Thursday, July 30, 2009

SANTAI.........

Dah lama tak keluar malam dengan cik abe....lepas hantar kek di Subang Jaya, kami terus menyinggah di Geylang Kopitiam.

Banyak betul perkara kami bualkan. Saya dengan suami ni macam tak boleh berenggang. Macam je la kan.

Sebenarnya, kalau suami saya keluar ke manapun saya tak tahu. Sebab dia suka sangat bagi tahu in advance. Saya pulak memang tak masuk dalam kepala. Tak pernah nak ingat apa dia cakap. Banyak sangat benda nak fikir.

Esok berapa biji kek nak kena buat. Lusa berapa biji? Sapa yang order?Bila nak mop lantai, mana nak cari strawberri (tiba-tiba semua kedai tak ada strawberri). Esok hari apa? Sekarang pukul berapa? takut kedai jual barang kek tutup. Kotak dan papan kek cukup ke? Ala macam mana nak bawa Daleeya dengan Arissa pergi hantar dan ambik budak-budak sekolah ni. Ada jugak tu bila nak pergi sungai buluh beli baja pokok. Dan macam-macam lagi.

So lama-lama bila dia nak keluar, dia just keluar. Tapi kadang-kadang tu NAK TERBAGI TAHU JUGAK......



Dialog antara saya dan cik abe ni memang tak ada cover-cover punya....


SCENE 1

Dear : Dear, Hari Jumaat ni, kul 9 pagi i kena pergi Melaka dengan kawan i.

Saya : Buat apa kat Melaka. Ada projek ke?

Dear : Meeting, pasal projek sekolah.

Saya : Agak-agak boleh dapat ke projek tu?

Dear : Ala ni lambat punya cerita, kalau nak dapat pun hujung tahun.



Bila tiba pagi Jumaat....



Saya : Dear, pagi ni boleh tak, lepas sarapan you tolong belikan i butter? I banyak tempahan kek.Lagipun sapa nak jaga budak2 ni, Liana ada hal.

Dear : You ni kan tak faham-faham ke? Kan i dah kata pukul 9 i nak pergi Melaka.
You jangan nak minta tolong i apa-apa. I dah cakap awal-awal. Kalau you ada
hal you, you buatlah apa you nak buat. You jangan kacau i!


Aduh, kecut perut dengar suara macam guruh berdentum tu. Pagi-pagi dah kena herdik.Kecik rasa diri tu.... Dalam hati "hish napolah laki den ni garang sangat. Dio ingat dio yo garang. Den pun garang jugak. Kalau den pogang pistol ni dah lamo den tembak

Saya : La you nak pergi melaka ke? lupalah i....(lembut je suara saya, cuba nak kawal situasi tegang)




Dear : Kan i dah bagi tahu. Tak gunalah bagi tahu you ni. Buang masa I je!





Saya : I terlupa lah. Banyak benda i nak fikir. (Rasa jengkel sebab benda kecik2 macam ni pun dia nak marah marah)





Dear : You fikirlah sendiri macam mana nak buat. Susahlah cakap dengan you ni.
Lain kali tak payah cakap apa-apa dengan you ni.


Kemudian suami saya pula berlalu tinggalkan saya yang melayan perasaan geram dek kena herdik.

10 minit kemudian, tiba-tiba suami saya muncul depan pintu.

Dear : Dear! oh dear!, kejap....



Saya : Asal? tak jadi pergi ke

Dear : Jadi. You nak guna butter tu cepat ke?





Saya : Tak palah nanti i fikirlah macam mana nak pergi beli.





Dear : Kalau you belum nak guna sekarang ni, you tunggulah, nanti i balik dari Melaka, i singgah belikan.

Saya : (Dalam hati, dalam hati je lah kan....)Eh loving mebing pulak laki aku nih. Nape nada suara tu tiba-tiba tukar, macam suara suami dah kena queen control dengan isteri pulak. Kalau dari tadi macam tu kan, sojuk porut den dongar........

Itulah saya dan suami saya. Saya lembut tapi keras hati dan suami saya baran tetapi lembut hati. Kami ni kalau bertemu, pasti ada saja perkara hendak dibincangkan. Walau selalunya berakhir dengan perdebatan yang masing-masing tak nak kalah.

