Wednesday, March 30, 2011

Mee Rojak Menanges

Assalamualaikum..... Setiap hari makan nasi. Sampai satu tahap rasa macam tak da idea nak makan apa.

Apalagi macam biasa buat undian. Al maklum, anak berderet...taste tak semua sama. Kemudian suruh masing-masing angkat tangan.

"Ok hari ni mama nak mamam apa...eh nak mamam pulak. Kalau mama nak mamam sapalah yang nak masak tu...SAPA LAGI...kalau bukan budak hafiiz yang sangat berbakat masak nasi goreng paling sedap tahap dewa sama naik dengan mengecahkan dapur. Opss suka melalut"....

"Ok gostan balik...hari ni mama nak masak mee. Ok nak mee udang, mee kari atau mee rojak". Suara ramai mahukan MEE ROJAK!!!!

Baeklah....majoriti memilih mee rojak menanges....sebab sapa tak dapat makan mee rojak ni emmang nanges...

Resepi nya ialah......

1kg mee kuning (celur)
1 biji keledek sederhana besar (rebus buang kulit dan kisar halus)
1/2 cawan biji bijan (goreng tanpa minyak dan kisar halus)
1 cawan kacang tanah (goreng tanpa minyak dan kisar halus)

Bahan untuk di kisar dan ditumis:-

10 batang cili kering (rebus dan buang biji)
2 biji bawang merah besar
4 ulas bawang putih
1 inci belacan
2 sudu udang kering

Bahan perisa :-

1/2 cawan air asam jawa
5 cawan cawan air
1 keping asam gelugur
1sudu makan garam
1/2 cawan gula
1 sudu teh serbuk perasa
1 cawan minyak untuk menumis

Kisar dan tumis sehingga naik bau. Masukkan bahan perisa. Masukkan kacang tanah, biji bijan , keledek dan air. Biar mendidih dan angkat.

Bahan bahan hiasan :-

Timun
taugeh
telur rebus
cucur udang
tauhu goreng
limau kasturi

Rajin-rajinlah mencuba...rugi sapa tak cuba...mee rojak paling sedap di seantero benua.




Monday, March 28, 2011

Tak Pasal-Pasal Jadi Pendek

Assalamualaikum..... Hari tu kan dalam dok buat-buat kek tak berhenti-henti tu...terpaksa jugak ambek time off. Huhu terpaksa....bukan terpaksa ikut...terpaksa berhenti buat kek...Apalagi ikutlah anak dara kita ler...pergi bercuti. Mula-mula dengar Hongkong Disneyland? Macam tak sesuhai jer....maklumlah mak bukan budak budak lagi...dah jadi mak budak-budak kann. Dah tu sampai sana...nak main apa eh...rasa macam nak tak main ar...dah tuwek kan...tapi tengok muka hanis seposen jer bila ajak mama dia main roller coaster....dalam hati dah gigil-gigil...tak nak ar...ala mama ni tak sporting la...jom la-jom la.. Entah macam mana kaki tu boleh melangkah jer..ikut jer membontot. Last-last tawakal jerlah...baca selawat segala..ayat qursi....tak confident beb...manalah jantung tu bukan jantung orang muda....walah...

Sangat terpegun dengan suasana bandar-bandar di Hongkong... bangunan yang terlalu rapat-rapat dan orang yang terlalu ramai berjalan di atas jalan sepanjang masa. Pestime tengok suasana macam tu.




Betullah.....jangan gelak eh...tak pasal-pasal jadi pendek...terkecut bawah pedal...kus semangat rasa nak tercabut nyawa mak...bila selesai alhamdulillah hidup lagi aku.....hehehe .


Tengok Hanis berlagak eh....menten beb boleh senyum lagi...panjangkan leher....fuh!!


Rasa-rasa lepas ni nak tak naik lagi?

Thursday, March 24, 2011

Mencari Pelamin Untuk Majlis Liana

Assalamualaikum.....

Hello sayang apa khabar? Harap semua diberi kesihatan oleh Allah s.w.t. Jaga kesihatan melalui pemakanan. Macam saya sekeluarga cuma biasa makan siang sahaja. Waktu malam kami jarang dinner atau beria-ia makan. Sebab tu banyak orang tegur mengapa saya suka masak tetapi anak-anak kurus-kurus belaka. Macam tulah citer dia........

