Monday, June 28, 2010

Rumah Peninggalan Arwah Bapak (Bahagian Kedua)

Bukan itu sahaja, pada satu malam apabila bekalan letrik terputus, tiba-tiba emak terasa ada satu lembaga besar berbulu memeluk emak sehingga emak rasa sesak nafas hampir lemas. Emak tak putus-putus membaca ayat-ayat Al Quran yang terlintas difikirannya sehinggalah apabila tercetus dari mulutnya perkataan Allahuakbar, barulah dia merasa badan yang rasa kaku dipeluk tadi terlepas dan emak boleh bergerak semula. Selepas itu emak cepat-cepat mencari lilin dan meninggalkan rumah itu tergesa-gesa menuju ke rumah makcikku yang tak jauh dari situ. Malam itu emak bermalam di rumah makcikku.


Peristiwa itu tidak sedikitpun melemahkan emak untuk terus tinggal seorang diri di rumah itu kerana itulah rumahnya. Di rumah itulah dia mengharungi segala suka duka bersama arwah bapak dan anak-anak. Sepanjang usia muda hingga ke hari ini...di situlah dia menghabiskan sisa-sisa hidupnya. Mana mungkin dia mahu meninggalkan rumah itu walau sebenarnya dia tidak betah dengan segala gangguan itu.


Waktu aku bersekolah rendah dulu, ketika adikku baru dilahirkan, kami sekeluarga sering merasa susah hati, bukan sahaja dengan masalah emak yang selalu histeria, tetapi adik yang baru emak lahirkan sering diserang demam panas. Bila sahaja malam menjelang adik mula menangis tak henti-henti dengan keadaan mata terbeliak-beliak memandang keatas. Sekejap emak sakit.Sekejap adik sakit. Berbagai usaha dilakukan untuk mengatasi masalah sehinggalah habis wang simpanan arwah bapak dan beberapa ekar kebunnya terpaksa dijual bagi mengubati penyakit yang tak putus melanda kami sekeluarga.


Keadaan itu tidak pernah berubah malahan semakin bertambah buruk. Berkali-kali kami meminta emak cari rumah lain atau berpindah sahaja ke Kuala Lumpur tetapi emak tetap berkeras mahu terus tinggal di rumah itu.


Hinggalah apabila kesihatan emak semakin teruk. Mata emak jadi semakin rabun dan tidak boleh melihat jelas. Kami adik beradik cuba menghantar emak berubat dan emak telahpun menjalani pembedahan membuang selaput mata. Namun penglihatan emak tetap kabur dan tidak jelas. Badan emak selalu sakit-sakit yang teramat sangat. Tetapi setiap kali kami membawa berjumpa doktor dan emak menjalani pemeriksaan rapi keputusannya tetap sama. Doktor akan mengatakan makcik sangat sihat. Jantung makcik macam jantung orang muda. Semua ok. Tak da kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.Sehingga tiada doktor yang dapat mengesan apa sebenarnya penyakit emak.


Akhirnya, emak mengalah. Dia mengambil keputusan untuk meninggalkan rumah itu dan tinggal bersama anak-anaknya di Kuala Lumpur. Dua minggu sekali kami akan menghantar emak pulang sekadar mahu mengambil hasil pendapatan kebun kelapa sawitnya tanpa bermalam di rumah itu.


Kalau dulu ketika aku sesekali pulang ke rumah itu bersama anak-anak, kami akan tidur diruang tamu bersusun di depan TV. Tetapi sejak hari raya haji baru-baru ini, kami tidak berani tidur diruang tamu tetapi tidur beramai-ramai di ruang dapur betul-betul depan peti sejuk.


Satu malam pada hari raya puasa tahun lepas, sampai sahaja di rumah emak malam tu, seperti biasa kami anak beranak tidur di ruang tamu. Tepat jam 3 pagi tiba-tiba Liana terbangun dari tidur kerana begitu terasa hendak buang air kecil. Hendak ke bilik air di dapur sendirian belum ada kekuatan lalu dia mengejutkan Hanis untuk menemaninya ke bilik air di belakang dapur.



