misteri itu tetapi gagal.

Hinggalah kini kami dah dewasa, beranak pinak dan arwah bapak telah tiada tetapi rumah yang kini hanya diduduki oleh emak seorang semakin sering diganggu.


Puas kami memujuk emak untuk meninggalkan rumah itu untuk tinggal bersama anak-anaknya di Kuala Lumpur namun usaha kami memujuk emak tidak berjaya.

Kadang-kadang aku kagum. Yang selebihnya rasa hairan atas keberanian emak untuk terus tinggal disitu. Emak yang sebahagian besar masa hidupnya dihabiskan di atas tikar sembahyang memang kebal orangnya. Bayangkan ketika sedang khusyuk bersolat, kedengaran dinding sekeliling rumah itu dibaling batu bertalu-talu dan hanya berhenti bila emak berhenti solat.



bersambung.............

Sunday, June 20, 2010

Bertahta Di Hati






Dihempas ombak
Terdampar buih
menanti waktu pulang kelaut


Lihat lihat
kedalam mataku
cintamu bertahta

Sebelum ku kenal dirimu siapa
aku tak kenali
apa itu cinta

Takkan berganjak pendirianku ini
selagi kita tak kembali bersatu selamanya
tak kan berubah perasaan ini terhadapmu
biar digugat
biar di cabar
biar dihalang

Sebelum ku kenal
dirimu siapa
aku tak kenali
apa itu cinta

setelah ku kenal
dirimu sebenar
kau cinta sejati
ku sandarkan jiwa.....

Monday, June 14, 2010

Dalam Peliharaan Allah Lagi Bijaksana






Dah besar pun Hafiiz. Dah nak ambil UPSR tak berapa bulan lagi. Minta-minta Hafiiz boleh berjaya macam abang -abang dan kakak -kakak Hafiiz. Bukan apa dalam semua anak-anak mama, Hafiiz lain dari yang lain. Paling keras hati, paling sensitif, paling nakal, paling manja dan paling pandai sepatutnya.



Dulu masa kecil-kecil Hafiiz pandai sangat. Periksa apapun mesti skor 100. Tapi sekarang prestasi dah menurun. Minta-minta UPSR nanti prestasi Hafiiz meningkat macam masa Hafiiz kecil-kecil dulu.



Apakah perangai Hafiiz ni lain dari adik-beradik yang lain ada berkaitan dengan keadaan keluarga kita masa Hafiiz dilahirkan? Entahlah tapi peristiwa kelahiran Hafiiz adalah satu peristiwa yang tak mungkin dapat mama lupakan.





Ketika usia abang Im 7 bulan iaitu baru pandai merangkak, mama mengandung lagi.



Dengan keadaan mama yang ketika itu tidak mahu mengenal penat bertungkus lumus menjual nasi lemak dan kuih muih mencari duit untuk sesuap nasi buat anak-anak mama yang berderet tu, bolehlah pulak mama termengandung sedangkan selalu ingat kalau mama beri anak susu badan pasti dapat menjarakkan kelahiran anak yang seterusnya.



Namun kuasa Allah tak siapa dapat menyangkal. Dalam setiap solat, mama berdoa Allah permudahkan hidup mama dan murahkan mama rezeki. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa mama dan anak itu juga adalah rezeki dari Nya.



Mama terima dengan hati terbuka kerana memang mama sukakan anak ramai. Walau ketika itu mama tahu dengan keadaan daddy tak bekerja dan jualan nasi lemak dan kuih muih mama memang untuk tanggung seorang anak pun tak lepas inikan pula anak berderet macam anak mama. Tetapi apa yang mampu mama lakukan hanyalah bertakawal pada Allah s.w.t.



Waktu tu, rutin harian mama mengejar masa bangun seawal 3.00 pagi untuk memasak kuih muih dan nasi lemak dan selepas habis jualan, mama pergi ke pasar raya berdekatan untuk membeli barang-barang membuat kuih muih dan nasi lemak untuk keesokan harinya.



Oleh kerana kita sudah tidak mempunyai kereta, mama pun mengambil keputusan untuk berpindah rumah yang dekat dengan sekolah supaya kakak Liana dan kakak Hanis boleh kesekolah dengan berjalan kaki sahaja. Dan mama pun mula mencari tapak yang agak berdekatan dengan rumah untuk menjual nasi lemak dan kuih muih.