Dalam saya sibuk tunggang terbalik, saya selalu dapat sms dari seorang kenalan yang saya kenali ketika sessi fotografi di Karangkraf menjemput saya ke majlis-majlis yang sering diadakannya termasuk majlis rumah terbuka. Punyalah sibuk buat kek sampai satu undangan pun tak dapat saya penuhi. Minggu lepas bila saya terima sms darinya menjemput hadir ke majlis harijadi anaknya cepat-cepat saya menelefonnya. "Assalamualaikum Hani...." "Sara lah kak nani...lupanya..." Minta maaf sara...muka ingat lagi tapi nama lupa"... hehe.

Saya pun berjanji dengan sara akan cuba datang ke majlis hari jadi anaknya. Majlis mula pukul 10 pagi hingga 1 tgh.

Tup tap...dah pukul 2 ptg saya masih dengan sos chocolate.

Anak-anak seperti biasa...mula-mula tanya semua tak nak ikut. Tapi bila saya dah bersiap dan nak bergegas pergi barulah mereka sedar akan terasa macam hidup tak bermakna bila ibu tak depan mata hoho . Sebab kalau duduk di rumah tak da ibu memang tak happening kannnnnn........

Makanya.....kemana saya pergi selalu dengan anak-anak. Salah satu petua....saya adalah ibu yang tak suka berleter. Nak ikut..ikut. Tak nak ikut...tinggal. Sebab saya macam tak da masa kot nak berleter atau bising-bising kerana mind saya sentiasa terlalu sibuk untuk fokus tentang tempahan kek yang banyak.Alhamdulillah. Kadang-kadang bila anak-anak datang mengadu itu ini saya hanya sempat mengangguk sahaja tanpa paham jalan cerita sebenar.... dah tu bila dah free tanya balik kat anak-anak...eh tadi you all cakap apa?

Jam 3 ptg saya baru nak bertolak. Telefon sara bertanyakan dia..."sara...masih boleh datang ke?"

Sara kata, boleh datanglah kak nani...makanan ada lagi.

Seronok sangat pergi rumah sara. Makan sedap-sedap. Layanan sangat istimewa. Sara, PA dia, emak dan suami sara yang sangat friendly. Terima kasih banyak-banyak sara.

Sempat jeling tengok suami sara rajin didapur, saya dan anak-anak sempat berbisik-bisik...untungnya sara dapat suami warak, rajin, penyayang, kaya dan pandai masak.


Kemudian kami beransur ke majlis bertunang kawan Liana.

Selepas tu kami settle hal photographer untuk majlis Liana.

Catering dah dapat beberapa yang harus dicobain rasa masakannya.

Canopy masih dalam perbincangan.

Cuma kini masih mencari baju pengantin untuk disewa dan juga mencari pelamin ...huhuhu....

hehe...menunggu meja disiapkan....sebab meja makanan kat luar dah nak kena kemas....





Sempat......ini adalah gambar dalam gambar...macam mimpi dalam mimpi tu...sebab scanner dah rosak....





Sempat.....
Si sara pot pet.....pot pet....kami sekeluarga khusyuk mendengar...heheh ke khusyuk makann....




sampai tonggeng-tonggeng mangkuk bubur pulut hitam budak si hafiiz ni.....
sedap giler doe bubur pulut hitam tu...


Sempat..........


Tulah tadi nak pergi buat rambut tak sempat kan......


Soto....berselera tengok sara makan saya pun berjangkit...........



Emak si sara....khusyuk bersms...kot...menu nasi lemak sambal sotong sedap sangat (biasalah saya selalu kagum dengan masakan orang lain)...esoknya saya pulak buat menu yang sama.....hehe nasi lemak sambal sotong.....berpinggan-pinggan hafiiz dan alisya makan. Lepas ni nak buat bubur pulut hitam pulak.


Uiks...setelah dok promote-promote nasi lemak tu kat Khairi....tengok tuh...

Selepas rumah sara kami ke rumah kawan liana Chia..bertunang...




Selepas rumah Chia kami ke Desa Parkcity, berbincang dengan fotographer.....untuk tunang dan wedding Liana insyallah.

