Saturday, February 28, 2009

Hari-Hari Makan Ubi Rebus Dengan Ikan Kering

“ Aku bersyukur aku adalah aku. Aku paling suka bangun awal pagi, bersolat subuh dan kemudian membuka pintu, tingkap dan membiarkan angin pagi yang sejuk menyapa masuk sekaligus memberi laluan rezeki untuk masuk ke rumah.


Aku gemar menikmati suasana dan menyedut udara pagi yang nyaman dan segar. Mendongak ke langit dan melihat warna bulan yang hampir pudar. Mengkagumi warna lembayung pagi nan indah. Memijak rumput yang masih di basahi titisan embun bagi menguatkan tapak kaki ku. Menghidu aroma masakan untuk sarapan pagi oleh jiran-jiran disekeliling mengingatkan aku pada bau sambal tumis dan mee goreng makcik kantin di sekolah rendah dulu. Dan itu membuat aku mensyukuri nikmat atas kehidupan yang diberi olehNya.


Aku masih ingat sewaktu aku kecil di waktu begini, aku telah dikejutkan dan terpaksa akur untuk menemani ibu ke kebun menoreh getah. Habis separuh badan ku gatal-gatal serta di basahi embun dek meredah semak pokok sendayan. Puas tangan ku melibas dan menampar ratusan nyamuk yang berdengung memecah kesunyian pagi. Sambil mata ku yang masih kelat antara buka dengan tidak memerhati susu getah mengalir deras menuju ke cawannya. Hidungku kembang kempis menghidu bau getah sekerap yang ditinggal sehari semalam.

Aku masih ingat disebabkan kesempitan hidup, hampir setiap pagi kami bersarapan ubi rebus yang dicicah sambal atau ikan masin dan pisang rebus yang dimakan bersama kelapa parut. Kadang-kadang , kakak ku ingin berlagak kreatif sedikit lalu menukar menu kepada ubi bakar atau pisang bakar. Kalau tak pun lempeng ubi atau lempeng pisang yang di dadar di atas daun pisang kerana tidak mampu membeli minyak masak. Jarang kami dapat menikmati sarapan pagi, makanan yang berasaskan tepung gandum dan sebagainya.


Ketika kakiku belumpun menjejak alam remaja, aku sudah terbeban dengan tugasan menanak nasi menggunakan dapur kayu, jikalau kayu basah, naik kembunglah pipiku meniup api dapur supaya api menyala. Merendam cili kering dan mencuci sehingga habis tanganku naik pijar. Belum lagi pandai menumbuk menggunakan batu lesung lalu asyik bertanya ‘ dah ke belum mak!’.Malah sudah pula belajar menggiling cili menggunakan batu giling.


Tangan yang masih kecil mungil itu juga begitu tabah mencuci kain rendaman dengan menggunakan sabun cap kapak dan berus sabut serta air yang diceduk dari kolam yang digali sendiri oleh arwah ayah. Belum lagi merebus kain-kain cadar yang di penuhi pijat kerana penyembur racun serangga yang dibancuh sendiri daripada ubat serbuk itu masih tidak dapat menghapuskan makhluk penghisap darah yang bermaharaja lela itu.


Apabila tiba musim menebang pokok getah tua untuk di tukar kepada tanaman semula getah maka ibu ku yang garang itu sering memaksa ku menolongnya memotong batang-batang pokok yang telah tumbang menggunakan gergaji dua tangan untuk dibuat kayu api. Aku pegang di sini, ibuku pegang di sana. Srek..srek..srek.. sampai lenguh tulang belulang lengan ku barulah batang pokok terputus dua.


Setelah kayu-kayu ranting kering habis di perun dan dibakar, maka terjadilah tanah bakar yang gembur dan subur . Dapatlah arwah ayah menanam nenas, jagung, labu, cili padi, sayur meranti, dan yang paling aku suka bila mengutip cendawan kukur yang tumbuh melata selepas hujan di tunggul-tunggul pokok getah yang hampir mengering. Dapatlah kami sekeluarga menikmati juadah enak masak lemak cilipadi cendawan kukur untuk hari itu.



Jerih payah arwah ayah dan ibu berhempas pulas mencari rezeki, bagai terbeban di pundak ku juga. Akulah anak yang ada ketikanya liat bila disuruh tapi tak dapat mengelak bila dipaksa. Sekecil umurku 11 tahun, aku tebalkan muka, buangkan malu, kerana tidak sampai hati menolak suruhan ayah supaya membawa sebakul nenas dan jagung di dalam raga yang diletak di atas basikal kargo untuk ku jual sekeliling kampung.