Namun usaha mama menjual nasi lemak itu tidak mudah bila daddy masih dikongkong oleh perasaan malunya yang terlalu tebal untuk terbabit dalam usaha mama itu. Maka setiap hari adalah tugas mama dan kakak Liana yang akan berulang alik dari rumah ke tepi jalan tempat mama menjual nasi lemak mengangkat meja, payung, tong nasi lemak serta lauk-pauk.





Setiap hari tu juga, mama terfikir-fikir bilalah mama boleh pergi ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan kandungan mama tu. Bukan apa, dahlah kenderaan tak ada, duit pun sekadar lepas untuk modal nasi lemak, maka keinginan mama untuk berjumpa doktor gyne tertangguh-tangguh.



Walhal sebelum itu, mama adalah wanita yang paling ambil berat mengenai kandungan. Mama pastikan setiap kali mengandung mama dapat pemeriksaan rutin dari doktor, mengambil vitamin yang doktor sarankan dan hanya makan makanan yang baik sahaja untuk kandungan.



Dalam pada itu bang Im pula masih menyusu badan sedangkan mama tahu tak elok mama beri susu badan pada anak ketika mama mengandung anak yang lain namun mama memilih untuk meneruskan penyusuan itu kerana mama tahu mama tak mampu untuk membeli susu formula.



Sedar tak sedar kandungan mama sudah menjangkau 7 bulan. Dalam hati tekad berkira-kira yang mama harus jumpa pakar sakit puan buat pemeriksaan ultrasound kerana sejak mengandung mama langsung tak pernah langsung berjumpa doktor. Namun dalam kerisauan mama itu, sebelum tidur, bangun tidur, selepas solat dan dimanapun mama berada, mama sentiasa berdoa semuga Allah memelihara kandungan mama itu.


Namun alhamdulillah dari mula mengandung sampai kandungan dah 7 bulan, Allah bagi kekuatan dan kesihatan pada diri mama. Langsung tak pernah mengalami sebarang masalah. Bangun awal pagi, angkat benda berat-berat, berdiri lama-lama, kehulu kehilir untuk berniaga, tak cukup tidur, rasa-rasa macam setiap hari makan nasi lemak yang tak habis dijual tu kot. Itulah kalau Allah nak pelihara kita, maka akan diperliharalah kita.


Pagi itu ketika Hafiiz masih 7 bulan dalam kandungan selepas habis berniaga, agaknya dah jemu makan nasi lemak, mama pun buat cucur ikan bilis untuk kita sekeluarga. Ketika asyik membalik-balikkan cucur bilis dalam kuali tiba-tiba mama rasa sakit nak meneran. Lepas tu mama pun menjerit sekuat hati panggil daddy sebab dah terasa kepala Hafiiz dah nak terkeluar.

Daddy pun cepat-cepat panggil kawan dia untuk pakai kereta. Sebaik kereta sampai, daddy panggil mama suruh masuk kereta. Mama tak boleh nak berjalan lagi. Mama dah rasa sangat kalau mama berjalan pasti Hafiiz tercicir atas lantai. Lepas tu mama pun suruh daddy angkat mama masuk kereta.

Mama suruh kakak Liana duduk rumah jaga abang Im yang baru berusia setahun empat bulan ketika itu. Dan kakak pun baru darjah lima ketika itu. Kakak Hanis dan abang Khairi mama suruh ikut sekali. Mama suruh kakak Hanis pegang tuala untuk sambut Hafiiz kalau terberanak dalam kereta nanti.


Daddy tanya mama nak pergi hospital mana. Mama cakap pergi Hospital Universiti. Bila sampai kat traffic light persimpangan USJ 2, mama dah tak tahan. Mama suruh daddy singgah jer mana-mana klinik tepi jalan. Tapi daddy berdegil. Daddy cuba teruskan ke Taipan kerana di situ ada hospital bersalin swasta. Dalam kereta mama menjerit-jerit kerana tak boleh tahan. Daddy suruh bertahan jugak. Menjerit-jerit mama marahkan daddy bawa kereta macam siput. Dah tu daddy asyik suruh mama bertahan. Mama pun menjerit' Dah nak terberanak mana boleh tahan ni....nak teran sekarang!!!!!!!!!!!lepas tu daddy terus kata tunggu, sabar jangan teran...selawat-selawat!!!


