Monday, May 31, 2010

Bukan Senang Untuk Jadi Kuat Dan Perlu Kuat Untuk Jadi Senang

Jangkamasa panjang dan pendek sesebuah perkahwinan itu tidak menjanjikan bahawa rumahtangga itu senantiasa dilimpahi bahagia dan harmoni. Justeru dalam setiap perkahwinan kita tidak akan berjumpa pasangan yang sempurna. Bahkan kita pun bukanlah manusia sempurna begitu juga dengan pasangan kita.

Namun apa yang lebih penting, apabila kita selalu rasa bersyukur dengan apa yang kita miliki maka setiap kekurangan itu dapat kita terima dengan minda terbuka. Seringkali bila kita terlalu mengejar kesempurnaan kita lupa yang pasangan kita sudah cukup sempurna untuk kita. Cuma kita sahaja yang kurang atau tidak pernah menghargai apatah lagi menyanjungnya. Maka bila kita tidak bersyukur dengan apa yang kita miliki lalu perasaan akan selalu tertekan dan hasilnya kita tidak akan merasa cukup berbahagia dengan pasangan kita.

Perkahwinan juga merupakan satu percaturan. Percaturan antara perasaan dan material.Dan kebahagiaan yang jitu itu apabila kita berjaya memiliki kedua-duanya dalam sesebuah perkahwinan itu.

Namun ada kalanya kita terpaksa memilih.Ada di antara kita memilih untuk bertahan walau sudah hilang rasa kasih sayang terhadap pasangannya namun masih mahu mensyukuri bahawa tidak semua yang kita mahu dapat kita miliki.

Banyak juga yang memilih untuk merasa bahagia walau mereka cuma dilimpahi material berbanding kasih sayang.

Apa yang paling penting apabila kita selalu bersyukur, sebenarnya kita memilih untuk tidak merasa tertekan dengan segala permasalahan dalam perhubungan kita dan pasangan kita.

Dalam mencari kebahagiaan dalam sesebuah perhubungan adalah tidak terlalu lewat untuk kita terus belajar.Tidak terlambat bagi kita belajar untuk cinta. Belajar untuk menghargai, belajar untuk memaafi dan belajar untuk mensyukuri.

Insyallah kebahagiaan itu ada di mana-mana. Kita yang perlu mencari dan merasai.

Saturday, May 29, 2010

Resah

Diam kadang lebih berat dari awan yang mengendung air
tak mahu sedikitpun angin merapati biar sekadar berbisik
angin walau sekadar berbisikpun kau buat diam itu dibasahi air
lalu basahlah sanubari itu mengelus diammu.

Riuh kadang lebih ringan dari awan yang putih melepak
mahu angin mengiringi dengan desah dan kencang bermain main
angin walau ribut sekalipun kau buat riuh bagai taman permainan
lalu nyamanlah hati itu menyambut riuhmu.

Walau diam walau riuh
laungkanlah bertalu-talu agar semesta alam dengar keresahanmu
Hanya kau yang tahu dalam diam mu resahmu melaung-laung
Hanya kau yang dengar dalam riuhmu diammu menderu-deru
dan angin hanya mahu berlalu.

Friday, May 28, 2010

Di Atas Kasur yang Kemas Dan Kosong

Walau selaut rasa sarat tak betah padamu
siapa aku untuk melautkan rasa bosan itu
siapa aku yang kerdil
punya hati yang kecil
lalu segunung rasa sayangku padamu
dihakis angin lembah yang mendinginkan
dikikis sembilu pedih melukai.

Kalau selangit memayungi rasa kecintaan padamu
siapa aku untuk melangit keagungan cinta itu
siapa aku yang lemah
punya hati yang goyah
namun secubit rasa mualku padamu
disuburi hujan dari gunung himalaya
lalu cendawan tumbuh selepasnya.