Yang sebetulnya saya dan suami ni pantang bersua atau bersama. Tak kira di mana, ada saje perkara jadi isu. Kalau kat rumah, pantang saya nampak kelibat dia, pasti saya kejar untuk ajak bersembang. Macam tu jugak dengan dia. Kalau dulu, pagi-pagi dia ajak saya sarapan di luar sama-sama. Tapi sekarang jarang dah... sebab kalau keluar dengan dia, pukul berapa nak balik. Banyak betul benda nak buat kat rumah tu....kang satu benda pun tak jadi....

Berbalik Geylang Kopitiam, sebelum sampai kat sana , kami lalu depan sebuah rumah teres lot tepi, yang sebelah tepi belakang rumah tu, ada dibina sebuah rumah kecil dinding batu, siap dengan lubang batu bentuk bintang, mungkin di buat stor menyimpan barang agaknya.


SCENE 2


Saya : Eh kalau tengok rumah kecil macam tu teringat tandas kat kampung kita dulu-dulu kan.... (nak recall zaman kecik-kecik dulu)





Dear : Kampung youlah kampung i mana ada!





Saya : (Dalam hati, tak boleh belah kalau tak condenm isteri sendirikan) Eh ye ke? orang johor je ke tandas kat luar? Orang kedah tak ek? Eee apa pulak...kat kedah pun ada kan....





Dear : Eee dear kampung i mana ada...sorryla....





Saya : Heyyyy....kampung you memanglah....kampung you kat Alor Setar...kan bandar.. dah ada api air... tak kan lah....tapi memang orang utara tak buat tandas kat luar ke?





Dear : Eh HA...AH la...dulu rumah opah i kat Taiping kan tandas kat luar, you pernah pergi rumah opah i kan..., kan tandas dia kat luar...




Saya : Tahu tak apa....Tulah dari tadi i rasa macam tak mungkin.....tak kan cuma orang johor je tandas kat luar...






Dear : I ingat lagi masa tu bila cuti i pergi rumah opah i...masa tu i darjah satu. You kalau nak terberak janganlah berak pagi-pagi buta, masa apek cina angkut tong taik. Ada sekali tu, tiba-tiba pukul 6 pagi i rasa nak terberak. Tengah-tengah dok huuk tu, datang apek cina angkut tong taik tu..





Saya : Iya, habis tu macam mana?





Dear : Habis tu nak buat macam mana? Dia angkat je lah... Lepas tu arwah opah i pesan, lain kali, kalau dengar apek cina tu datang, hang pa buatlah suara berdehem....





Saya : (Hehehe mengelekek saya ketawa).. oh buat apa dia angkat tong taik tu?...





Dear : La...dia pergi buang la.... bulan-bulan arwah opah i bayar...





Saya : Ada jugak you nostalgia tu kan......patutlah selalu orang cakap "from Taiping with love". Banyak betul nostalgia duduk Taiping.







SCENE 3



PASAL KUCINGPUN BOLEH JADI ISU...





Dear : Kucing-kucing ni semua bila you nak bagi kat orang?...
Saya : Buat apa nak bagi kat orang, sayangla....





Dear : Sayang-sayang....orang bela seekor cukupla..konon nak rumah cantik...habis sofa kena cakar, nak jalan kat laman pun susah, ada je taik kucing...sibuk nak bela banyak-banyak.


Saya : Tak pa dear part-part terkena taik ni bagus...nak dapat duit lah tu, murah rezeki you..

Dear : Eh tak tak da tak da....pandai sangat you......

Saya : Ala i sibuk, tak da masa nak beli pasir kucing, Kalau you ada masa you belilah....

Dear : Dah tahu sibuk buat apa nak bela banyak-banyak. Bagi je kat orang....

Saya : Oklah oklah, nanti i buat barter trade kat internet, 15kg Iams x 2.

Dear : Tak payahlah sampai 15kg x 2, mana ada orang nak?...

Saya : Tak nak sudahlah lagi bagus....kucing ni rezeki tau, kesayangan nabi Muhammad. Tengok sejak banyak bela kucing, alhamdulillah projek you berhasil, projek i pun berhasil.

Dear : Ah tak da kena mengena lah....

Saya : Adaaa......


Tulah selalunya kita ni dengan pasangan kita ni tak sama minat dan karektor. Seorang suka kucing, seorang tak suka. Seorang tak makan pedas seorang makan. Seorang pendiam, seorang peramah. Seorang baran, seorang lagi penyabar...Itulah yang mewarna rona terang dan gelap rumahtangga kami......