Hanis yang terlalu keletihan dek perjalanan yang jauh itu terus buat keras badan enggan bangun. Selepas seketika Liana mendengar suara kakakku dan emak rancak berbual di dapur.Dia pun bingkas bangun menuju ke dapur tanpa perlu mengejutkan Hanis untuk menemaninya ke bilik air.

Bila sampai dipintu dapur, perasaan Liana tiba-tiba berderau bila mendapati dapur sunyi sepi dan tiadapun sesiapapun yang berada di situ.Cepat-cepat dia berpatah balik dan berkeras mengejut Hanis semula untuk menemaninya ke bilik air. Mujurlah cuma sekali itu dia terkucil....kalau tidak mahu Hanis pulak yang histeria tak cukup tidur.

Pada malam yang sama, sebaik kami semua melelapkan mata, tiba-tiba tanpa semena-mena Hafiiz terdengar bunyi tapak kaki berderap menaiki tangga depan dianjung rumah mengelilingi tempat kami tidur dan selepas beberapa ketika suara tapak kaki berlalu pergi ke arah tangga semula. Selepas itu dia mendengar suara seperti kakak aku berbual-bual dengan aku ditangga rumah itu. Mahu sahaja dia mengejutkan aku kerana berasa cuak dengan apa yang didengarnya. Tetapi bila memikirkan aku tidur di baris yang paling hujung dan jauh dari kedudukannya, Hafiiz membatalkan niat tersebut.Hafiiz yang ketakutan cepat-cepat berselubung di bawah kain selimut sambil memejamkan mata rapat-rapat lalu tertidur sehingga pagi.

Sebaik bangun tidur Hafiiz cepat-cepat menceritakan kepada kami semua tentang apa yang dialami pada malam tersebut. Setelah mendengar cerita dari Hafiiz, rupa-rupanya Imran juga mengalami peristiwa yang sama. Dan mereka berdua hanya berdiam diri berselubung selimut kerana ketakutan dan terlelap sampai hari telah siang.

bersambung.........




Sunday, June 27, 2010

Rumah Peninggalan Arwah Ayah (Bahagian Pertama)

Matahari pagi mula ghairah muncul menyelinap di celah rimbunan pepohon getah di kebun jiran kami di hadapan rumah lalu sinarnya yang berselerak masuk ke dalam anjung rumah aku mendamaikan pagi yang masih dingin itu.


Jam dua pagi itu aku sampai dirumah emak dengan memandu kereta hanya ditemani anak-anak. Selepas solat subuh mata masih segar dan belum ada ura-ura mahu mencari bantal untuk membalas dendam kerana mengantuk disepanjang perjalanan pulang. Aku hanya duduk-duduk di tangga batu bercat biru yang warna sudah pudar dah terkopek sana sini sambil menikmati suasana damai pagi itu. Sayu rasa hati memerhati rumah peninggalan arwah bapak yang sudah semakin usang dan semakin hilang seri dan membayangkan diri sendiri yang semakin tua diinjak usia.


Dulu ketika arwah bapak berwar war membeli tanah tapak rumah itu, arwah tok sebelah emak membantah dan menegaskan bahawa tanah di situ tidak elok untuk didiami. Bersungguh-sungguh arwah tok mengatakan tanah itu 'keras'.


Arwah bapak pula memang tidak pernah percaya perkara karut marut dan tahyul begitu. Dia berkeras dengan pendiriannya mahu membeli tanah itu dan mendirikan rumah untuk kami sekeluarga.


Tidak berapa lama mendiami rumah itu, hidup kami sekeluarga mula di hantui keresahan.
Emak sering sakit-sakit. Aku adalah antara anak emak yang sering sakit-sakit.Begitu juga adik-adik aku yang lain.Kadang-kadang kami diserang penyakit yang pelik dan tak masuk akal.


