Tuesday, December 22, 2009

Sekeping Nota Biru

Kau lupa pagi tadi
Dah tujuh hari asyik mesyuarat
Dah tujuh hari pun mampu cuma intai kelibat

Kau lupa malam tadi
Dah tujuh hari tak menyapa
Dah tujuh hari pun belum ingin bermesra

Kenapa kau semakin kalut
Kepala pun semakin serabut
Hati ribut
jiwa pun kabut

Sibuk ke kau
Orang lain sibuk juga
Kerja ke kau
Orang lain kerja juga
Cari kesenangan ke kau
Orang lain nak senang juga

Atau kau tak macam orang lain
Atau kau ada kepentingan lain
Selain aku

kau pandanglah ke tepi langit
Pelangi di situ
Sekejap cuma
Tak berapa lama

Apa yang kau mahu dalam hidupmu
Kalau yang kau hindari itu aku

Apa yang kau simpan dalam hatimu
Kalau yang hilang itu aku

Apa yang kau kejar dalam destinasimu
Kalau yang tertinggal itu aku

Apa yang kau kendung dalam hari mu
Kalau yang tercicir itu aku


Wahai kau
Aku masih di sini
Belum mahu mengira-ngira
Belum ingin mengorak langkah
Masih mahu kau


Selamat malam
Siang tadi hari jadi ku…..

Monday, December 21, 2009

Kalau Itu Lagu Cinta

Apa saja lagu yang tercipta saat itu
Berkumandang menghangat nafas cinta
Yang ku hela
Yang padu dalam dada
Yang ku rasa pendek panjangnya
Yang menggetar
Di segenap tunjang saraf
Rasa rindu yang memukul
Sendi-sendiku
Lalu aku duduk
Ku lunjurkan segenap rasa
Cinta yang singgah
Melekat
Merangkul
Tak ingin ku lepas

Apa saja irama yang bermusim waktu itu
Melagu memanis halwa telinga
Yang ku dengar
Yang ku ikut rentak dalam hati
Yang kuhayati lambat dan cepatnya
Yang ku hafal
Di setiap baris senikatanya
Dan rasa cinta yang menampar
Pipi kiri kananku
Lalu aku diam
Ku depangkan seluruh tenaga
Rindu yang bertandang
Berpaut
Memeluk
Tak ingin renggang

Monday, December 14, 2009

Biar

Kadang-kadang untuk tidak kurang ajar
aku jadi hipokrit

Kadang-kadang untuk tunjuk rasa hormat
aku memang hipokrit

Sampaikan hati aku rasa jengkelpun
aku masih hipokrit

Bukankah kadang-kadang hipokrit itu perlu

Kerana ada masanya aku tak perlu berterus terang
ada waktunya aku tak perlu jujur
ada ketikanya hipokrit itu lebih penting.

Biar aku hipokrit asal tidak sakitkan hati orang
Biar aku hipokrit asal tidak singgung perasaan orang
Biar aku hipokrit asal tidak ada hati yang tercalar!!!


Aku rasa tidak perlu menegakkan sesuatu kalau sekadar mahu menimbulkan ketegangan
aku rasa tidak perlu menegur kalau bukan untuk mendidik.

Lebih baik diam daripada berkata-kata
Lebih baik hipokrit daripada terus terang yang menyerang....


Hipokrit itu kadang-kadang memang perlu!!!
Bagi aku lah.....

Wednesday, November 25, 2009

HATI-HATI DENGAN HATI

Perlukah dengki hati...
Perlukah busuk hati....

Perlukah rasa tak senang hati
Bila melihat orang lain rasa gembira
Bila menyaksikan orang lain rasa bahagia

Buangkanlah busuk itu dalam tong sampah lalu di angkat dan dibawa oleh alam flora.
Lepaskanlah dengki hati itu sampai talak tiga lalu jumpa cina buta dan dan terus meraba-raba.