Tuesday, March 22, 2011

Persiapan Pertunangan Liana (Part 1)

Assalamualaikum....

Pagi yang nyaman. dingin. indah.nostalgia.perut berkeroncong.

Di mana harus ku mulai. Depan atau belakang.

Lap cermin atau lap kipas.

Ubah perabut atau mop dahulu.

Basuh karpet tetapi hari hujan. Tak mengapa. Basuh sahaja. Letak atas pagar. Air tuntas dan tunggu matahari.

Sedang siram karpet. Terpandang kereta di sebelah ku. Teringat pulak karpet kereta sangat kotor. harus di basuh.Fikir semula. tak mengapa biarkan dulu. Tak kan aku nak habiskan masa membasuh segala karpet. Nanti aku suruh suami basuh walau aku tahu pasti berat mulut aku nak menyuruh suami. Aku selalu macam tu. Kalau boleh buat aku tak suka suruh orang. Kadang nak suruh orang pun aku bertangguh sebab aku selalu fikir yang aku akan cuba luangkan masa untuk buat dan tak perlu suruh orang.

Mana orang nak tahu hati aku. Aku cuma selalu berharap mengapa perlu disuruh. Sayangi aku dan bantu aku. Kalau betul lah kan menyayangi aku.

Bila dah basah-basah perut minta di isi. Lapar. Harus ke dapur. Pegang tu pegang ni. Masak nasi sambil bersihkan sinki dan nyahbekukan lauk.

Pergi ke ruang tamu. Sambung mop lantai yang terbengkalai. Pergi balik ke dapur. Mula membancuh adunan kek.

Duduk rehat sebentar melepaskan lelah sambil membuka blog. Tengok komen dan buat entry baru.

Sebelum aku bercerita lanjut mengenai persiapan untuk majlis pertunangan Liana. Yang mana aku tak perlu ada check list. Semua dalam otak. Harus kemas rumah sebersih mungkin. Susun atur perabut. Hanya perlu bentang karpet untuk majlis adat orang melayu. Semua perlu bersimpuh dan bersila.Sofa-sofa main jauh-jauh.

Harus pergi beli barang buat kek kerana banyak nak guna untuk majlis nanti. Harus pergi ke kedai barangan jahitan dan pengantin untuk beli segala dawai dan kertas bunga. Harus pergi ke Chow Kit beli periuk nasi eletrik untuk 100 orang makan. Harus beli tungku dapur berpenunu untuk masak guna periuk besar.

Dulang hantaran dah separuh siap. Tunggu sehari sebelum untuk siapkan kerana hias guna fresh flower. Hias ikut kreativiti sendiri. Lepas ini, sesiapa nak sewa atau upah gubah hantaran bolehlah....jangan segan-segan.

Pinggan mangkuk, sudu garpu, piring cawan harus disediakan. Nanti tak perlu tercari-cari.

Bilik pengantin on the way untuk ubah suai. Tak sempat untuk tunang. Maka kena pinjam dan hias sikit-sikit bilik Alisya.

Banyaknya nak fikir. Belum lagi persediaan makanan dan kerusi meja makan.

Kalau ada masa susun meja makan yang selalu guna untuk party kalau tak sewa satu set khemah. Tengoklah....

Oklah apa-apa pun resepi untuk kawan-kawan tak mahu kulupakan.

Semalam buat umai udang yang paling sedap, ayam percik dan udang goreng sambal....







Umai ni sedap giler doe.....bahan-bahan.....udang hidup segar, buang kulit dan potong kecil-kecil. Perap dengan sedikit garam, 3 sudu makan cuka, 5 biji perahan air limau kasturi. Masukkan dalam peti sejuk.

Selepas setengah jam, camprkan bahan-bahan kisar iaitu cili padi, bawang merah kecil,bawang putih, halia dan belacan.

Hiris halus-halus serai, halia, cili padi, bawang besar, udang kecil, daun sup, daun kunyit, daun ketumbar,

Gaulkan semua sekali, adjust rasa dengan garam, gula, cuka dan jus limau.

Hias dan hidang dengan nasi panas. Walau tak masuk peti sejuk, umai tahan selama dua hari atau lebih dalam suhu bilik tanpa dijangkiti bakteria dan tak basi langsung.