Di sini semua gambar anak-anak dan antara kucing-kucing kesayangan....kucing-kucing ni sangat pandai, terutama yang baka siam.

Hanis cukup marah yang ini nama asal Danda Sang Utama, panggil Danda...owner baru pergi tukar nama lain pulak. Reyous ke apa ntah!So bila kita pergi melawat,kita cakap danda yang dia cakap lain, so dah tak dalam common.Bising Hanis, tak tepat janji katanya.Nak buat macam mana dah jadi orang punya...masa belum dapat tu memangla......

Ada yang seekor lagi tu Damak Sri Mersing.Panggil Damak. Gambar tak ada kat sini...itupun Hanis sedih jugak, owner baru dah tukar jadi shawn....sabar je lah.....

Darla dan Matilda

Dolce dan Darla
Dolce Vita
Matilda dan Darla

Dewatta Arjuna. Panggil Dewa

Hafiizhullah Ariif dan Darla Little Rascal

Yang ni dah bagi kat Annur, nama antara mambo, merlin dan maskulin
Dolce dan Darla
Maduri, Matilda, Darla dan Dolce




Dewa

Suri, kucing orang buang belakang rumah, masa tu, setiap hari terpaksa saya suap makanan bagi dia kuat dan alhamdulillah survive....



Annur, tolong bagi tahu yang ni sapa nama antara mambo, merlin dan maskulin, seperti yang dipersetujui bersama agar stick dengan 3 nama tu.


Dan yang corak tiger ni sekali........


Tengok, Philip, orang yang bagi kat saya nama tu saya kekalkan nama tu.....Lain kali kalau jumpa orang tu, "Hai philip apa khabar, philip baik, datangla tengok Philip". tak gitu.....


Darla dan Dewa



Matilda dan Maduri

Tuesday, July 28, 2009

KERANA DIA WANITA HEBAT.....

Benarlah apa yang kita impikan dalam hidup ini sering tidak menjadi kenyataan. Misalnya dalam sebuah perkahwinan, apa yang kita inginkan, pasangan kita itu mempunyai sikap persis pasangan kawan kita yang penyayang, romantis, setia, wara', melayan kita dengan baik dan sebagainya. Alangkah sedihnya bila pengharapan itu bagai menunggu buah tak gugur. Dan betapa hebatnya hingga sampai saat ini dia masih juga menjadi pasangan kita.

Usia perkahwinan yang panjang bukanlah penentu kebahagiaan sesebuah perkahwinan itu. Namun ada kalanya ia sekadar membuktikan samada kita sebenarnya adalah seseorang yang terlalu tabah ataupun seseorang yang terlalu takut.

Pada zahirnya, dia ialah seorang isteri yang sangat setia, taat, rajin, berdedikasi serta dapat mengurus rumahtangga dengan sempurna.Mempunyai anak yang berbelas ramainya dan suami yang sangat cerewet dan garang bukanlah sesuatu pekara yang mudah dalam hidupnya. Namun kerana dia wanita hebat, maka segalanya dapat dilakukan dengan sempurna.

Bolehkan kita membayangkan bila mempunyai suami yang berpendapatan tinggi namun terlalu berkira untuk menyediakan wang perbelanjaan dapur sedangkan mulut yang perlu disuap bukan sedikit. Kerana dia wanita hebat, setiap hari dengan wang perbelanjaan yang tidak mencukupi itu, dia tetap menyediakan makanan yang lengkap untuk suaminya tepat pada waktunya.


Bahkan untuk anaknya yang ramai hampir dua puluh orang itu setiap pagi disediakan misalnya, sarapan pagi nasi goreng, dia akan pastikan siap dua puluh pinggan dan milo siap dua puluh cawan dihidang untuk anak-anak. Sedangkan suami pula mahu sarapan yang berlainan seperti sup bawang, roti atau oat di hidang lengkap dengan minuman panas dan buah-buahan di atas meja yang dibentang kain saprah setiap kali menghidang.

Rumahtangga, makan, pakai suami dan persekolahan anak-anak yang ramai itu diurus dengan baik siang hingga ke malam tanpa mengenal penat.