Bila semua busuk
Bila semua dengki
lenyap jauh

hati jadi bersih
hati jadi lapang
Hilang segala tekanan

Sudah bahagiakah hati kita
Gembira riakah jiwa kita

Kita di mana?
Sudah cukup sempurnakah hidup kita
Sudah melimpahkan rezeki kita
Sudah lengkapkah ibadat kita
Sudah kuatkah iman kita

Hati-hati
Dengan hati.......

Tuesday, November 24, 2009

Resepi Biskut Cornflakes Dulu Dulu

Musim hujan ni....ehmmm, saat yang saya paling suka sekali.



Bila bangun pagi, sambil buat kerja-kerja di dapur, tak pernah lupa menjengah ke luar tingkap dan paling suka tengok pokok-pokok yang saya tanam semua basah dan tampak subur di timpa rintik-rintik hujan. Kejap lagi bila matahari malu-malu menyelinap di celah-celah dahan pokok, tambah meriah tumbuhan di sekeliling mencari-cari makanannya.

Suasana sejuk dan nyaman dari dapur kesayangan saya ini membuat saya terkenang-kenang suasana sarapan pagi di UK.

Musim hujan begini, tumis-tumis bawang dan cili padi pun boleh menyebabkan seluruh kejiranan ini tersedak-sedak menghidu semerbak bau enak masakan.

Ni tengah perah-perah idea, punggah-punggah rak buku masakan. Apa lagi nak masak untuk budak-budak tengah cuti ni. Dia orang ni bila hujan-hujan begini tak ubah macam pirahna. Hidang lah apa je kejap dah licin.

Ok so hari ni saya buat biskut cornflakes yang sedap rangup.Saya bentuk agak besar ala-ala scone kegemaran orang putih untuk minum petang. Dah nak habis pun.....

Hehe..sebenarnya ulang tayang cerita bergambar...sila sila ikut dan buat....tambah tambah kuih raya nanirostam tak cukup buat pelanggan tahun ini...mudah-mudahan tak mematahkan semangat saya dan anda semua untuk tahun depan. Begitulah caturan hidup...kita merancang Allah yang menentukan...kalau bukan rezeki, yang berada dalam genggaman pun boleh terlepas.


Resepi Biskut Cornflakes.
375gm butter
250gm gula icing
1 biji telur
2tsp esen vanila
475gm tepung gandum
50gm tepung kastard

50gm tepung jagung.

Pukul butter, gula icing, telur dan esen vanila kemudian masukkan ketiga-tiga jenis tepung.
Gaul dan bentuk bulat dan leper. Balik-balikkan ke atas cornflakes yang telah di ramas-ramas halus.

Bakar dengan kepanasan 170 darjah celsius selama 15 minit atau sehingga kekuningan.

Angkat dan sejukkan di atas redai.

TIPS UNTUK HARI INI.


Tepung - Ada pelbagai jenis tepung digunakan untuk membuat kek. Saya sarankan tepung hendaklah di ayak sebanyak tiga kali sebelum digunakan. Selain daripada dapat membuang sebarang benda asing yang terdapat di dalamnya, mengayak tepung beberapa kali dapat memerangkap udara serta menjadikannya ringan.


Kalau mahu kek anda lebih gebu dan cantik, gunakan tepung superfine bagi menggantikan tepung gandum.

Saturday, November 21, 2009

BENARKAH KITA BERADA DINEGARA ISLAM?

Pasti anda ada banyak cerita untuk berkongsi dengan saya tentang apa yang anda rasa bertuah dan gembira atau rasa tidak seronok dengan apa yang dah pemimpin kita buat untuk kita.

Namun bagi saya ada satu perkara yang saya rasa tidak diaplikasikan sejajar dengan keperluan rakyat majoriti negara ini. Bukankah negara ini pernah diiktiraf sebagai negara Islam. Memang sepatutnya begitu kerana majoriti rakyat negara ini adalah beragama Islam.

Namun apa yang buat saya rasa amat tidak seronok mengenai satu perkara penting tentang ketidakpekaan kerajaan negeri terhadap kewajibannya memberi pendidikan Islam atau ilmu akhirat secara percuma kepada rakyatnya.

