Monday, August 11, 2008

Kuih Raya Online



White Choc Wonder, 50 pieces, RM28

Pejam celik pejam celik dah hampir setahun masa berlalu. Rasa macam baru sangat kami sekeluarga berpusu-pusu menaiki kereta pergi berbuka dan bersolat terawih di masjid. Alhamdulillah sejak berpindah ke kawasan kejiranan ini, kami betul-betul merasa nikmat menjalani ibadah puasa. Kami jarang berbuka di rumah. Hampir setiap hari setelah habis berniaga kuih-muih dan dadih di bazaar ramadan di USJ 4. saya terus bersiap untuk pulang. Sebelum masuk waktu berbuka saya sampai dirumah, anak -anak dan suami menanti untuk pergi bersama-sama ke masjid.


Nestum Raspberry, 50 pieces, RM28


Tahun ni saya tidak bercadang untuk berniaga di bazaar ramadan. Lagi pun saya dah siapkan contoh kek dan biskut hari raya untuk tempahan 'online' atau dari rumah. Jadi sesiapa yang ingin merasa dan menempah kek dan biskut hari raya silalah datang ke rumah saya.Untuk penggemar coklat, pelbagai jenis biskut yang enak dan penuh dengan coklat boleh anda tempah.Kesemua jenis biskut saya jual satu bekas berisi 50 keping dengan harga rm28.


Classy Pandan, 50 pieces, RM 28


Sewaktu kecil membuat persiapan hari raya, memanglah saat paling gembira buat saya dan adik-beradik yang lain. Seronoknya tidak terkata. Kakak sulung kami sanggup bersekang mata hingga ke jauh malam hanya semata-mata nak menyiap kuih-muih untuk juadah hari raya manakala ibu, sampai sakit-sakit tulang belakang menjahit langsir dan baju melayu dan baju kurung kami. Begitu juga dengan arwah ayah, tekun betul mengecat rumah, agar sempat siap sebelum hari raya.


Hazel Truffle, 50 pieces, RM28

Empat lima hari sebelum menjelang hari raya pula, kami sekeluarga bertambah sibuk. Mana nak kacau dodol, nak anyam ketupat, nak tangkap ayam untuk disembelih dan di buat rendang dan sebagainya.

Almond Tart, 50 pieces, RM28

Biskut Samperit, 50 pieces, RM28


Saya dan adik-adik saya memang tak pernah ketinggalan dengan projek kami. Sayalah anak yang paling nakal dan paling kreatif di antara kami adik-beradik. Nama je budak perempuan tapi perangai mengalah budak laki. Apa tak nya masa tu kami tak kan rasa meriah hari raya tanpa dentuman mercun atau meriam.Tak padan betul dengan usia, segala semak dan belukar saya redah semata-mata nak mencari batang buluh untuk dibuat meriam.Tak lelap tidur memikirkan mana siapkan meriam buluh dan bila pulak nak siapkan lampu raya. Habis aje waktu sekolah saya ke kebun belakang rumah memotong batang anak-anak pokok getah untuk saya jadikan tiang lampu. Masa tu nak beli lampu minyak tanah pun tak mampu. Mahu tak mahu saya berusaha jugak mengumpulkan bekas tin susu Cap Junjung untuk saya buat lampu raya.


Biskut Arab, 50 pieces, RM 28


Alhamdulillah namun rasa hairan juga, masa tu tak pernah pulak terjadi kes jari putus, muka terbakar akibat main mercun, main meriam atau lampu pelita seperti yang sering terpapar di dada akhbar dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Mungkin kanak-kanak dulu lebih berhati-hati dan tidak cuai agaknya.


Choc Crunchy, 50 pieces, RM28

Apapun semua itu sudah menjadi satu nostalgia bagi diri saya. Mungkin juga bagi diri kebanyakan kita, banyak lagi kenangan indah menyambut hari raya di zaman kanak-kanak. Siapalah yang tidak merindui hari raya di zaman kanak-kanak.Apatah lagi bagi saya yang sudah hampir 20 tahun kehilangan ayah yang tersayang. Beliau telah pergi meninggalkan kami, namun segala kenangan berhari raya bersama ayah ketika saya kecil tetap saya simpan kemas dalam ingatan. Setiap solat saya mendoakan agar ayah damai di sisiNya dan sentiasa mendapat rahmat dan keampunan dari Nya.



Chocolate Shortbread, 50 pieces, RM28

Yang nyata, zaman dah berubah dan duniapun dah maju, banyak antara kita tidak lagi bersusah-payah membuang masa membuat sendiri kuih muih dan juga persiapan untuk menyambut hari raya. Tambahan pula dengan harga bahan untuk membuat kek dan biskut yang tinggi melambung dan kebanyakan kita yang sentiasa kesuntukan masa. Rasa-rasanya lebih jimat dan berbaloi membeli yang dah siap.Jadi saya ambil kesempatan atas minat saya dalam bidang ini untuk memudahkan anda mendapatkan pelbagai jenis biskut dan kek untuk hari raya kali ini.




Mocha Almond, 50 pieces, RM28


Saya harap sudi-sudikanlah datang ke rumah saya merasa sekaligus membuat tempahan kek dan biskut untuk hari raya yang bakal menjelang tiba.




Choco Nozzle, 50 pieces, RM28


Beberapa jenis kek ditawarkan untuk tempahan adalah:

1. Carrot Cake With Cream Cheese

2. Bluberry Cheese Cake

3. Steam Fruit Cake (Kek Kukus Sarawak)

4. America Chocolate Cake

5. Walnut Chocolate Cake

6. Chocolate Butter Cake.


Untuk sesiapa yang berminat sila e mel saya shinarostam@yahoo.com

Terima Kasih.


Hijrah Rohani :

Firman Allah Ta'ala :-

"Wahai orang-orang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa."

(Al-Baqarah:183)


Firman Allah Ta'ala:-

"Di dalam bulan Ramdhan itulah diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan dari petunjuk itu dan yang membezakan (antara kebenaran dan kesesatan)."


(Al-Baqarah:185)


Sabda Rasulullah s.a.w.:

"Puasa itu adalah pendinding, maka apabila seseorang kamu menempuh hari puasanya, hendaklah ia tiada bercakap kotor, tiada berlaku jahat, dan tiada menjahili sesuatu hukum; jika orang mencercanya, atau mengajak berkelahi, hendaklah ia mengatakan:Sesungguhnya aku ini sedang berpuasa."


Sabdanya lagi:

"Mulanya (bulan Ramadhan) rahmat, tengahnya pengampunan, dan akhirnya merdeka dari api neraka."