Namun dalam kepayahan hidup, zaman kanak-kanak ku masih indah untuk dikenang. Bila hari mengesot kepetang, tulah saat yang paling kutunggu-tunggu.


Aku selalu terfikir dalam hati yang semangat, kekuatan dan aksiku tidak ubah seperti lelaki. Kalau hari itu aku mencipta senapang yang kubuat daripada kayu papan dan gelang getah serta menggunakan buah terung pipit sebagai peluru untuk ku jadikan senjata bermain combat, berlagak seperti vic morrow bersama budak-budak lelaki anak jiran-jiran ku.


Esoknya pula aku menebang batang-batang pisang dan menariknya ke tebing parit lalu mencucuk kayu antara satu sama lain untuk ku jadikan permainan rakit di parit depan rumah.


Nampak apa sahaja objek pasti ada idea ku untuk ku jadikan bahan permainan menghilangkan bosan.Kalau ada sebatang pokok tumbang melintang diparit depan rumahku pun, pasti kucantas-cantas dan kujadikan pohon-pohon yang meliuk itu sebagai enjut-enjut. Di situlah aku berenjut dengan adik-adikku dan anak-anak jiran sambil menjerit melalak menyanyi lagu-lagu rakyat.


Sebagai budak kampung yang serba kekurangan dan hidup pada zaman yang tidak wujud segala apa yang ada masa kini, apa sahaja jenis permainan aku terokai. Selain daripada memancing ikan haruan dan ikan keli, berkubang di parit belakang rumah sambil menangkap ikan sepat dan ikan lawan, cuba memanjat hampir semua pokok di sekeliling rumahku, bermain masak-masak dengan memasak nasi di dalam tin sardin dan menggunakan batu bata sebagai tungku, bermain pondok-pondok dengan mencipta pondok berbumbungkan pelepah daun pisang dan bermain pengantin-pengantin di bawah rumah.


Ada juga permainan di laman rumah seperti ‘tiang beracun’, ‘rounders’, ‘sembunyi ibu’ dan ‘cekutek’ iaitu permainan gali lubang di atas tanah berbentuk tiga segi dan letak sebatang kayu pendek melintangi lubang tersebut dan sebatang lagi kayu yang lebih panjang untuk digunakan untuk mencungkil kayu yang melintangi lubang itu kearah pihak lawan. Sekiranya lawan kita dapat menyambut kayu yang melambung itu dan balingan mengenai kayu pencungkil yang ditinggalkan melintang di atas lubang itu, maka pihak yang mencungkil kayu itu kalah).


Kami sering juga bermain ‘sepak yin’ , ‘bang selebu’ , ‘tutup oren’, 'batu seremban', guli dan juga main tali ‘skipping’ yang di buat daripada gelang getah. Aku masih ingat, lagu dan kata-kata dalam permainan tali ‘skipping’ itu walau hingga sekarang masih tidak ku fahami apakah maksud bunyi dari lagu tersebut.


“ Mina poni black can see,
See majerin gopa gopi
A
B
C
D Durian
Durian, durian is like
Nani
Nani, Nani it the man pakistan

Blue black, I can see
See, see I
mina hour

Be be skit
Be be skit
1
2
3
Go!

Ibu bapa Nani sakit
Cepat cepat panggil doktor

Bet tali bet
Pusing keliling

Bet tali bet
Sentuh bumi

Bet tali bet
Pergi tidur!!!”

Sunday, February 22, 2009

Teman Yang Kononnya Berpeluk Cium Dengan Kita

Dalam rentetan hidup ini, saya banyak juga tersinggung dengan kenalan-kenalan yang saya fikir boleh saya jadi kan teman baik, rupanya tidak.

KES 1


Seorang kenalan, yang hidupnya agak senang bernama joyah (anda rasa itu nama sebenar ke?) memang mesra dengan saya. Kira kalau jumpa di mana-mana mesti tegur dan tanya khabar, siap dengan peluk cium sekali. Saya seronok sangat, sebab fikir dia ni pasti perempuan melayu yang baik dan mesra serta bolehlah di buat kawan baik.

Sangkaan saya ternyata benar meleset. Satu hari saya betul-betul terdesak nak menggunakan internet kerana laptop di rumah sedang dibaiki. Saya pun dengan selamba menalipon joyah, bercerita masalah saya dan ingin menggunakan sebentar internet di rumahnya.'Ala Nani, bukan apa, internet kat rumah ni semua anak i pakai buat homework'. Kat rumah i ni ada empat laptop, empat-empat pun ada internet, tapi i tak naklah kacau dia orang". Saya rasa kecilnya diri saya waktu tu, hati tu jangan kiralah, memang dah kecilpun.