Udang goreng bercili. Goreng udang. Ketepikan. Tumis bahan kisar, cili kering, belacan dan bawang putih. Masuk cuka, gula, serbuk perasa garam. Letak atas udang goreng dan hidang. Bertambah-tambah nasi makan...yummy.

Ayam percik. Perap ayam dengan kisaran halia, bawang putih, bawang merah dan serai, santan pekat. Masak dengan api perlahan. Masukkan asam jawa/asam keping, gula garam, serbuk ayam. Setelah setengah masak. Angkat ayam dan bakar. Tuang kuah santan ke atas ayam yang sudah dibakar dan hidang.




yummm...yummm...yummm...

Friday, March 18, 2011

Kalau Bukan Keturunan Jin

Assalamualaikum....


MASUK BAKUL ANGKAT SENDIRI.


Cuba fikir apa maksud ayat di atas.


Bagi saya ayat di atas membayangkan sesuatu yang tidak munasabah. Boleh ke seseorang itu masuk bakul angkat sendiri. Boleh ke? Selagi yang masuk bakul itu manusia dan bukan dari keturunan jin tak kira kuruih kedengking ke atau besar gedabak...kalau dah masuk dalam bakul sampai kiamat pun tak boleh angkat sendiri kann.

Tetapi disebabkan maksud peribahasa itu ialah memuji diri sendiri maka secara tak langsung yang memuji diri sendiri itu adalah sifat yang tidak munasabah.

Walaupun tidak munasabah, tetapi minta maaflah ya...di sini saya terpaksa bersikap tidak munasabah apabila masuk bakul angkat sendiri...ee...eeee...


Heheh....sebenarnya saya cuma nak cerita tentang ramai orang kata strawberry moist chocolate kek coklat yang saya jual itu adalah yang paling sedap pernah mereka makan....huhuhu
sama seperti hampir semua orang yang pernah makan nasi ayam saya termasuk jiran tetangga dan sahabat handai serta kaum keluarga saya kata nasi ayam yang saya masak adalah yang paling sedap pernah mereka makan.

Sehingga suatu hari saya pernah menjemput jiran sebelah saya makan malam hidangan nasi ayam di rumah saya.Selepas makan suami jiran saya dengan selamba memuji-muji nasi ayam saya dengan mengatakan inilah nasi ayam yang paling sedap pernah dia makan sambil saya lihat wajah isterinya agak terkedu..takootttt!!!!hahaha...

Ok marilah cuba resepi nasi ayam saya. Tetapi yang ada di sini agak hangus kerana ayam yang guna itu telah dipotong 12 siap-siap apabila waktu itu membuat nasi ayam tidak ada dalam perancangan saya maka saya suruh budak yang potong ayam itu, potong 12. Lagi satu ayam yang sepatutnya digunakan untuk membuat nasi ayam seharusnya tidak dipotong iaitu setelah digoreng atau dipanggang barulah dipotong agar ayam masak cantik.


Cara-cara membuat nasi ayam resepi nanirostam.


Langkah pertama....

Sediakan seekor ayam dan perap dengan halia, bawang putih dan bawang merah selama setengah jam.Didihkan air di dalam periuk dan masukkan ayam tadi dan perlahan api tunggu sehingga ayam setengah masak. Selepas itu angkat ayam tadi dan perapkan dengan sos tiram, kicap cair, kicap manis, madu dan minyak bijan. Gantungkan ayam selama paling cepat satu jam.


Langkah kedua.....


Basuh beraswangi....letak dalam rice cooker tanpa air. Didalam kuali masukkan mentega, tumis bawang putih,bawang merah dan halia yang telah dikisar, sebiji bunga lawang, sebiji buah pelaga, 1 inci kayu manis, dua helai daun pandan dan sehelai daun salam. Setelah naik bau masukkan separuh daripada air rebusan ayam tadi, susu full cream, garam, serbuk ayam dan gula mengikut rasa. Biarkan mendidih dan tutup api. Tuang kedalam beras tadi jika air tidak cukup tambah air biasa dan masak seperti biasa.

Langkah ketiga....

Blend cilipadi merah siam dengan bawang putih. Masak di dalam kuali. Masukkan gula, garam dan cuka secukup rasa. Masak dengan api kecil sehingga likat.

Air kicap hasil perapan ayam tadi...dimasak di dalam kuali sehingga mendidih.angkat.