Mengurus anak-anak kecil yang begitu ramai dengan jarak usia selang setahun bukan mudah, namun dia dapat mendisplinkan anak-anak dengan baik hinggakan mereka tidak pernah mengusik barang yang bukan kepunyaan mereka, menjaga dan memastikan bila dah ambil sesuatu barang letak dan susun balik di tempat asal.


Begitu dia berbakti dengan suami dan anak-anak, namun tidak pernah dia merasa kasih-sayang dan ucapan terima kasih dari suami. Malah selama perkahwinan yang melahirkan berbelas anak itu, bukan sahaja suaminya tidak ingin memanggilnya sayang bahkan telinganya pun sudah lali dengan panggilan "hoi".


Apa yang nyata dia memang tabah menyembunyikan penderitaan dan airmatanya yang tidak mungkin tertanggung oleh orang lain selain darinya. Bayangkan bagaimana hatinya menjerit dan tertekan sewaktu dia dalam pantang dengan anak-anak ramai yang masih kecil,setahun seorang sedangkan suaminya bersenang lenang pergi menonton wayang tanpa memberitahunya. Walhal ketika itu anak yang baru lahir sedang sakit tenat. Puas jiran tetangga yang bersimpati mencari suami namun tak tahu di mana. Hinggakan anak kecil itu menghembuskan nafas terakhir sedangkan ayahnya asyik menonton wayang.


Banyak di antara kita cuba ingin terus menerima segala kekurangan pasangan kita. Tetapi sampai bila? Kitapun cuma manusia biasa yang adakala tidak dapat lari mahukan apa terbaik untuk diri kita sendiri. Adakalanya ia bukan sahaja satu kekurangan malah merupakan satu kecacatan yang amat mengecewakan. Setabah mana kita sekalipun, satu hari pasti terburai jua.


Mentelaah itu, ada setengah di antara kita selalu menganggap, bahawa perpisahan atau penceraian itu adalah satu kegagalan dalam hidup. Kita lebih rela dilihat secara luaran bahagia walhal dalaman bagaikan sekam dalam api, terbakar diri sendiri.Bahkan kita tidak mahu melihat dari satu sudut positif yang ianya merupakan satu penghijrahan. Dari fasa kehidupan yang kurang baik ke satu fasa kehidupan yang lebih baik. Kita enggan menukar suatu perkara negatif dalam hidup kepada suatu yang positif.

Alangkah baik kalau kita semua terus menganggap setiap musibah Allah turunkan pasti ada hikmah berganda Allah limpahkan. Misalnya, memiliki pasangan yang mengecewakan kita bukanlah satu titik noktah dalam hidup ini. Yakinlah seandainya kita seorang yang baik pasti bertemu jodoh dengan pasangan yang baik. Mungkin pasangan yang baik itu bukan hasil daripada perkahwinan yang PERTAMA.

Kalau sudah begitu nanar dan tidak merasai bahagia dengan pasangan kita, penceraian adalah jalan yang terbaik. Dalam Islam, penceraian mempunyai konteks yang sama seperti perkahwinan iaitu merupakan satu perbuatan yang bermoral. Kalau perkahwinan itu adalah satu akad bagi menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan, manakala penceraian pula adalah menghalalkan satu lafaz bagi membubarkan sesebuah ikatan perkahwinan, walaupun ianya amat tidak diharapkan mahupun disukai.

Bukankah kita berhak untuk menikmati kebahagiaan hidup yang sebentar ini di atas mukabumi ciptaan Allah ini? Jadi mengapa harus kita bebankan hidup berhadapan dengan pasangan yang menyakitkan jiwa dan perasaan. Carilah kebahagiaan itu. Dia pasti ada untuk kita.

Thursday, July 16, 2009

KUIH RAYA

Rasa-rasa kalau teringin nak order kuih raya tahun ini, datanglah...jangan segan tau. Sample dah ada. Kalau tak pun order melalui telefon. Pada post saya tahun lepas ada gambar-gambar biskut raya tu. Tahun ini lebih kurang 25 jenis termasuk, coklat cip, biskut arab, nestum rasberry dan macam-macam lagi. kek untuk hariraya, siapa order dulu, saya utamakan. Tapi kena deposit duit dalam akaun. Sebab kek kan tak boleh buat awal sangat. So kena buat serentak dalam tiga empat hari sebelum raya. Jadi jumlah tempahan sangat terhad.