Sejak aku berada dalam darjah satu, emak sering diserang histeria.Bila sakitnya menyerang, tiba-tiba emak mempunyai kekuatan luar biasa yang melebihi kekuatan sepuluh orang lelaki. Emak akan mejerit mengilai-ngilai betul-betul menyerupai hilaian hantu pontianak.


Ketika itu kakak aku akan memanggil semua pakcik-pakcik aku yang kebetulan memang tinggal berdekatan. Emak seolah-olah mahu terbang ke udara sambil mengilai-ngilai dan dipegang oleh semua pakcik-pakcik ku. Mujurlah arwah pakcik ku iaitu abang emak yang sulung pandai mengubat orang. Apabila dia memegang ibu jari emak sambil mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu, tiba-tiba emak menjerit nyaring dan lama-lama semakin lemah dan tidak sedarkan diri.

Perkara itu berulang selama hampir setiap bulan dalam beberapa tahun tanpa dapat dipulihkan. Pelbagai usaha dan puluhan bomoh yang emak temui untuk mengubati penyakit misteri itu tetapi gagal.

Hinggalah kini kami dah dewasa, beranak pinak dan arwah bapak telah tiada tetapi rumah yang kini hanya diduduki oleh emak seorang semakin sering diganggu.


Puas kami memujuk emak untuk meninggalkan rumah itu untuk tinggal bersama anak-anaknya di Kuala Lumpur namun usaha kami memujuk emak tidak berjaya.

Kadang-kadang aku kagum. Yang selebihnya rasa hairan atas keberanian emak untuk terus tinggal disitu. Emak yang sebahagian besar masa hidupnya dihabiskan di atas tikar sembahyang memang kebal orangnya. Bayangkan ketika sedang khusyuk bersolat, kedengaran dinding sekeliling rumah itu dibaling batu bertalu-talu dan hanya berhenti bila emak berhenti solat.



bersambung.............

Sunday, June 20, 2010

Bertahta Di Hati






Dihempas ombak
Terdampar buih
menanti waktu pulang kelaut


Lihat lihat
kedalam mataku
cintamu bertahta

Sebelum ku kenal dirimu siapa
aku tak kenali
apa itu cinta

Takkan berganjak pendirianku ini
selagi kita tak kembali bersatu selamanya
tak kan berubah perasaan ini terhadapmu
biar digugat
biar di cabar
biar dihalang

Sebelum ku kenal
dirimu siapa
aku tak kenali
apa itu cinta

setelah ku kenal
dirimu sebenar
kau cinta sejati
ku sandarkan jiwa.....

Monday, June 14, 2010

Dalam Peliharaan Allah Lagi Bijaksana






Dah besar pun Hafiiz. Dah nak ambil UPSR tak berapa bulan lagi. Minta-minta Hafiiz boleh berjaya macam abang -abang dan kakak -kakak Hafiiz. Bukan apa dalam semua anak-anak mama, Hafiiz lain dari yang lain. Paling keras hati, paling sensitif, paling nakal, paling manja dan paling pandai sepatutnya.



Dulu masa kecil-kecil Hafiiz pandai sangat. Periksa apapun mesti skor 100. Tapi sekarang prestasi dah menurun. Minta-minta UPSR nanti prestasi Hafiiz meningkat macam masa Hafiiz kecil-kecil dulu.



Apakah perangai Hafiiz ni lain dari adik-beradik yang lain ada berkaitan dengan keadaan keluarga kita masa Hafiiz dilahirkan? Entahlah tapi peristiwa kelahiran Hafiiz adalah satu peristiwa yang tak mungkin dapat mama lupakan.





Ketika usia abang Im 7 bulan iaitu baru pandai merangkak, mama mengandung lagi.



Dengan keadaan mama yang ketika itu tidak mahu mengenal penat bertungkus lumus menjual nasi lemak dan kuih muih mencari duit untuk sesuap nasi buat anak-anak mama yang berderet tu, bolehlah pulak mama termengandung sedangkan selalu ingat kalau mama beri anak susu badan pasti dapat menjarakkan kelahiran anak yang seterusnya.