Separuh air rebusan ayam masak semula dan campurkan jeruk kobis, garam dan serbuk ayam.
Bubuh potongan daun bawang dan bawang putih goreng ketika menghidang.

Goreng ayam secara deep fry atau di dalam periuk yang dalam sehingga minyak menenggelami ayam. Untuk lebih mudah, sangkutkan ayam dengan besi penyangkut ditepi periuk agar mudah mengangkatnya setelah masak. Setelah ayam masak angkat dan gantung agar dapat toskan minyak. Potong ayam dan hidang.

Setelah nasi masak, tabur bawang goreng dan daun bawang atau daun sup dan hidang.






Hidangan lengkap untuk makan nasi ayam.

Nasi ayam harus dari beras wangi agar jadi gebu dan enak.


ehmmm dia tidak sepatutnya jadi begini.........



Kuah kicap hasil perapan ayam....




Sup yang yummy yummmy





Sos cili yang manis, pedas dan sedappp......






Tambahan yang melengkapkan, sawi cina atau taugeh goreng sos tiram.







Tuesday, March 15, 2011

Wan!!!!

Assalamualaikum....


Belum habis pening dengan nak survey catering (yang murah dan sedap) mana nak cari tu...nak yang sedap tapi nak murah jer, pelamin mama pengantin nak juga (untuk buat background tangkap-tangkap gambar kannn...), mak andam (sebab mama pengantin mana ada kederat nak jadi mak andam tengah sibuk-sibuk tu), khemah (nak yang murah dan glemer) ada ke? dan part time worker/maid..........


Ada pulak dialog macam ni....


Anak-anak :

"Eee..bestnya kalau Kekna cepat dapat anak. So anak kekna nanti panggil daddy 'TOK DADDY' la..."

Suami :

"Mana boleh.... kena panggil daddy "TOK WAN", panggil mama "OPAH".

Isteri :

"Ala tak nak lah "OPAH" panggil "EMBAH"...pun ok....

Suami:

"Eeewww EMBAH tak best nak sebut macam semput jer..."

Isteri :

"Panggil "NYAI" lah".

Suami :

"Hahaha "NYAI" kang "NYAI BLORONG" pulak.

Anak-anak:

"Tak naklah panggil "NENEK" ....

Suami :

"NENEK" kang NENEK KEBAYAN"...

Isteri :

" Oklah dah daddy panggil "TOK WAN", panggil mama "WAN" jela....
"Lagipun sekarang cucu sedara panggil "WAN" sesuailah tu....


.......................................................................................................................................................


Wah inilah jadi nenek zaman moden......pandai-pandai create nama lain untuk "NENEK".
Ada tu pulak balik ke zaman purbakala jadi "NINDA" .

Monday, March 14, 2011

Amboi-Amboi!!!!

Assalamualaikum....

Amboi-amboi...sayalah ibu yang paling gembira bila anak-anak dara saya sudah mula disunting orang. Ha...hela nafas lega...walaupun dari segi fizikal dan mental zero memang tak bersedia.

Mengahwinkan anak memang tak pernah mudah. Baru rombongan datang merisik den dah poning. Kalau boleh saya cuma nak dia orang bernikah di pejabat kadi sahaja dan buat sedikit kenduri doa selamat.

Tetapi anak-anak zaman sekarang lain pulak ceritanya. Dia yang decide semua. Dari merisik bertunang dan bernikah sanding nanti, mereka dah ada perancangan sendiri.

Bulan April bertunang dan bula Disember berkahwin. Saya kata tak payahlah tunang, banyak kerja tu, tapi nak jugak makanya siapa yang poning den jugak yang poning.

Di sini saya nak minta jasa baik kawan-kawan, sesiapa yang tahu mana nak cari part time maid yang boleh datang seminggu sekali ke....dapatlah membantu kemas-kemas rumah, lap sana sini, mop sana sini...macam tulah.










Ni nak bagi jadi official jer....sebenarnya budak-budak tu dan decide sendiri nak bagi berapa, apa dan sebagainya.
Lepas bincang-bincang tetamu dihidang makan tengahari. Alhamdulillah....yang penting kedua-dua pihak gembira bakal terima menantu.