Tuesday, July 14, 2009

Saya Jatuh Cinta Sekali Lagi

Bulan puasa dah tak lama lagi ni. Rejab pun dah nak habis Untuk sesiapa yang belum berpuasa sunat sekurang-kurangnya 3 hari dalam bulan Rejab ni jangan tangguh lagi. Memanglah yang wajib dibayar pun belum terbayar. Bukan tak mahu, tapi sering sangat terlupa. NAMUN bila sekali kita dah mula berpuasa macam bateri lepas kena cas kan, sayang nak berhenti ....

Waktu-waktu sebelum bulan puasa sayalah orang yang paling sibuk. Saya mahu pastikan bulan puasa nanti saya dah relax sikit, tak perlu buat itu ini sangat. Jadi dapatlah saya beri tumpuan pada ibadah puasa insyaallah.

Sample kuih raya dah siap. Pekerja dah sedia. Rumah sewa untuk buat kuih dah ada. Kalau sesiapa nak membuat pesanan kuih raya, silalah datang rumah boleh rasa dan terus tempah. Sebelum datang rumah sila telefon saya di 012 395 9779.

Selalunya orang suka berhias rumah bila dah dekat hari raya. Saya pula tidak suka buat kerja last minute. Apa-apa hal pun, dari segi hias rumah, buat jamuan, masak memasak hinggalah ke hal membeli belah sekalipun, saya terbiasa dengan perancangan teliti dan teratur.

Bila tengok hiasan dalaman rumah yang dah tiga tahun nampak sama je, saya dah mula rasa jemu dan terfikir pula lalu mengajak suami membeli cat untuk menukar warna dinding dengan skema warna yang agak kontras dengan warna dinding yang lama.

Sebagai titik fokus, feature wall saya tampal dengan batu slate warna kehitaman agar lebih menyerlah dan tampak mewah.

Bagi saya, daripada menukar langsir yang memerlukan kos yang tinggi lebih baik saya berjimat dengan hanya mengecat dinding rumah dengan warna baru dan sedikit sentuhan tampalan slate di feature wall ruang makan yang kosnya hanya berjumlah lebih kurang rm1000. Berbanding dengan kos menukar langsir yang paling koman pun dalam rm2000. Yang penting hati seronok tengok rumah bertukar wajah dengan kos yang paling minima.


Perabot pula, saya pastikan membelinya hanya dengan potongan 50 hingga 70 peratus. Kalau tak, saya tak pandang. Bukan apa, nak cari duit bukan senang, rasa sayang nak beli yang mahal mahal.Apa yang penting asalkan kita rajin dan kreatif pasti hasilnya memuaskan hati.


Hanya sebahagian sample kuih raya yang ada di sini. Ada lebih 15 yang lain tidak di sini. Seperti biasa harga untuk 50 rm28.





HAZEL NUT SWIRL





SWEET LOVE FOREVER



CHOCOLATE SHORTBREAD


CHOCOLATE CRUNCHY


HAZEL TRUFFLE



LONDON ALMOND


SEMPERIT



TART NENAS



CLASSY PANDAN



Jangan lupa my strawberry moist dark chocolate cake rm60 for 2 kg.



Ini pula.....
Wajah lama.....sofa daybed berwarna putih tu saya beli dengan harga rm69. Kesayangan semua orang dalam rumah.
Wajah yang sedang di make-up......

Sofa berwarna keperangan itu saya dapat dengan harga kilang. Lukisan kerusi sekolah tahun 70 an tu hasil karya Imran.

Sofa merah itu pula saya beli satu percuma satu. Lukisan abstrak di dinding tu hasil karya saya sendiri.

Sofa kulit berkualiti tinggi dari Harvey Norman ini saya beli dengan harga kurang dari rm1000.

Monday, May 18, 2009

HUJUNG MINGGU YANG SINGKAT

Hujung minggu amat singkat saya rasakan....maklumlah sepanjang minggu persekolahan saya terlalu sibuk dengan segala urusan yang rutin. Menerima empat undangan kenduri, tapi hanya dapat pergi tiga tempat je....

Minta maaf shariza kerana tak sempat nak makan kenduri ke rumah. Nasib baik terserempak di rumah jiran depan...barulah tahu rupanya kenduri doa selamat nak pergi umrah. Selamat pergi dan selamat kembali. Moga-moga diberkati Allah.