Saya pun buang kes. Kes mahu menganggap dia akan jadi kawan baik. Selepas itu, saya belajar lagi yang tidak semua orang boleh jadi teman baik. Namun, saya ni mudah melupakan. Bulan puasa yang lalu kami sering terserempak, kerana tinggal di kawasan yang sama. Saya yang tidak mahu terlalu melayan emosi saya, bertanya kalau-kalau dia mahu menempah kuih raya yang saya jual. Dia kata boleh saja, hantarlah 'sample kuih ke rumahnya'.

Disebabkan terlalu sibuk saya terlupa mahu menghantar 'sample' kuih ke rumahnya, sehinggalah dia sendiri menalipon dan bertanyakan tentang itu. Malam itu, saya menyusun-nyusun biskut ke dalam sebuah bekas. Maklumlah 'sample' kuih raya yang saya jual bukan sedikit, ada 22 jenis semuanya. Malam tu juga saya hantar ke rumahnya kerana saya tahu akibat terlalu sibuk saya akan terlupa dan lambat mengambil pesanan biskut raya tu.


Selang beberapa hari saya teringat yang dia belum membuat tempahan, jadi saya pun menaliponnya untuk bertanya kuih yang mana dia nak tempah. Dia hanya berkata 'sorrylah Nani, semua kuih-kuih tu, tak da yang anak-anak i berkenan'!. 'Hai ada 22 jenis tu, takkan tak da satu pun berkenan' saya bertanya seolah-olah tak mahu terima hakikat yang dia memang tak mahu. Tapi 'sample' kuih raya saya yang 22 biji tu pun dah 'burn'. Saya tak tahulah, kalau ada seorang yang bernama kawan yang tak perlu menjaga hati kawannya sampai begitu sekali.

Sejak itu saya memang merasa amat kecil hati dengannya. Saya bertekad tidak mahu lagi menganggap dia seorang kawan. Saya buang nombor taliponnya dari senarai di 'handphone' saya.

Sehinggalah suatu hari saya mendapat sms dari seorang lagi kenalan mengatakan yang joyah mendapat kemalangan jalan raya dan suami dia koma dan mengalami kecederaan kepala. Selepas kejadian itu saya berfikir, apa sahaja musibah yang Allah swt beri mungkin mahu memberi taufik dan hidayah kepada kita agar kita boleh berfikir bagaimana sikap kita terhadap orang-orang disekeliling kita selama ini dan berubah menjadi yang lebih baik. Tetapi adakah kita memikirkannya?

Tuesday, February 17, 2009

ADA JUGA PEREMPUAN YANG TAK BERAPA MAHAL, PEREMPUAN 30 SEN

BAB PERTAMA


Cuba kita fikir kenapa Allah bagi musibah. Banyak di antara kita mudah lupa yang Allah itu bagi apa-apa sahaja musibah kepada manusia itu adalah hasil dari perbuatan manusia itu sendiri. Kita tak ingat atau tak mahu sedar mungkin, yang kita ni pernah menganggu kehidupan orang, pernah menyakiti hati orang, pernah menyinggung perasaan orang, pernah membuat orang susah hati sampai tak senang duduk. Macam saya dulu, pantang je orang ajak gaduh saya ‘layaaann….’Maklumlah siapa tak geram, kita tak usik orang, orang usik kita. Masa itu setan pulak bertenggek-tenggek mengeletek hati saya supaya lawan balik. Sampai saya terlupa yang Allah tu ada.Allah tu Maha Kaya . Saya balas balik macam saya tak yakin yang balasan dari Allah itu lagi hebat .

Nak cerita balik pasal perempuan yang bagi saya sms layang tu pasal harga aiskrim saya lebih 30 sen dari harga aiskrim yang dijual di rumah. Saya tak tahulah apa motif dia. Samada di tu dengki ke, kedekut ke, atau duit 30 sen tu bagi dia macam 30 ribu ke atau geram sebab tak boleh tahan tengok budak-budak kerumun saya sampai tertanggal-tanggal sandal saya ke, atau saja-saja terlebih masa dan tenaga, tak tahu nak buat kat rumah atau kat pejabat sampai boleh terfikir nak cari no telefon saya dan sms layang kat saya begitu hanya kerana 30 sen. Dah tu selit jugak kata-kata yang menjengkelkan hati ‘janganlah ambil kesempatan ke atas kanak-kanak yang tidak tahu menilai wang’ yang bernilai 30 sen tu.