Nasib baik sempat sampai katil hospital dan mama pun terus teran. Masa tu doktor tak sempat pun tak pakai sarung tangan atau buat apa-apa persediaan. Alhamdulillah, Hafiz selamat mama lahirkan tidak cukup bulan dan berat hanya 1.5 kg. Doktor hanya potong tali pusat sahaja.


Selepas tu, doktor suruh daddy bawa Hafiiz ke hospital besar dengan segera kerana kelahiran yang tak cukup bulan menyebabkan hafiiz perlukan incubator, oksigen dan sebagainya dimana hospital itu tidak mempunyai semua peralatan itu.


Satu lagi detik cemas terpaksa kami lalui. Oleh kerana tiada kemudahan kereta ambulan untuk waktu terdekat itu, maka kami tiada pilihan untuk membawa hafiiz kehospital sejurus dilahirkan dengan menaiki kereta. Kami terpaksa memandu tanpa aircond dan biarkan tingkap kereta terbuka kerana Hafiiz perlukan oksigen.


Daddy perlu memandu dengan laju untuk sampai ke hospital Klang dengan segera melihatkan muka dan badan Hafiiz jadi semakin biru.


Mujurlah selamat sampai dihospital tepat pada masanya. Sampai di bahagian kecemasan hospital besar Klang, para kakitangan dengan segera membawa Hafiiz ke bahagian ICU kanak-kanak dan terus dimasukkan ke dalam incubator.


Hampir separuh pantang bersalin mama, mama habiskan dikatil hospital untuk menjaga Hafiiz. Bila lahir tak cukup bulan Hafiiz terlalu halus, masih lemah dan tak pandai menghisap puting untuk menyusu. Oleh kerana kekurangan cecair dalam badan Hafiiz dijangkiti demam kuning.


Sebab tu mama berusaha supaya Hafiiz dapat susuan badan yang mencukupi. Masa tu nurse di hospital sangat strict. Mereka tak benarkan ibu-ibu menggunakan botol susu untuk menyusukan anak.Mungkin itu salah satu cara mereka untuk mendisplinkan ibu-ibu supaya menyusukan anak dengan susu badan. Masalahnya bila bayi tak cukup bulan, mereka tiada keinginan dan daya untuk menghisap puting susu ibu.


Mama jadi risau bila setiap hari berat Hafiiz belum bertambah. Doktor kata, berat Hafiiz kena bertambah hingga ke 2.5 kg baru Hafiiz dibenarkan pulang. Jadi dengan sembunyi-bunyi mama bagi Hafiiz minum menggunakan puting botol susu yang mama perah dari susu mama.


Dengan menggunakan puting botol botol susu, Hafiiz dapat minum dengan banyak.


Setiap kali menyusukan Hafiiz di dalam bilik penyusuan, mama sembunyikan botol susu dalam baju. Mama gembira sangat bila Hafiiz minum banyak dan tak sampai dua minggu berat Hafiiz mencecah 2.5 kg dan kami dibenarkan pulang.


Sampai dirumah Hafiiz disambut penuh kesyukuran dan kami menamakan Hafiiz dengan nama Hafiizhullah Ariif yang bermakna "Dalam Peliharaan Allah lagi Bijaksana".Insyallah, mudah-mudahan.Amin.

1 Rejab

Salam pagi yang redup.Matahari masih malu-malu tersipu dibalik mendung yang diam. Sesekali kicauan burung mencetus irama indah di hening pagi ini.Hari bermula. Walau terang walau mendung waktu berdetik jua.

Hari ini 1 Rejab. Saya berpuasa sunat. Insyallah. Sesudah puasa yang utama dalam bulan Ramadhan, kita disunatkan berpuasa di dalam bulan bulan haram (suci) ; iaitu empat bulan kesemuanya. Dzul-Qa'edah, Dzul-Hijjah, Muharram dan Rejab sesuai dengan firman Allah Ta'ala :-

"Sesungguhnya jumlah bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah, dihari Dia mencipta langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram (suci)"

(At-Taubah:36)


Ada riwayat mengatakan bahawa berpuasa sehari dalam bulan haram (suci) itu menyamai berpuasa tiga puluh hari dari bulan lain. Dan seterusnya berpuasa sehari dari bulan Ramadhan menyamai pahala berpuasa tiga puluh hari dari bulan-bulan haram (suci). Riwayat lain pula mengatakan bahawa sesiapa yang berpuasa tiga hari berturut-turut dari hari-hari di bulan-bulan haram, iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu, nescaya dia akan dilindungi Allah dari api neraka.