Rezeki makanan laut, saya balik dari Muar tempohari, dapatlah buat tomyam seafood udang galah, ikan siakap tiga rasa, udang goreng tepung, kupang bercili, telur dadar dan ikan masin jeruk.


Pencuci mulut bread butter puding.



Air lemon honey tea......




Sunday, March 13, 2011

Suara Alisya Dan Hafiiz Di Boboiboy TV3 Ahad 7.00 Mlm




Assalamualaikum,






Excited nak dengar suara Alisya dalam kartun animasi BoBoiBoy di TV3 kul 7.00 mlm ni sebagai YAYA dan suara Hafiiz sebagai Captain Munch.






Jom kita tonton......






Terima kasih.....

Friday, March 11, 2011

Manisnya Memberi Duit Kepada Mak Ayah

Assalamualaikum,

Sewaktu saya baru mendapat result SPM dan mendapat kerja kerani bank di Kuala Lumpur di bahagian pengurusan yang untuk dapatkan duit tambahan kerja lebih masa memang tak mungkin, dengan gaji pokok rm410 belum tolak EPF, NUBE segala, adalah tak musabah untuk saya menghulur sebahagian wang gaji yang sering mak harapkan saya beri padanya.

Bayangkan dengan gaji yang sebanyak itu, saya harus membayar sewa bilik sebanyak rm100, duit tambah bas mini no 33 ke sungai way perlu ada rm100 kerana kadang-kadang terpaksa menaiki teksi. Itu belum lagi transport sekitar kuala lumpur untuk saya bergerak.Duit makan di tempat kerja campur makan malam perlu standby lebih kurang rm200.

Maka untuk beri mak sebanyak rm50 pun macam dah tak tahu nak cari kat mana. Sehingga ada satu ketika saya terpaksa meminjam-minjam dari kawan-kawan hanya untuk beri kepada emak di kampung.

Walau sentiasa tak pernah cukup, rasa bangga dalam diri sebagai anak yang sudah bekerja pasti terbetik dihati mahu menghulurkan sedikit wang untuk mak walau dalam hati meronta -ronta yang saya di tengah-tengah kota inipun sentiasa ketidakcukupan waima untuk makan tengahari di tempat terpaksa meminjam.

Mak pulak seakan mendesak kerana sering mengeluh sini sana sebab anak-anak kerja tak ingat nak bagi dia katanya.

Kadang-kadang rasa cemburu dengan kawan baik saya yang setiap kali dia mahu menghulurkan sedikit duit kepada ibunya, ibunya hanya menolak dan berkata 'Ya Allah nak...kau ni nak bagi mak duit, gaji kau tu cukup ke untuk kau makan sampai hujung bulan. kalau tak cukup tak payahlah bagi' suara lembut ibunya menolak pemberian anak kerana faham yang gaji anak tak seberapa.

Itu dulu. Pada satu ketika saya rasa terbeban, kerana dengan gaji kecil untuk survive sendiri di tengah-tengah Kuala Lumpur pun sangat menyesakkan apabila setiap kali dapat gaji harus bayar hutang.

Sikap emak yang suka membebel jika anak-anak tak hulur duit, membuat saya tebal muka meminjam sana meminjam sini semata-mata tak mahu merasa amat serba salah jika pulang kekampung dengan tangan kosong.

Namun kini saya amat bersyukur rupanya segala wang yang memang tak ada tetapi saya cuba adakan itu untuk saya beri pada emak memberi keberkatan yang berkali ganda dalam hidup saya.

Maksud saya berkat beri duit untuk mak ayah apabila kalau saya susah macam manapun akan sentiasa ada jalan Allah s.w.t tunjuk untuk saya menyelesaikan segala masalah dengan jayanya. Alhamdulillah.

Seharusnya kita sedar akan keberkatan memberi wang hasil daripada pendapatan kita kepada ibu bapa. Walaupun kini ramai ibu bapa yang berada dan mempunyai wang yang banyak dan tidak sedikitpun hairan dengan wang anak-anak tetapi kemanisan dan berkat untuk anak-anak itu sendiri tidak sama dengan duit sendiri.