Memang amat mengecewakan bila negeri dimana tempat saya bermastautin ini mengiktiraf sekolah agama sebagai sekolah agama rakyat.Di mana rakyat terpaksa membiayai yuran pengajian bulanan. Dan guru-guru yang mengajar mendapat gaji bulanan mereka hasil kutipan yuran bulanan.Walhal sepatutnya sekolah agama dibawah tanggungan kerajaan seperti sekolah-sekolah kebangsaan dan yang seumpamanya.

Mengapa kalau betul ini negara Islam yang penduduk majoriti Islam, para pemimpin Islam negeri ini tidak boleh memikirkan tentang amanah yang dipikul tentang wajibnya mereka lebih mengutamakan pendidikan islam atau ilmu akhirat untuk rakyat mereka. Kalau kerajaan boleh ada peruntukan untuk sekolah-sekolah kebangsaan, mengapakah tidak langsung mengambil kira tentang sekolah-sekolah pendidikan Islam.

Rakyat pula terpaksa mengambil pelbagai alternatif untuk memastikan bahawa anak-anak mereka mendapat pendidikan Islam seperti yang dituntut oleh Islam itu sendiri.

Wajarkah para pemimpin islam negara ini melayan rakyat yang majoritinya Islam begini?

Thursday, November 12, 2009

RESEPI TRIFFLE DAN JANGAN BERLENGAH LAGI

Dah letak dah resepi triffle kat post yang lepas. Lebih baik pergi check cepat. Tapi tak apalah saya letak lagi di sini. Triffle ni dibuat mengikut kreativiti anda. Di sini triffle yang saya buat mengikut kreativiti saya sendiri. Kalau nak beli dari saya, saya tak dapat jual dengan harga murah sebab modalnya mahal. Satu bekas mangkuk queen anne yang saya tunjuk dalam post lepas tu saya jual dengan harga rm75.

Lapis Pertama- potong kek span jadi bentuk kiub dan atur di dalam mangkuk kaca telus pandang supaya boleh nampak lapis demi lapis agar dapat mengiurkan perasaan yang memandang. Kemudian tuang jem strawberry ke atasnya. (Untuk membuat jem, masak 25 biji strawberi ke dalam 4 cawan air gula yang manisnya mengikut citarasa masing-masing. Masukkan 2 sudu makan tepung jagung yang dibancuh dengan sedikit air untuk melikatkannya dan masukkan 2 sudu makan pes strawberi yang boleh didapati dari kedai jual barangan membuat kek.

Lapis ke dua - Tuang konyaku jelly yang suhunya sudah suam-suam kuku.(Cara memasak konyaku jelly ada diterangkan di luar pembungkusnya bila anda beli dari kedai menjual barang kek.Cuma tambah pes strawberi kedalam jelly yang sedang dididihkan.

Lapisan ke tiga -Tabur buah-buahan tin jenama SPC dan tuang kuah kastard ke atasnya dan aturkan potongan buah peach (dalam tin). (Cara membuat kuah kastard, didihkan satu tin susu cair jenama ideal dan 1 cawan air serta 5 sudu makan gula pasir dan masuk 3 sudu makan tepung kastard yang telah dibancuh dengan sedikit air.Boleh tambah tepung yang dibancuh dengan sedikit air sekiranya kuah kastard terlalu cair.Kacau dengan api perlahan agar tidak berkerak. Bubuh secubit garam untuk lebih rasa lemak.

Lapisan ke empat - Tuangkan whipping cream yang telah diputar. Banyak whipping cream mengikut kesukaan anda. Taburkan kacang makadamia.

Lapisan ke lima - Tuangkan semula baki konyaku jelly tadi. sekiranya telah terbentuk menjadi jelly, panaskan semua agar dia sedikit cair dan tuang menutupi lapisan cream. Atur hirisan buahan peach dalam tin untuk hiasan paling atas. Tabur dengan buah strawberi segar. Sejukkan semalaman di dalam peti sejuk. Hidang selepas makan tengahari. Itu pun kalau boleh bersabar setelah bangun pagi dan menjenguknya di dalam peti sejuk. hehe.