Sunday, June 13, 2010

Adakah Anda Wanita Hebat, Cekal, Kuat, Tabah Atau Memang Wanita Bodoh.

Saya ada beberapa soalan yang minta para pembaca beri pendapat dan apakah tindakan yang wajar untuk persoalan-persoalan ini.


1. Haruskah anda mensyukuri mempunyai suami yang layan anda seperti maid yang tidak bergaji?

2. Sejauh manakah anda dapat bertahan jika suami suka memaki hamun mengatakan anda bodoh dan bangang?

3. Sampai bilakah anda boleh bersabar bila suami tidak memberi nafkah, sara hidup untuk anda dan anak-anak sejak beberapa tahun sehingga sekarang?

4. Apakah yang harus anda lakukan bila suami hanya berdiam diri sedangkan anda terus-terusan dilayan buruk oleh ibu mertua?

5. Apakah tindakan anda bila suami memaki hamun anda mengatakan anda perempuan sundal?

6. Haruskah anda bersabar bila suami anda ada seorang ibu angkat yang sering menelefonnya dan suami anda memanggilnya dengan panggilan sayang?

7. Sanggupkah anda menunggu sampai akhir hayat sekiranya anda sering ditengking herdik oleh suami, sudah tidak diberi nafkah walau sesenpun, dimaki hamun, dikerah macam orang gaji hanya kerana anda rasa penceraian akan mencemarkan maruah diri?

Saturday, June 12, 2010

Cermin Diri Terlebih Dahulu.

Selalu sangat kita nampak orang punya silap.Orang punya salah. Orang punya kejahilan.Orang punya kekurangan.Orang punya kecacatan.Dan segala-gala orang punya.


Itu yang buat kita susah sangat nak nampak salah silap kita. Yang sebenarnya kita pun tak berapa betul. Yang sebenarnya hidup kita pun pincang. Yang nyatanya hati kitapun tak bersih. Yang selalunya kata-kata kita pun kurang ajar dan tak fikir apa perasaan orang.


Memang senang kita nak tegur orang, nak nasihatkan orang, nak kutuk orang, nak perli orang, nak merendah-rendahkan orang lain.Walhal memang terang-terang orang yang kita tegur tu lebih baik dari kita. Dan kita sebenarnya lebih teruk daripada diaorang.Dan sebenarnya kitapun bukanlah baik sangat pun.Tapi nak jugak tunjuk macam kita ni baik sangat kan. Asalkan orang yang kita kata tu nampak buruk.


Jadilah manusia yang ikhlas. Kalau bagus...boleh puji, puji sahajalah. Asalkan ikhlas. Jangan kekotoran hati menafikan kebagusan dia dan mengatakan yang dia tu buruk.Kalau tak suka tak perlu menyakitkan hati orang mengutuk begitu begini.


Lihatlah diri sendiri. Kajilah kekurangan diri. Renunglah adakah aku ni memang manusia baik, beriman dan dah cukup bersihkan hati ini. Tak perlu nak highlight kekurangan orang...nak singgung perasaan orang dan menggambarkan yang kita ni baik sangat. Tak perlu!

Friday, June 11, 2010

Biru Mata Hitam Ku

Malam minggu yang lepas, saya berparty...party...party. Seronok sangat dengar lagu lama-lama di wedding dinner abang kawan saya di Shah Village. Kebanyakan oldies songs. Penyanyi di situ ialah Mas dan suami.


Tambah meriah dengan gelekan Kak Esah, the oldest sister of my friend Faridah. Gelak sakan kami tengok dia menari bersama penyanyi. Yang si suami lalu lalang didepan pentas sambil bibir menjuih dan menjelir lidah mengusik isterinya. Saya kagum tengok kemesraan mereka suami isteri walaupun dan berusia mencecah 60 tahun.


Disebabkan kami terlalu asyik menonton Kak Esah menari...terlupalah pulak nak tangkap gambar.

So gambar yang ada hanyalah gambar kami berlima sahaja. Suami seperti biasalah macam anak dara pingitan tak mahu bergambar.










Wednesday, June 9, 2010

Bukan Untuk Tontonan Umum

Minta maaflah ya...rasa-rasa entri ni tidak berapa sesuai untuk tontonan umum. Hanya untuk 18 sx ke apa ntah macam dah lama tak nampak simbol2 macam tu.