Alhamduulillah kini apabila saya sendiri mempunyai anak-anak yang meningkat dewasa saya mengingatkan dan mendidik mereka tentang tanggungjawab terhadap ibu bapa. Walaupun sebagai ibu bapa kita tak boleh memaksa, tetapi biar sedikit harus ada peruntukan untuk diberi kepada mak ayah sebagai mendapat berkat dan rahmat dari Allah.

Dan alhamduliallah anak-anak saya kini bukan sekadar menghulur tetapi banyak meringankan beban kewangan yang saya hadapi.Mudah-mudahan Allah sentiasa memberkati dan melipat gandakan rezeki yang diperolehi. Amin.

Wednesday, March 9, 2011

Selepas Selamanya

Bagi Aku BMW Satu Baru Aku Semangat Nak Gerak

Assalamualaikum...

Aku paling suka berjalan naik kereta dan sebelah ada drebar bawak. Kalau nak harapkan aku yang bawak fikir seratus kali baru aku gerak. Dari dulu sampai sekarang memang tak suka bawa kereta. Tapi kalau ada orang nak bagi aku satu BMW sport atau paling koman 5 series aku rasa baru dapat menyuntik semangat macam nak masuk formula one. Tapi selebihnya aku lebih bahagia duduk sebelah diver.

Hampir setiap bulan aku berjalan menuju ke Segamat. Bagi aku perjalanan tu aku tak rasa cun bila tak banyak benda makanan yang boleh aku beli. Hanya satu yang aku paling suka perjalanan itu bila musim deroyan. Aduh murah gila dan sedap gila deroyan cap kunyitlah, cap d24la, cap udang merahla...cap ayam aku tak discover lagi.

Banyak juga journey yang tak interesting contohnya perjalanan ke Sabak Bernam hampir setiap bulan itu hanya dapat melalui banyak gerai jual mentarang yang aku tak gemar sebab isinya yang liat serta gerai buah-buahan yang harganya kus semangat lebih baik aku beli buah kat jaya jusco jela. Tetapi jangan give-up kerana perjalanan hari Ahad aku agak seronok kerana boleh singgah di pasar malam sabak bernam yang ada jual apam balik tersedap di seantero benua, ikan-ikan yang baru naik memang terbaik dari laut serta petai-petai liar dan pucuk paku yang terbaik dari ladang.

Jangan tak tahu kadang-kadang aku kemain teruja bila memulai perjalanan ke utara kerana ada satu gerai di Plus di R & R sungai perak yang jual nasi campur lauk ikan kembung rebus siram sambal belacan yang paling sedap pernah aku makan.

Minggu lepas aku ke Muar melalui Tangkak. Dari tol Tangkak kalau ke kanan adalah menuju ke tempat Hanis belajar dan beradu manakala ke kiri menuju ke bandar muar. Kemain teruja aku bila di sepanjang jalan ada jual lokan, kupang dan udang galah. Jalan lagi jumpa orang jual ikan kering(orang johor tak panggil ikan masin), buah-buah dan putu piring...

Gila jakun aku...


Dialog seperti di bawah ini adalah diucap ketika dalam kereta.

Isteri : Sayang, sayang eee...tengok-tengok ada orang jual kupang, lokan...

(sebenarnya sebelum kahwin berbincang nak panggil nama apa...mula-mula darling, lepas tu rasa macam ling..ling...kalau tak keling, juling. Oklah panggil honey...pastu macam tak suka sebab maknanya madu...kang betul-betul dapat madu sapa nak jawab. Lepas tu nak panggil abang (ini memang impian aku sebab dalam hidup tak pernah ada abang) tapi suami geli geman orang panggil dia abang macam orang kampung katanya berlagak.Lepas tu nak panggil sayang tapi katanya sayang..sayang kang melayang pulak..adeeh...Last-last panggil dear...itupun dapat objection dari mak aku katanya "kau ni tak tahu hormat laki panggil dia...dia". Ok lah dear tak nampak gedik tapi masih rasa sayang. So sayang...sayang yang kat atas tu aku dah translate siap-siap ya...cumanya aku tiba-tiba rindu suami panggil nama aku yang sebenar. Dah 25 tahun kot tak dengar dia panggil nama tu....sah-sah aku dah melalut sampai ke sini.

Isteri : eee....tengok tengok lagi!!! ha banyaknya ikan kering, kupang lagi..

Isteri : eee ala i nak belilah...