Apa pun motif perempuan 30 sen tu, dia telah berjaya membuat saya susah hati yang amat, membuat saya tak senang duduk memikirkan macam mana nak balas sms tu dengan kata-kata yang betul dan baik.Sampaikan malam tu punyalah tak senang hati saya dibuatnya, kuali pengukus yang telah berjasa selama bertahun-tahun tu terbakar dan bocor akibat saya asyik termenung sana termenung sini sampai terlupa apa yang saya masak di dapur. Sampai terlupa saya banyak tempahan kek coklat dan cookies.

Fikir punya fikir, saya tak salahkan perempuan 30 sen tu lagi. Saya yang bersalah kerana cepat sangat nak pergi jual ais krim sampai saya lupa nak baca ayat kursi lepas solat asar hari tu. Bukankan ayat kursi itu adalah pendinding dan senjata mukmin supaya terlindung dari segala perbuatan jahat dan hasad dengki, angkara manusia mahupun iblis. Saya yakin kalau saya tidak terlepas membaca ayat kursi setiap selepas solat pasti saya terhindar dari segala gangguan samada dari manusia ataupun jin dengan izin Allah.

Saya yakin itu kerana ada suatu malam itu, beberapa rumah jiran-jiran saya dimasuki pencuri yang mencuri kasut-kasut yang diletak di luar rumah.. Sedangkan kasut-kasut kami termasuk ada beberapa pasang kasut suami saya yang agak mahal memang letak di luar rumah sebab kabinet kasut pasang siap di rumah kami belum siap. Malam tu selepas solat isya saya baca ayat kursi dan yakin Allah akan melindungi rumah saya dan keluarga saya sampai ke subuh. Mungkin dengan kuasa Allah pencuri itupun langsung tak terfikir untuk mencuri kasut-kasut kami. Alhamdulillah.

Bercerita lagi pasal janji saya pada perempuan 30 sen yang saya akan jual aiskrim 30 sen , suami saya melarang saya layan perempuan 30 sen itu. Suami saya marah-marah , kalau nak harga 30 sen, bukan jual tepi jalan macam tu. Harga tu jual dari rumah bolehlah. Lagipun aiskrim you buat sedap, bahan-bahan mahal, buat apa you nak layan. Tapi sebab janji saya buat juga aiskrim air, gula dan perwarna dan jual harga 30 sen. Saya tulis besar-besar AISKRIM SIRAP BIASA 30 SEN. Dan di sebelahnya saya tulis AISKRIM BLENDED ISTIMEWA 60 SEN.

Allah itu Maha Kaya, Maha Pemurah. Kalau dia nak bagi kita rezeki, ada sahaja jalan ceritanya. Lebih orang dengki dengan kita lagi lebih rezeki Allah murahkan untuk kita. Rupanya perkataan 30 SEN yang saya tulis besar-besar itu memang jadi daya tarikan dan bertambah ramai pula ibu-bapa turut membeli. Tetapi tidak pula mereka membeli aiskrim sirap biasa itu kerana anak-anak mereka hanya mahu aiskrim BLENDED yang dah selalu mereka makan tu. Alhamdulillah, aiskrim 30 sen memang hanya buat ‘standby’ untuk mereka yang minat dengan air, gula dan pewarna sahaja, ataupun yang mengganggap wang 60 sen mereka itu boleh buat mereka papa kedana bila beli aiskrim yang lebih sedap. Dan poster yang tertulis besar-besar 30 SEN itu pula khas untuk tatapan orang-orang di situ yang tak senang duduk tengok aiskrim saya laris dan risau saya akan jadi kaya raya kerana jual aiskrim.

Dalam pada tu, ada seorang kanak-kanak perempuan datang dengan memegang wang 30 sen di tangan. Cik, cik, ada aiskrim 30 sen tak? Ada tu, nak ke? Kata saya sambil menunjukkan tong yang berisi aiskrim 30 sen. Setelah melihat aiskrim dalam tong, budak perempuan tu pun berkata, tak palah, sambil berlari ke arah ibu mereka. Mujurlah saya buat ‘standby’ aiskrim 30 sen tu untuk legakan hati orang walaupun memang tak laku.

Sunday, February 15, 2009

SAYA DAN PERNIAGAAN

Salam semua. Sibuk dan selalu menyibukkan dan memenatkan diri sendiri. Sebenarnya saya ni hamba Allah s.w.t, umat Nabi Muhammad s.a.w, anak keturunan jawa, isteri orang dan ibu 7 anak yang tak tahu duduk diam untuk mencari rezeki membantu suami menambah pendapatan keluarga.