Bermula dari hari sabtu memenuhi undangan majlis hari jadi jiran yang bernama Hani yang anaknya yang berusia 2 tahun bernama Tia.





Hafiz yang masih dalam cuti sakit selama 3 bulan akibat patah tangan.


Alisya yang baru potong rambut pendek dek kerana rambut panjangnya yang berpintal-pintal tak boleh diuraikan lagi. terpaksa potong.



Rezeki jangan tolak.....part-part makan ni ha bagi kat Liana n Imran....seronok tengok dia orang enjoy makan.


Bak kata Liana, tauhu bakar ni macam cuma panaskan petis. Dah tu tauhu lemau macam tak bakar, kacang pulak rasa hapak adui....catering ni fail part menu ni.


Laksa penang, tuan rumah tu kata....tapi selalunya laksa penang tu kuah dia mesti ada ikan sardin serta yang banyak bahan serabut yang macam kat Jaya Jusco tu...kalau ni just laksa utara saja. biasanya di hidang tanpa petis atau nenas. Bukan ke laksa utara dihidang bersama telur rebus, cili padi cincang, ulam daun kesum dan timun dan kalau suka limau kasturi sekali?


Sago gula melaka di parutkan ais.....gula dia 'tak kick' dan santan dia cair...sayang...dahlah lama tak makan ...masa nampak tu terkecur air liur tau....




Yang ni memang the best....berselera betul makan....pulut kuning, rendang tok, kurma daging, ayam merah dan sayur campur.



Hari Ahad pulak jiran depan rumah buat besday anak dia amirah......lupa nak bawa kamera....


Malam Ahad pergi memenuhi undangan kahwin kawan baik suami.



Pelamin di Dewan Merak Kayangan, Dewan Felda


Baju ni betul-betul buat saya nampak gemuk....tu yang lebih suka pakai jeans.....

Cepat-cepat sapa nak ikut...Alisya paling cepat siap.....yang lain tak nak ikut...ehmmm
Aiskrim dihidang dengan goreng pisang. "Ni orang johor punya makanan ni, goreng pisang tu dimakan dengan semua benda" komen suamiku...



Hidangan yang meyelerakan dari Dsaji, nasi beriani, dalca, ayam merah, rendang daging, papadam, udang besar masak sambal. umph....servis para waiter dan waiterest pun sangat tip-top.


Orang-orang muda ni mesti kawan pengantin.



Selamat Pengantin Baru, semuga bahagia ke anak cucu....dan tahniah Dato' Hassan (yang baru-baru ini hangat memperjuangkan bahasa melayu) menerima menantu pertama.



















Thursday, May 14, 2009

EMAK.......

Belum sempat nak ucap selamat hari ibu, dah sambut hari guru pulak. Saya memang tak pernah pun sambut hari ibu atau mengucap selamat hari ibu pada emak.

Namun setiap waktu bila saya teringat emak, saya akan menalipon emak bertanya khabar. Dan dalam setiap selepas solat saya tidak pernah lupa untuk mendoakan kesejahteraan dan keampunan dari Allah untuk emak dan arwah bapak.

Maafkan saya kalau selama ini saya pernah rasa kecil hati terhadap emak namun tidak sekali-kali saya ingin meninggikan suara mahupun mengecilkan hati emak. Saya tetap mengasihi dan menghormati emak. Saya pasrah bahawa kita tidak boleh memilih ibu bapa kita, jadi kita harus menerima hakikat dan menghargainya sepenuh hati.

Ampunkan saya emak kalau selama ini saya sering merasa yang emak bersikap pilih kasih terhadap anak-anak. Mungkin emak sedar ataupun mungkin juga tidak. Emak hanya menumpukan sepenuh perhatian kepada anak emak yang bongsu sahaja. Emak mencurahkan semua wang ringgit dan kasih-sayang hanya untuk anak lelaki seorang yang dah terlalu banyak menyusahkan emak. Namun tidak untuk anak-anak perempuan.

Walaupun begitu saya tetap berterima kasih pada emak, kerana itu jua saya menjadi seperti saya sekarang ini. Saya bersyukur kerana atas hakikat itu , saya menjadikan segala yang negatif kepada lebih positif tentang apa jua yang saya lalui dalam kehidupan ini. Saya curahkan sepenuh kasih sayang dan layanan kepada semua anak-anak. Saya korbankan segala masa dan tenaga untuk kebahagiaan anak-anak. Kerana harapan saya kalau kita menyayangi anak-anak dengan keikhlasan pasti kita disayangi mereka dengan ikhlas jua.