Suami : ala sayang nanti on the way balik kita singgahlah.


Suami aku part-part menyinggah ni kena dapat semangat dari aku. Kalau setakat dia sorang-sorang drive...memang tak ar....

Jadi impian aku dari Melaka hari tu nak makan udang galah besar gedabak akhirnya termakbul....dapat aku beli tepi jalan menuju ke muar dari tangkak dengan harga lebih kurang 30 hengget sekilo. Terror ke tak terror aku menahan hati nak makan udang galah masa kat melaka hari tu. Sekor 30 hengget beb......memang tak ar.












Bagi aku Tomyam yang paling sedap mesti taruk udang galah...kalau tak yah cerita...bese bese jer....









Tuesday, March 8, 2011

Daun Turi

Pokok daun turi belakang rumah tinggi mengalah bumbung rumah teres tiga tingkat

Patutnya kena selalu cantas supaya tak terlalu tinggi dan senang dipetik


Percaya atau tidak salah satu sayur kegemaran Alisya adalah masak lemak daun turi. Alahai macam orang dolu-dolulah Alisya.

Pokok daun turi sangat mudah tumbuh. Cuma potong dahan dan cucuk atas tanah maka ianya dapat tumbuh dengar subur tanpa perlu baja atau sebagainya.

Pucuk muda daun turi sangat berguna untuk mengatasi masalah kekurangan pengaliran susu ibu bagi ibu-ibu yang menyusukan anak. Jadi kalau anda mempunyai masalah tersebut maka amalkan memakan lauk pucuk daun turi.

Selain daripada pucuk muda yang boleh dimakan, bunga daun turi juga sangat enak dimakan. Cara memasak bunga daun turi hanya dengan menumisnys bersama udang dan sos tiram.








Bunga turi dan pucuk muda daun turi





Bunga turi


Hidangan tengahri saya berasaskan dari pokok turi.





Masak lemak udang daun turi campur rebung.




Resepi - Pucuk daun turi hendaklah direbus sehingga empuk dan dibilas dengan air biasa dan perah. Kisar bawang merah, sedikit cili padi, kunyit hidup, udang kering, buah keras. Tumis kering tanpa minyak dalam periuk. Masukkan sebatang serai dan sedikit lengkuas yang telah diketuk. Masukkan santan daun turi, udang hidup, rebung, asam keping, garam dan stok ayam. Didihkan sebentar dan angkat.





Bunga Turi Tumis Udang dan Sos Tiram.




Resepi - panaskan sedikit minyak, tumiskan udang, sedikit bawang putih dan masukkan sos tiram serta masukkan bunga turi. Tumis dan angkat.





Stuck in the Moment - Justin Bieber + Lyrics (My World 2.0 Studio Version)

Monday, March 7, 2011

Hepi Besday Khairi

Assalamualaikum.


Minggu lepas besday Khairi. Khairi tahun ni banyak kali cuti wajib tapi dia tak balik sebab musabab kerana tahun ni SPM. Maka banyaklah tusyen, revision segala. Mudah-mudahan diterangkan hatinya dapat menerima pelajaran dengan mudah dan berjaya dengan cemerlang dalam SPMnya.

Jadi minggu yang Hanis dan Imran serta Liana dapat bersama kami, maka kami pun bertolaklah ke Sabak Bernam untuk meraikan besday anak bujang saya yang paling pendiam, tinggi, baik, kuat bersukan, banyak wakil sekolah dan tak banyak songeng.

Di Sabak Bernam manalah sangat ada restoran. KFC pun beratur dekat sejam akibat semua orang kampung situ memang suka giler makan ayam goreng. Nama saja berniaga kek tapi kek untuk besday anak tak da...kerana Hanis atau Liana cakap tak payah......bukan makanpun....

Maka kami berKFC lah sahaja.....

Happy Besday Khairi. Jadi anak soleh ya.....



Alisya macam anak indon mana ntah........

Sempat budak-budak ni bertakraw di sini...
Bapak budak jadi tekong ke?
Timbang jangan tak timbang.
La apa kes....pakai jer tudung tapi ya ampun semangat kelakian.....
Cewah sambil menari tuh....
Ini hadiah dari mama buat anak bujang yang hensem. Jaga jam elok2...mahal (pesanan dari penaja).