Begini diari hidup saya, 6.00 pagi bangun, mandi, solat, buat sarapan lempeng, jemput2 atau yang simple2. Itupun kalau sempat atau anak desak nak bawa bekal.7.00 pagi dah 'start'enjin kereta dan bertolak mengambil anak-anak jiran ke sekolah sambil membawa Imran dan Hafiz sekolah pagi.



Segera balik ke rumah tanpa boleh singgah di mana-mana dan terus menyiram rumput dan pokok di halaman.Sambil menyambut baby Daleeya yang di hantar oleh ibunya Jasmin untuk saya jaga sepanjang hari.



Lepas mandikan, bubuh minyak yuyi dipusat, sapu losen baby, pakaikan barut dan Daleeya dah wangi dan sedia untuk dicium dan digomol, bagi susu, 'burb'kan dia dan bendung kemudian tidurkan dia. Sudah masuk 3 bulan saya menjaga Daleeya. Sekarang dia berusia 5 bulan.



Lepas tu tengok masa, kalau sempat kemas sikit-sikit. Kalau tak terus masak yang simple-sa imple jugak sementara Daleeya tidur sambil siapkan jajan-jajan yang nak dijual dalam bonet kete dan duit baki. Balik-balikkan aiskrim yang belum keras beku kerana bila buat banyak2 susah nak sejukbeku. Bila Daleeya bangun, kena bagi dia susu, kalau berak tukar lampin pakai buang.





11.30 dah, jerit kat Alisya suruh mandi dan siap untuk kesekolah.12.00 tengahari dah siapkan aiskrim kerana kena pergi awal untuk ambil anak-anak jiran dan dapatkan lot parking supaya dapat jual aiskrim.



Kalau nasib baik, Liana atau suami balik tengahari, suruh dia tolong 'takeover' jaga Daleeya. Kalau tak bawalah Daleeya ke sekolah. Sementara tunggu penumpang-penumpang sessi pagi semuanya ada disitu, sebab ada yang menumpang tu seorang pengawas, selalu pulak kena panggil cikgu ke bilik guru, sebenarnya itu yang penyebab dapat idea untuk berniaga, daripada menunggu membuang masa, kamipun bukalah perniagaan bonet kereta jual ais krim malaysia dan sedikit jajan.



Tak sampai setengah jam, kami selesai menjual ais krim. Tak dapat jual banyak pun, sebab tak larat sangat nak 'produce banyak2. Memang kalau setakat guna gula dan perwarna, kos pembuatan memanglah murah tapi kalau berniaga ais krim malaysia dengan harga 30 sen, sangatlah tak berbaloi. Kalau berbaloi pasti ramai berniaga ais krim malaysia tepi jalan atau depan sekolah-sekolah. Paling koman pun buat aiskrim malaysia sendiri untuk beri anak-anak makan puas-puas. Kalau setakat 30 sen buat penat dan buang masa serta tenaga yang kita gunakan untuk masak air, masak air gula, tunggu sejuk, bancuh, memasukkan ke dalam plastik, dan paling teruk membungkus dengan memintal sehingga naik kematu jari dan kuku. Lepas kena pantau sejuk bekunya itu. Angkat tong masuk bonet kereta, kena pergi awal sebab nak kena 'cop' parking, lagi sekali buang masa. Belum kira lagi penat menjual, bila budak-budak berebut-rebut terjerit-jerit, cik!cik!cik! dan tak mahu beratur. Part yang beli tak bayar janganlah kira. Itu sebabnya saya cuba untuk lebih kreatif agar dapat mengubah daripada sekadar gula dan perwarna dengan menjadikannya lebih enak, berkualiti dan mengasyikkan agar saya dapat menjualnya dengan harga lebih sedikit dan barulah berbaloi sedikit penat lelah berniaga. Kalau berniaga tak berbaloi lebih baik duduk berehat sahaja.





Selesai sesi pagi, di rumah saya solat zohor dan makan. Sambung balik bancuh aiskrim untuk jualan esok. Tepat jam 4 saya mandikan Daleeya dan sempat dia tidur sebelum pulang ke rumah. Kadang-kadang saya sendiri yang menghantarnya balik kerumahnya.



Jam 5 petang bertolak ke sekolah untuk mengambil Alisya dan anak-anak jiran sambil 'cop' parking untuk berniaga aiskrim.




Sebelah malam sambung buat aiskrim lagi. Selalu tertidur di kusyen dan tengah malam terbangun untuk siapkan tempahan kek coklat strawberri pula.



Buat masa ini itulah rutin harian saya, sebab itu sudah sekian waktu saya terpaksa melupakan dunia BLOG.



Insyallah dalam waktu terdekat saya akan meluangkan masa untuk memblog.