Seorang kawan mengadu. Kecewa benar kedengarannya. Apa taknya bila suami yang baru dikahwini....tak sampai pun 5 tahun dah mula bersikap dingin.Macam dah tak da selera nak pandang dia. Macam dah tak sudi nak sentuh dia.

Walhal masa belum kahwin dulu...sang lelaki tu yang tergila-gilakannya. Terkejar-kejarkan nya.
Sekarang si isteri pulak resah menunggu atas katil. Pusing ke kiri pusing kekanan. Sudahnya tertidur. Sang suami pulak dengan muka tak da perasaan selamba tengok tv, habis satu movie ke satu movie.

Nak tunjuk sifat romantik lagilah tak da...tak wujud kot. Adalah romantik jugak...tipulah kalau kata tak ada.Tapi yang buat dia kecewa tu sifat romantik hanya ketika sang suami tu nak bersama sahaja.Bila dah lepas tu....terus paling badan...nak pandang muka pun macam dah tak hengen dah kot.

Tulah agaknya orang perempuan ni banyak sangat terpengaruh dengan cerita orang putih.Nak harap suami tu jadi macam orang putih kot. Orang putih tu memanglah...romantik memanjang kot. Tolong isteri masak kat dapur pun, nak dakap-dakap dan cium-cium.Tak lah semestinya mukadimmah waktu nak bersama sahaja.

Hari tu saya dan Hanis makan kat food republic pavillion. Kami lihat ada seorang mat salleh berjalan dengan anak-anaknya yang masih kecil. Kami merasakan apa yang kami lihat itu sangat comel kerana seorang lelaki boleh berjalan dan handle anak-anaknya yang masih kecil tanpa bantuan isteri.

Bayangkan kalau dia berjalan bersama isterinya, pasti dia juga yang banyak take part handle anak-anak bila berjalan. Tak adalah macam setengah daripada kita, kalau berjalan dengan anak-anak...sibapa nampak santai sakan yang siibu pulak naik rebeh mendukung dan menguruskan anak-anak.....memanglah tak romantik.Bukan setakat tak romantik....buat sakit mata je mandang.

Berbalik pada cerita kawan saya tadi....saya nasihatkan...bersabar sahajalah. Itu sahaja yang boleh kita lakukan. Mungkin sang suami tu ada fasa-fasa tertentu. Kot waktu tu fasa dia tak da mood dengan isteri. Kenalah sabar tunggu fasa yang tiba-tiba dia tergila-gilakan kita sampai kita nak bergerak pun tak boleh.Nak kemana pun dia nak ikut. Apatah lagi kalau tengok kita seksi sket pun. Bukan setakat tunggu atas katil....duduk basuh kain pun ditariknya masuk bilik.

Tuesday, June 8, 2010

Kau Yang Ku Panggil Abang Aku Yang Kau Panggil Sayang

Abang di sana berbeza benua
tak sama di atas garis khatulistiwa
mencurah rasa membelai kasih
menganyam angan sorang-sorang
namun anganan yang sama
mahu bertemu
mahu bersatu

Sayang di sini direntang garis waktu
menagih cinta mengomel rindu
mengulit mimpi sendiri-sendiri
namun mimpi yang serupa
mahu bersua
mahu bersama


Kau yang ku panggil abang
Aku yang kau panggil sayang

Rindu tak terlukis
cinta tak tergaris
air selautan hindi pun
tak mampu memadam namamu dari ingatan ku
tak mampu memudar rasa cinta padamu
tak mampu melenyap gelora rindu padamu

Kau yang ku panggil abang
Aku yang kau panggil sayang


Di sini aku menunggu kau datang.

Saturday, June 5, 2010

Cinta Di Akhir Garisan

Salam auntie,

Saya ingin meminta pendapat dan nasihat daripada auntie. Saya tidak tahu kepada siapa lagi patut saya mengadu.

Saya ada pernah mempunyai seorang kekasih 6 tahun lepas. Tetapi kami sudah berpisah. Punca kami berpisah kerana saya dahulu seorang yang boleh dikatakan queen control. 24 jam saya ingin mengetahui apa yang dia buat. Oleh sebab itu, dia mencari orang lain. Namun keluarga saya cuma tahu kami berpisah kerana dia curang. Kerana pada masa itu saya sangat sedih apabila berpisah dan tidak mampu untuk berfikir lagi yang perpisahan itu juga berpunca dari saya. Saya sangat sedih sehingga keputusan saya di matrix merosot dan akhirnya saya keluar dari matrikulasi.