Malah kadang-kadang saya rasa tersinggung bila emak tidak gemar atau tidak betah melabuhkan punggung walau sebentar di rumah saya. Emak lebih selesa tinggal di rumah anak menantu emak perempuan seorang tu. Emak memuji-mujinya seolah-olah kami ini bukan anak emak. Namun bila saya fikir fikir, saya tak mahu ambil hati. Saya tak kisah lagi kerana bagi saya biarlah asalkan emak bahagia dengan apa yang emak mahukan. Itu lagi penting dari segala-galanya. Saya mahu emak bahagia menghabiskan hari tua emak. Sekalipun saya tidak berpeluang menjaga emak namun saya mahu emak tahu yang selama ini saya sentiasa mengambil berat tentang diri emak.

Sempena hari ibu tahun ini, buat pertama kalinya saya ingin mengucapkan selamat hari ibu untuk emak. Saya mohon keampunan dari emak. Kalau dunia dan seisinya ini juapun pasti saya tidak akan dapat membalas segala jasa emak terhadap saya. Saya harap emak tahu yang saya mengasihi emak dan sentiasa mengharapkan doa dari emak.

Friday, May 8, 2009

Malangnya Kita Tidak Lagi Seperti Bayi Yang Suci Seumpama Kain Putih


Dari mula naluri saya bagaikan terasa bahawa teguran melalui sms itu berbaur sesuatu. Hati kecil saya berdetik yang ketidakpuasan hati perempuan itu, tidak akan berakhir begitu sahaja dan terhenti di situ.

Namun apalah upaya saya untuk menelaah hati orang . Rambut sama hitam tapi hati lain-lain. Saya juga tahu, bukan mudah untuk kita memuaskan hati semua orang. Kalau bukan ini, itu pula.

Sekalipun semua yang dilakukan itu untuk memuaskan hatinya yang sakit atau dendam terhadap saya, namun saya tetap memaafkan perempuan itu kerana mungkin dia tidak tahu dan tidak pernah mengalami macam mana rasanya berada di tempat saya.

Bertawakal sahajalah hati saya, bila melihat kesungguhannya yang tidak jemu-jemu menalipon dan melaporkan hal saya berniaga dalam bonet kereta kepada pihak majlis bandaraya . Sehinggakan hampir setiap hari penguat kuasa bandaraya berkampung di kawasan itu hanya untuk memerhati dan menangkap saya berniaga di situ sekaligus menyaman saya.

Malah ada suatu ketika bila mana kami tidak berniaga dan hanya duduk berbual di dalam kereta sambil menunggu budak-budak balik dari sekolah. Beberapa orang pegawai penguatkuasa bandaraya datang berlegar-legar di kawasan itu dan kemudian menjenguk-jenguk ke dalam kereta kami sambil memegang kamera. Saat dan ketika itu kami dapat rasa yang kami ni seolah-olah penjenayah yang sedang diburu.

Tidak cukup di situ, keesokkan harinya pula, akibat lewat datang mengambil budak sekolah, saya tidak dapat meletak kereta berdekatan dengan sekolah kerana jalan di depan sekolah sangat sesak ketika itu. Oleh itu saya terpaksa meletak kereta saya jauh dari kawasan sekolah.

Saya menyuruh Imran pergi mengambil budak-budak yang tidak tahu saya parking di mana, sementara itu saya pun buka bonet kereta sambil mengharap dapat jual aiskrim di situ. Oleh kerana jauh dari kawasan sekolah, maka tiada kanak-kanak yang datang membeli aiskrim kerana mungkin mereka tidak perasan atau tidak nampak yang saya ada menjual aiskrim. Sebaik sahaja Imran dan budak-budak yang menumpang kereta saya sampai, saya pun menutup bonet kereta untuk beredar.

Tiba-tiba ketika baru sahaja saya hendak menghidupkan enjin kereta, muncul dua orang pegawai penguatkuasa bandaraya yang entah dari mana mengintip dan bersembunyi datang menghampiri dan meminta kad pengenalan saya.