Namun kuasa Allah tak siapa dapat menyangkal. Dalam setiap solat, mama berdoa Allah permudahkan hidup mama dan murahkan mama rezeki. Alhamdulillah, Allah makbulkan doa mama dan anak itu juga adalah rezeki dari Nya.



Mama terima dengan hati terbuka kerana memang mama sukakan anak ramai. Walau ketika itu mama tahu dengan keadaan daddy tak bekerja dan jualan nasi lemak dan kuih muih mama memang untuk tanggung seorang anak pun tak lepas inikan pula anak berderet macam anak mama. Tetapi apa yang mampu mama lakukan hanyalah bertakawal pada Allah s.w.t.



Waktu tu, rutin harian mama mengejar masa bangun seawal 3.00 pagi untuk memasak kuih muih dan nasi lemak dan selepas habis jualan, mama pergi ke pasar raya berdekatan untuk membeli barang-barang membuat kuih muih dan nasi lemak untuk keesokan harinya.



Oleh kerana kita sudah tidak mempunyai kereta, mama pun mengambil keputusan untuk berpindah rumah yang dekat dengan sekolah supaya kakak Liana dan kakak Hanis boleh kesekolah dengan berjalan kaki sahaja. Dan mama pun mula mencari tapak yang agak berdekatan dengan rumah untuk menjual nasi lemak dan kuih muih.



Namun usaha mama menjual nasi lemak itu tidak mudah bila daddy masih dikongkong oleh perasaan malunya yang terlalu tebal untuk terbabit dalam usaha mama itu. Maka setiap hari adalah tugas mama dan kakak Liana yang akan berulang alik dari rumah ke tepi jalan tempat mama menjual nasi lemak mengangkat meja, payung, tong nasi lemak serta lauk-pauk.





Setiap hari tu juga, mama terfikir-fikir bilalah mama boleh pergi ke klinik atau hospital untuk pemeriksaan kandungan mama tu. Bukan apa, dahlah kenderaan tak ada, duit pun sekadar lepas untuk modal nasi lemak, maka keinginan mama untuk berjumpa doktor gyne tertangguh-tangguh.



Walhal sebelum itu, mama adalah wanita yang paling ambil berat mengenai kandungan. Mama pastikan setiap kali mengandung mama dapat pemeriksaan rutin dari doktor, mengambil vitamin yang doktor sarankan dan hanya makan makanan yang baik sahaja untuk kandungan.



Dalam pada itu bang Im pula masih menyusu badan sedangkan mama tahu tak elok mama beri susu badan pada anak ketika mama mengandung anak yang lain namun mama memilih untuk meneruskan penyusuan itu kerana mama tahu mama tak mampu untuk membeli susu formula.



Sedar tak sedar kandungan mama sudah menjangkau 7 bulan. Dalam hati tekad berkira-kira yang mama harus jumpa pakar sakit puan buat pemeriksaan ultrasound kerana sejak mengandung mama langsung tak pernah langsung berjumpa doktor. Namun dalam kerisauan mama itu, sebelum tidur, bangun tidur, selepas solat dan dimanapun mama berada, mama sentiasa berdoa semuga Allah memelihara kandungan mama itu.


Namun alhamdulillah dari mula mengandung sampai kandungan dah 7 bulan, Allah bagi kekuatan dan kesihatan pada diri mama. Langsung tak pernah mengalami sebarang masalah. Bangun awal pagi, angkat benda berat-berat, berdiri lama-lama, kehulu kehilir untuk berniaga, tak cukup tidur, rasa-rasa macam setiap hari makan nasi lemak yang tak habis dijual tu kot. Itulah kalau Allah nak pelihara kita, maka akan diperliharalah kita.


