Thursday, September 5, 2013

Selalu

.
Sebenarnya doa tadi panjang. Berjela. Tidak seperti selalu. Seperti dikejar dan mengejar.Buat harapan yang membusut  mahu ku kaut dan mimpi seperti hujan yang mahu ku tadah. Hati melayang melepasi gaung. Apa yang ku pandang seperti kosong. Apa yang ku dengar hanya dengung. Mujur jasad masih di sini. Masih dengan doa. Berteleku di sudut sejadah. Berjela-jela beruntaian dengan airmata. Suara tersangkut di dada.  

Aku di mana tadi. Berpinar hampir mati. Semalam cuba memperbaiki apa yang perlu diperbaiki. Tetapi semakin aku berusaha semakin aku dicela. Doa ku masih panjang. Seperti aku mahu hubungan kita berpanjangan. Jangan terlalu keduniaan. Jangan kerana nafsu. Jangan terlalu iri cemburu. Sayangi aku kerana hatiku. Kasihi aku kerana diriku.

Banyak yang tidak selesai. Mana mungkin selesai selagi Allah meletak kita untuk diberi segala hikmahNya. Biar itu selalu jadi prasangkaku di sepanjang jalan yang luas ini. Biar masih kelam. Teraba raba melorong pergi.

Tangan belum pernah turun dari separas bahu. Belumpun habis waktu. Doa masih begitu. Aku mahu rasa bahagia.  Aku mahu rasa sendunya rindu. Biar rindu itu setiap saat menyelinap diqalbu. rinduimu demi mencari redhaMu Allah.

Waktu seperti dihenti. Memberi aku ruang untuk menanti dan memerhati. Jemu bertali. Tangkaskan waktu berlari. Biar cepat esok lusa dan tulat. Biar rasa terubat.Biar masa yang mengubah segalanya.

Aku letak tapak tangan di atas sejadah. Kemudian membongkok. Mencari kudrat untuk bangun. Hari ni mana aku nak pergi. Waktu masih pagi. Hari masih panjang untuk aku nyahkan segala kerinduan.

Aku akan selalu merinduimu.

Selalu.

Akan ada selalu.

Kerana aku belum berlalu.