Namun masa berlalu dan saya sedar itu juga kesalahan saya. Walaupun kami berpisah selama 6 tahun tetapi kami masih berhubung antara satu sama lain dan saya mengakui saya masih sayangkan dia dulu sampai sekarang. Dalam masa 6 tahun itu saya juga mempunyai kekasih dan dia juga begitu. tapi kami berdua mengaku yang hati kami masih terasa kosong walaupun mempunyai kekasih. Untuk pengetahuan auntie, dia ini boleh dikatakan memiliki rupa paras yang hensem dan meang ramai perempuan yang menyukainya. Dia juga boleh dikatakn 'playboy'.

Dia banyak kali meminta untuk kami bersama semula selama 6 tahun kami berpisah, tapi sy menolak kerana tolak dilukai lagi. Namun sekarang saya sudah habis degree dan mula bekerja saya sedar yang saya memang sayangkan dia. Saya mempunyai kekasih sekarang dan dia memang seorang yang sangat baik dan setia. tetapi hati saya tidak sepenuhnya dengan dia. Saya merasa lebih gembira apabila dengan kekasih saya dulu.

Masalahnya sekarang, keluarga saya tidak merestui hubungan saya dan bekas kekasih saya. Dia sudah berubah kini. Keluarga dia sendiri mngatakan dia betul2 sayangkan saya. Dia sanggup lakukan apa sahaj untuk membuktikan dia berubah. Dia sanggup bertemu keluarga saya untuk meminta maaf dan mendengar apa sahaja yang keluarga sy ingin katakan. Tapi keluarga saya tidak mahu sy berjumpa dengannya pun. mereka tidak tahu bahawa dulu kami berpisah atas kesalahan sy juga. Jika sy ingin ceritakan kepada mereka, sudah tentu mereka fikir sy sudah termakan kata2 manis daripada bekas kekasih saya itu lalu menyalahkan diri sy. Tapi sebenarnya kami mengaku itu salah kami berdua dan kami berdua ingin membetulkan keadaan itu. keluarga bekas kekasih saya sendiri juga berkata itu salah kami berdua dan mereka menyokong untuk kami berpasangan semula. keluarganya amat baik terhadap saya.

Dalam masa yang sama, saya merasa bersalah dengan kekasih saya sekarang kerana dia seorang yang sangat baik dan saya tidak tahu bagaimana hendak memberitahunya. Apa yang patut saya lakukan dr? keluarga saya meminta saya memutuskan hubungan dengan bekas kekasih saya, tapi saya sayangkan dia, selama 6 tahun kami berpisah dan sekarang kami hendak berpisah lagi? saya sayang kekasih saya yang sekarang ini tetapi sayang saya lebih kepada bekas kekasih saya.

Klau hendak dibandingakn, saya mengaku yang kekasih saya sekarang nie lebih stabil dalam kewangan berbanding bekas kekasih saya. Bekas kekasih saya cumala orang sederhana.

saya harap auntie dapat memberi nasihat kepada saya. Terima kasih auntie.



Amirah ku sayang.....kalau nama dia Amirahlah. Tak kiralah siapapun nama dia, saya dengan rasa penuh kasih sayang cuba meluangkan masa untuk mendengar suara hati Amirah atau siapapun kamu dan ambillah nasihat saya sekiranya Amirah rasa baik atau lupakan sahaja sekiranya Amirah anggap tak berguna.

Dalam mengemudi sebuah kehidupan kita tak akan dapat lari daripada perasaan cinta dan mencintai. Rasa cinta itu indah, menghairahkan, mengasyikkan, menguja perasaan, rindu bila berjauh, mahu selalu bertemu, mahu selalu mengadu, ingin sentiasa ditemani.

Namun cinta bukan berlandaskan perasaan dan keghairahan semata-mata. Cinta yang berlandaskan perasaan adalah cinta sebuah anganan manakala cinta berlandasan keghairahan adalah satu dorongan nafsu.