Pagi itu ketika Hafiiz masih 7 bulan dalam kandungan selepas habis berniaga, agaknya dah jemu makan nasi lemak, mama pun buat cucur ikan bilis untuk kita sekeluarga. Ketika asyik membalik-balikkan cucur bilis dalam kuali tiba-tiba mama rasa sakit nak meneran. Lepas tu mama pun menjerit sekuat hati panggil daddy sebab dah terasa kepala Hafiiz dah nak terkeluar.

Daddy pun cepat-cepat panggil kawan dia untuk pakai kereta. Sebaik kereta sampai, daddy panggil mama suruh masuk kereta. Mama tak boleh nak berjalan lagi. Mama dah rasa sangat kalau mama berjalan pasti Hafiiz tercicir atas lantai. Lepas tu mama pun suruh daddy angkat mama masuk kereta.

Mama suruh kakak Liana duduk rumah jaga abang Im yang baru berusia setahun empat bulan ketika itu. Dan kakak pun baru darjah lima ketika itu. Kakak Hanis dan abang Khairi mama suruh ikut sekali. Mama suruh kakak Hanis pegang tuala untuk sambut Hafiiz kalau terberanak dalam kereta nanti.


Daddy tanya mama nak pergi hospital mana. Mama cakap pergi Hospital Universiti. Bila sampai kat traffic light persimpangan USJ 2, mama dah tak tahan. Mama suruh daddy singgah jer mana-mana klinik tepi jalan. Tapi daddy berdegil. Daddy cuba teruskan ke Taipan kerana di situ ada hospital bersalin swasta. Dalam kereta mama menjerit-jerit kerana tak boleh tahan. Daddy suruh bertahan jugak. Menjerit-jerit mama marahkan daddy bawa kereta macam siput. Dah tu daddy asyik suruh mama bertahan. Mama pun menjerit' Dah nak terberanak mana boleh tahan ni....nak teran sekarang!!!!!!!!!!!lepas tu daddy terus kata tunggu, sabar jangan teran...selawat-selawat!!!


Nasib baik sempat sampai katil hospital dan mama pun terus teran. Masa tu doktor tak sempat pun tak pakai sarung tangan atau buat apa-apa persediaan. Alhamdulillah, Hafiz selamat mama lahirkan tidak cukup bulan dan berat hanya 1.5 kg. Doktor hanya potong tali pusat sahaja.


Selepas tu, doktor suruh daddy bawa Hafiiz ke hospital besar dengan segera kerana kelahiran yang tak cukup bulan menyebabkan hafiiz perlukan incubator, oksigen dan sebagainya dimana hospital itu tidak mempunyai semua peralatan itu.


Satu lagi detik cemas terpaksa kami lalui. Oleh kerana tiada kemudahan kereta ambulan untuk waktu terdekat itu, maka kami tiada pilihan untuk membawa hafiiz kehospital sejurus dilahirkan dengan menaiki kereta. Kami terpaksa memandu tanpa aircond dan biarkan tingkap kereta terbuka kerana Hafiiz perlukan oksigen.


Daddy perlu memandu dengan laju untuk sampai ke hospital Klang dengan segera melihatkan muka dan badan Hafiiz jadi semakin biru.


Mujurlah selamat sampai dihospital tepat pada masanya. Sampai di bahagian kecemasan hospital besar Klang, para kakitangan dengan segera membawa Hafiiz ke bahagian ICU kanak-kanak dan terus dimasukkan ke dalam incubator.


Hampir separuh pantang bersalin mama, mama habiskan dikatil hospital untuk menjaga Hafiiz. Bila lahir tak cukup bulan Hafiiz terlalu halus, masih lemah dan tak pandai menghisap puting untuk menyusu. Oleh kerana kekurangan cecair dalam badan Hafiiz dijangkiti demam kuning.


Sebab tu mama berusaha supaya Hafiiz dapat susuan badan yang mencukupi. Masa tu nurse di hospital sangat strict. Mereka tak benarkan ibu-ibu menggunakan botol susu untuk menyusukan anak.Mungkin itu salah satu cara mereka untuk mendisplinkan ibu-ibu supaya menyusukan anak dengan susu badan. Masalahnya bila bayi tak cukup bulan, mereka tiada keinginan dan daya untuk menghisap puting susu ibu.