Siapa sebenarnya kita untuk berbicara
kalau bicara menambah sengketa
Pernahkah sebenarnya kita bercinta
kalau bercinta tak pernah dirasa

Biar gunung langit dan bumi
pernah jadi saksi segala rasa
namun aku pasrah
pada yang Esa

Kalau masih ada segengam kasih melumuri hati
walau bermandi peluh kepuraan membasahi tubuh
Aku akan terus menghuni kamar sepi itu
Menguliti malam di atas kasur yang kemas dan kosong.

Tuesday, May 25, 2010

Sarapan Pagi Bersama Arissa Dan Burung-Burung

Ditengah-tengah hiruk pikuk kesibukan Kuala Lumpur...terasa begitu nyaman menikmati sepinggan nasi lemak dan segelas jus oren segar ditemani burung-burung exotik yang manja bersebab. Mereka semua tu mengendeng nasi lemak yang terhidang di depan saya.

Suasana pagi yang amat indah, dingin dan redup dipayungi pohon-pohon besar yang saya agak sudah berabad usianya itu begitu mengasyikkan.Alangkah damainya hati mendengar unggas dan kicauan burung burung yang mengasyikkan di pagi yang hening sambil menikmati sarapan di tengah-tengah Kota besar ini.
















Monday, May 24, 2010

Resepi Daging Salai Masak Lemak Cili Api





























1)Daging setengah kilo, rebus sampai empuk, kemudian bakar atas api dapur dan hiris tipis.

2)Kisar, 10 bawang merah kecil, seinci kunyit hidup, 1/2 inci, lengkuas, 10 biji cili padi kampung, 2 biji buah keras.

3) tumiskan bahan kisar ke dalam periuk tanpa minyak sehingga naik bau.

4) Masukkan 300 gm pati santan. Masuk sebatang serai yang diketuk, hirisan halus daun kunyit, mangga muda kalau ada atau belimbing buluh atau rebung atau kacang panjang, 2 keping asam gelugor, sedikit stock ayam atau ikan bilis knorr dan akhir sekali masukkan hirisan daging bakar/panggang/salai.

5) Kacau masakan supaya tidak pecah minyak dan angkat

Sibuk Giler. Giler Sibuk.













Sambil buat kek saya masak yang simple, sambal sardin, sayur bayam tumis air, sambal bilis petai dan udang goreng tepung






Hafiiz Bersama Pelakon Iklan, Mazni....heh malu nyer Hafiiz.






















Dah keluarpun iklan astro kat Harian Metro Ahad semalam.


Mula-mula saya cuma fikir yang daftar anak-anak untuk agensi pengiklanan adalah mahu memperolehi pendapatan sampingan. Tetapi kini persepsi saya berubah dan lebih mahukan level keyakinan dalam diri anak-anak tinggi.

Di kalangan anak-anak saya, Hafiiz paling fotogenik. Dalam pembuatan satu-satu tv commercial atau print ads, fotogenik sangatlah penting. Namun apa yang lebih membimbangkan saya bila dia terlalu pemalu dan keyakinan dirinya sangat rendah.Jadi apabila dia mendapat tawaran untuk print ads astro, maka tanpa jemu saya beri dia kata-kata perangsang supaya tidak mudah berasa malu.Yakinkan diri.Insyallah selepas pendedahan seperti ini saya harap keyakinan dirinya bertambah.

Minggu lepas adalah satu minggu yang sangat sibuk. Sibuk giler. Giler Sibuk.Maafkan saya Sufiyan yang menenmpah kek hari jadi untuk isteri dan saya lupa nak membuatnya. Juga maafkan saya Dzaki kerana lambat menghantar kek untuk ibu anda sempena hari ibu. Hari itu adalah kali kedua saya cuba sampai ke rumah ibu anda tetapi hampir sahaja putus asa. Mujurlah Hanis ada sebagai pemberi semangat.Apa taknya, masa mula-mula hari tu, dah nak sampai rumah yang dituju, tiba2 dapat panggilan yang Khairi yang balik menaiki bas dah lama menunggu di Komuter. Maka oleh kerana naluri keibuan yang sangat kuat dan bimbang keselamatannya, saya terpaksa berpatah balik dan bercadang menghantarnya selepas itu.