Cinta sejati atau cinta yang sebenar lebih daripada itu.Berpijaklah dibumi nyata bahawa cinta perlu dibuktikan. Cinta perlu ditunjukkan.Cinta perlu dinyatakan dan cinta itu sebenarnya adalah sebuah tanggungjawab.Dan cinta juga harus dipertanggungjawabkan.



Cinta bukan sekadar i love you, you love me dan i love you too.



Kalau betul kekasih 6 tahun itu mencintai Amirah, apakah commitment yang pernah dia tunjukkan pada Amirah.



-Adakah dia pernah memanjakan Amirah dengan bermacam pemberian menunjukkan dalamnya kasih sayang dia terhadap Amirah.Kerana itu adalah salah satu sifat lelaki yang bersungguh mencintai seorang wanita lalu memahami bahawa wanita ini suka dimanja dengan pemberian-pemberian.



-Adakah dia ada disamping Amirah ketika Amirah memerlukannya. Seperti menghantar pergi atau balik kerja atau sebagainya.



- Adakah di sisi Amirah ketika Amirah mahu mengadu segala kesusahan. Seperti menghantar Amirah ke klinik ketika Amirah dalam kesakitan atau menolong Amirah sekiranya Amirah kesempitan wang dan sebagainya.


Atau dia sekadar kekasih untuk bersms, bertelefon, berym dan bertemu hanya sebagai pelepas rindu dan sebagainya.



Jangkamasa 6 tahun sebagai kekasih bukan jangkamasa yang pendek.Kalau dalam jangkamasa 6 tahun itu, begitu dia commit terhadap hubungan kamu berdua seperti yang saya sebutkan diatas tadi...memang Amirah dan kekasih 6 tahun Amirah itu adalah pasangan kekasih yang tak perlu diragui.Kamu amat saling mencintai. Go for it. Tanamkan dalam hati apa sahaja yang kita putuskan untuk hidup kita perlu rasa enjoy sepenuh hati.



Orang lain, keluarga dan sebagainya adalah soal kedua. Apa yang penting Amirah kenal dan tahu siapa sebenar kekasih 6 tahun Amirah. Dan Amirah sendiri patut tahu apa yang terbaik buat diri Amirah dan hidup Amirah.


TETAPI



Jika tidak ada aspek-aspek seperti yang saya nyatakan di atas, saya mahu Amirah merenung diri dan berfikir seribu kali sebelum membuat keputusan yang betul.



Memanglah memasuki gerbang perkahwinan seperti memasukan diri dalam percaturan atau perjudian namun kita berhak memilih yang terbaik dan melihat yang terbaik sebelum berkahwin. Kalau sebelum kahwin pun dah nampak segala kepincangan apakah yang Amirah harapkan selepas berkahwin.



Amirah harus fikirkan bahawa sebenarnya ada hikmah disebalik perpisahan dengan kekasih 6 tahun itu. Amat sukar bagi Amirah untuk melalui kehidupan yang ada sekarang dengan mudah apabila Amirah sendiri tidak mahu melupakan kenangan yang sudah sepatutnya Amirah padamkan dari ingatan.Jangan mengenang benda yang telah lepas kerana memang ditakdirkan bahawa dia bukanlah sebahagian daripada masa depan kita.



Melupakan kekasih 6 tahun bukan bermakna melepaskan dia pergi begitu sahaja tetapi Amirah telah menerima takdir yang dia sebenarnya bukan untuk Amirah.



Dan menghargai insan yang menghargai Amirah pula sama seperti Amirah menghargai diri Amirah sendiri dan meletakkan diri Amirah di tempat yang tinggi.



Selain daripada itu hanya Amirah sendiri tahu apa yang terbaik untuk diri Amirah dan masa depan Amirah. Apa yang saya nyatakan itu sekadar secebis nasihat ikhlas dari sudut hati ini.



Insyallah mudah-mudahan Amirah dapat petunjuk untuk membuat keputusan yang terbaik dalam hidup Amirah.



Tuesday, June 1, 2010

Telur yang Paling Selamat Dimakan

Tiada istilah terlambat dalam hidup apabila kita mahu berubah menjadi lebih baik atau lebih sihat waima mahu berubah menjadi tampak lebih muda sekalipun.


Kalau selama ni kita tak ambil kisah apa yang kita makan dan minum. Mulai hari ini berubahlah untuk mengambil kira itu semua demi menjaga tubuh badan kita agar terpelihara dari pemakanan yang memudaratkan dan tidak baik untuk kesihatan.