Waktu itu saya agak keliru kerana mereka tidak memperdulikan indon-indon motor itu yang sedang menjual aiskrim depan sekolah ketika itu.

“Puan, kami terpaksa pantau kerana ada seorang perempuan yang sekian-sekian, telah membuat laporan kepada pihak bandaraya yang puan berniaga aiskrim dengan harga yang mahal. Perempuan itu melaporkan lengkap dengan informasi kereta jenis apa puan pakai, nombor plet dan waktu bila puan ada depan sekolah. Malahan semalam ketika waktu tengahari kami memantau di depan sekolah, perempuan itu memanggil kami dan menunjukkan yang mana satu kereta puan".



Aduhai...tak da kerja lain ke perempuan ni....... Saya hairan dan dalam masa yang sama terasa juga kecilnya diri berada di bumi bertuah ini, berbanding pendatang-pendatang asing itu.

Pun begitu saya anggap apa yang terjadi ini adalah sebahagian atau sekelumit dugaan daripada rentetan hidup yang harus saya hadapi dan menjadikan saya tabah dan sentiasa belajar yang kerenah manusia di luar sana tu memang sukar untuk diduga.


Saya tetap bersyukur sekalipun jika tiada rezeki saya untuk berniaga aiskrim depan sekolah sambil menunggu anak-anak, namun aiskrim saya masih laris di kawasan tempat tinggal saya, selain daripada sibuk dengan urusan rumahtangga, menerima tempahan kek dan menjaga serta melayan anak-anak comel yang diamanahkan kepada saya. Alhamdulillah.



Hijrah Rohani :-

Firman Allah Ta'ala :-


" Hendaklah engkau bersabar, sedang kesabaranmu itu hanya kerana keredhaan Allah".


(An-Nahl:127)


Sabda nabi Muhammad s.a.w



"Bersabar terhadap hal-hal yang engkau tidak senang itu ada kebaikkannya yang banyak".



Kali ini cubalah resepi yang mudah tetapi manis dan lazat iaitu, Strawberry Fresh Creamy Trifle yang sejuk nyaman dan mengasyikkan bila dimakan di waktu hari –hari minggu yang panas terik kebelakangan ini.





Strawberry Fresh Creamy Trifle

Lapisan Paling Bawah

Susunkan kek sponge yang dipotong kiub memenuhi lapisan dasar di dalam mangkuk kaca kaserol. Sapukan di atas kek tersebut lapisan jem strawberry secukupnya. (Jem buah yang asli atau berkualiti).

Lapisan 2

Didihkan 1 tin susu cair ideal, 1 tin air, ½ tin gula pasir atau manis mengikut kesukaan. Apabila mengelegak masukkan 2 sudu makan tepung kastard yang telah dibancuh dengan ½ cawan air. Kacau tanpa henti dan tutup api. Sejukkan dan tuang setengah daripadanya ke atas lapisan kek yang telah di sapu jem. Simpan yang setengah lagi untuk lapisan seterusnya.

Lapisan 3

Putar 250gm fresh cream hingga kembang (fresh cream boleh didapati di kedai menjual barangan membuat kek. Sapukan separuh daripada krim yang diputar tadi di atas lapisan kastard tadi. Simpan separuh lagi untuk lapisan seterusnya.Tabur di atasnya hirisan buah-buah stawberi. (Kalau suka boleh tambah buah-buah lain seperti anggur, kiwi atau pic)

Lapisan 4

Sapukan baki lapisan kastard yang separuh tadi.

Lapisan 5 (Lapisan Paling Atas)

Sapukan baki lapisan fresh cream yang separuh tadi. Dan taburkan hirisan buah strawberi dan buahanggur. (Sejukkan di dalam peti ais semalaman sebelum dihidang)

STRAWBERRY FRESH CREAMY TRIFLE


Dalam masa seminggu dah 3 kali saya buat trifle ni!



Sekali-sekala tinggalkan dapur dan makan di luar untuk

meraikan besday Imran yang ke 12 di restoran Big Food


Luangkan masa untuk hadir majlis perkahwinan anak wak Samsudin
di dewan Guthrie


Melayan Qistina selepas mandi.

Dah susah sekarang nak pakaikan Dahleea diaper. Terpusing
ke kiri, terpusing ke kanan...




Yang ni paling bahaya. Jangan sampai ternganga bila memakaikannya
diaper. Pakai pancut jer.....