Mama jadi risau bila setiap hari berat Hafiiz belum bertambah. Doktor kata, berat Hafiiz kena bertambah hingga ke 2.5 kg baru Hafiiz dibenarkan pulang. Jadi dengan sembunyi-bunyi mama bagi Hafiiz minum menggunakan puting botol susu yang mama perah dari susu mama.


Dengan menggunakan puting botol botol susu, Hafiiz dapat minum dengan banyak.


Setiap kali menyusukan Hafiiz di dalam bilik penyusuan, mama sembunyikan botol susu dalam baju. Mama gembira sangat bila Hafiiz minum banyak dan tak sampai dua minggu berat Hafiiz mencecah 2.5 kg dan kami dibenarkan pulang.


Sampai dirumah Hafiiz disambut penuh kesyukuran dan kami menamakan Hafiiz dengan nama Hafiizhullah Ariif yang bermakna "Dalam Peliharaan Allah lagi Bijaksana".Insyallah, mudah-mudahan.Amin.

1 Rejab

Salam pagi yang redup.Matahari masih malu-malu tersipu dibalik mendung yang diam. Sesekali kicauan burung mencetus irama indah di hening pagi ini.Hari bermula. Walau terang walau mendung waktu berdetik jua.

Hari ini 1 Rejab. Saya berpuasa sunat. Insyallah. Sesudah puasa yang utama dalam bulan Ramadhan, kita disunatkan berpuasa di dalam bulan bulan haram (suci) ; iaitu empat bulan kesemuanya. Dzul-Qa'edah, Dzul-Hijjah, Muharram dan Rejab sesuai dengan firman Allah Ta'ala :-

"Sesungguhnya jumlah bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah, dihari Dia mencipta langit dan bumi, diantaranya empat bulan haram (suci)"

(At-Taubah:36)


Ada riwayat mengatakan bahawa berpuasa sehari dalam bulan haram (suci) itu menyamai berpuasa tiga puluh hari dari bulan lain. Dan seterusnya berpuasa sehari dari bulan Ramadhan menyamai pahala berpuasa tiga puluh hari dari bulan-bulan haram (suci). Riwayat lain pula mengatakan bahawa sesiapa yang berpuasa tiga hari berturut-turut dari hari-hari di bulan-bulan haram, iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu, nescaya dia akan dilindungi Allah dari api neraka.

Sunday, June 13, 2010

Adakah Anda Wanita Hebat, Cekal, Kuat, Tabah Atau Memang Wanita Bodoh.

Saya ada beberapa soalan yang minta para pembaca beri pendapat dan apakah tindakan yang wajar untuk persoalan-persoalan ini.


1. Haruskah anda mensyukuri mempunyai suami yang layan anda seperti maid yang tidak bergaji?

2. Sejauh manakah anda dapat bertahan jika suami suka memaki hamun mengatakan anda bodoh dan bangang?

3. Sampai bilakah anda boleh bersabar bila suami tidak memberi nafkah, sara hidup untuk anda dan anak-anak sejak beberapa tahun sehingga sekarang?

4. Apakah yang harus anda lakukan bila suami hanya berdiam diri sedangkan anda terus-terusan dilayan buruk oleh ibu mertua?

5. Apakah tindakan anda bila suami memaki hamun anda mengatakan anda perempuan sundal?

6. Haruskah anda bersabar bila suami anda ada seorang ibu angkat yang sering menelefonnya dan suami anda memanggilnya dengan panggilan sayang?

7. Sanggupkah anda menunggu sampai akhir hayat sekiranya anda sering ditengking herdik oleh suami, sudah tidak diberi nafkah walau sesenpun, dimaki hamun, dikerah macam orang gaji hanya kerana anda rasa penceraian akan mencemarkan maruah diri?