Baru minggu lepas anak saya Alisya minta saya sediakannnya telur setengah masak. Kemudian bila Hafiiz datang diapun teringin dan saya pun tolong buatkan untuknya juga. Akhirnya seisi rumah ingin menikmati telur setengah masak yang di makan bersama kicap dan lada sulah. Waktu itu saya rasa seronok bila anak-anak saya makan sesuatu yang berkhasiat tanpa saya memikirkan bahawa telur setengah masak yang biasa itu sebenarnya tidak selamat dimakan. Ini kerana telur yang tidak dipasteur mengandungi kuman salmonella dan virus influenza yang boleh memudaratkan kesihatan umum.


Hari ini selepas mendapat undangan untuk hadir ke acara ‘Healthy Living Talkshow di KL Hilton anjuran Safe Food Corporation, saya amat gembira apabila ada sebuah syarikat usaha sama antara Korean Technology Provider (Safe Food Corporation) dengan pihak dari Malaysia yang prihatin tentang pentingnya gaya hidup yang sihat dan mengambil bahagian menggunakan teknologi korea untuk mempasteur telur agar berkhasiat dan selamat dimakan oleh semua.


Ingat lagi ketika saya mengandung dulu , memang saya elak memakan telur setengah masak kerana khuatir kuman yang tidak mati itu akan masuk ke dalam janin dan memudaratkannya. Kalaulah ketika itu ada SAFEGG pasti saya tak perlu mengelak untuk menikmati keenakan telur setengah masak atau yang tidak dimasak dengan betul ketika mengandung..


Maka setelah mendapat tahu semua ini saya amat mengesyorkan kepada anda semua agar bertukar daripada mengambil telur biasa kepada telur berpasteur SAFEGG. Mungkin bagi sesetengah orang telur berpasteur SAFEGG ini tidak murah dengan harga sebiji rm1. Tetapi harga itu sebenarnya sama dengan harga sebiji telur biasa yang anda makan direstoran restoran biasa.

Marilah sayang, kita mengubah amalan pemakanan kita dan memilih yang terbaik untuk kita dan keluarga kita dan untuk tips-tips dan keterangan yang lebih detail sila layari http://www.safefood.com.my/


Wah kalau orang lain selalu dengar bukan cinta biasa, saya sungguh seronok dengan penemuan bukan telur biasa.


Memang amat baik bila ibu-ibu mengandung menghadiri Healthy Living Talkshow seperti ini dan mendapat tahu betapa penting telur berpasteur kepada janin yang mereka kandung.Tapi bukan saya yang mengandung tu ya….dah tua.



Inilah rupanya mengapa kita patut makan hanya telur yang berpasteur...




Satu tips untuk semua ; jangan basuh telur sebelum menyimpan kerana dengan berbuat demikian akan menghakis satu lapisan perlindungan pada kulit telur menyebabkan kuman dapat masuk ke dalam telur




Semua cara memasak yang tidak memerlukan suhu yang tinggi sesuai bila kita hanya mengamalkan pemakanan telur SAFEGG.





Telur perlu berada pada suhu sejuk sebaik sahaja dibeli. Kalau Nampak refrigerator begini di supermarket-supermarket, silalah singgah kerana anda perlu makan telur yang berkhasiat dan selamat dimakan.




Telur SAFEGG memang tidak hanyir dan sesuai untuk semua jenis menu.









Bukan setakat gembira dapat makan yang enak-enak menu daripada telur SAFEGG tetapi gembira kerana mendapat pengetahuan baru tentang mengapa telur berpasteur penting untuk kita.

Lebih Penat Dengan Niat Mahu Menghilangkan Penat Membuat Kek Konon






















































































































































































































Hari minggu lepas...jalan-jalan di Pavillion, try-try tudung, try-try baju...lepaskan lelah di fitting room, cari-cari kasut Arissa, tengok wayang di Tropicana City,Damansara, sebab tiket wayang di Pavillion mahal, sembang-sembang dalam kereta, sambil mendengar Hanis menjerit kat adik-adik dia suruh diam, lepas tengok wayang ronda-ronda cari jalan ke Cyberjaya nak makan nasi arab di Saba Restoran, dah sendawa kekenyangan lalu terus ke Concorde Inn di KLIA, untuk mengucap selamat jalan kepada Khairi mengikuti rombongan oleh Kementerian ke Jepun.