Kemudian belum sempat hantar semula, saya dapat panggilan telefon dari agensi pengiklanan suruh saya pergi ke lokasi yang ditetapkan untuk Hafiiz shooting iklan astro. Oleh kerana hari itu Jalan Damansara sangat jam akibat adanya satu kemalangan maka saya terpaksa membatalkan penghantaran kek tersebut.

Kali kedua penghantaran, hampir segenap supermarket dilembah klang ketiadaan strawberi maka saya hanya bawa pisau dan cari strawberi di merata kawasan damansara. Akhirnya hanya menemui di Desa Park City dan terpaksa U turn membayar tol sebanyak rm3.20 untuk ke Sri Damansara semula. Hari hampir gelap dan pencarian alamat rumah semakin sukar dan minyak kereta semakin kering kerana tidak berapa familiar di mana letaknya stesen minyak. Dan kek yang di bawa merata tempat pun semakin cair coklatnya.

Maka kemudian sayapun berkata 'Hanis mama rasa mama nak giveup lah...mama pulangkan jer duit dia orang'. Dan Hanis pula menjawab, mama jangan giveup, kita dah sampai sini, cari jer sampai dapat'. Lalu saya jawab cari memang boleh masalahnya hati dah tak tenang bila minyak dah menyalakan signal.Namun saya pula sangat risau kerana telah mengecewakan orang, maka sesampainya saya di rumah ibu Dzaki, saya bertanya sanggupkah menerima kek yang dah tak berapa cantik akibat cair. Kalau tak sanggup, saya buat semula dan akan hantar keesokannya. Alhamdulillah mujurlah dia sanggup.

Bila tak menang tangan begitu, saya mengambil keputusan untuk tidak membuat penghantaran. Tetapi seperti biasa saya ni selalu tak sampai hati mengecewakan orang.Maka kesibukan itu akan sentiasa berulang dan itu sebenarnya adalah sebahagiaan dari kehidupan saya.





















Friday, May 21, 2010

Truth is, everyone's going to hurt you. You just have to find the ones worth suffering for.



- Bob Marley-

Monday, May 17, 2010

Resepi Daging Dendeng Masakan Tradisi Orang Minang

Terus terang saya katakan saya memang Johor murtad. Biasanya...tekak orang Johor ni, termasuk adik beradik saya sendiri susah nak terima citarasa makanan dari negeri lain. Terutama makanan seperti gulai tempoyak ikan patin ke, masak lemak tempoyak pucuk ubi ke, budu, nasi kerabu dan sebagainya. Memang terjuih-juih mulut dia orang bila saya sebutkan menu-menu tersebut. Eeee tak minat. Tak suka.

Namun masih layakkah saya digelar warga Johor lagi bila, makanan kegemaran masyarakat Johor iaitu asam pedas bukan lagi jadi kegemaran dalam menu seharian saya. Malah saya akan terkecur bila dapat menikmati rendang tempoyak ikan bilis, masak lemak cili padi daging salai campur mangga, kari kepala ikan, laksam kelantan, nasi kerabu dan asam rebus ikan kembung campur sulur keladi.

Selain daripada itu, saya sangat mengemari hampir semua masakan minang. Daging dendeng juga adalah sangat sinonim dengan masakan minang. Di sini saya sertakan resepi daging dendeng secara ringkas untuk anda semua.





























Daging Dendeng


1 kilo daging
300 gm cili merah (dikukus atau direbus, kemudian tumbuk kasar2.
bawang besar 1 biji besar dikisar)
1 biji lagi dihiris tipis
cuka. gula dan garam secukup rasa.


Rebus daging dan potong tipis-tipis lalu goreng sehingga garing ketepikan.
Tumis bawang kisar hingga naik bau dan masuk bawang hiris dan cili yang telah ditumbuk tadi.
Tumis sampai naik minyak dan akhir sekali masukkan gula, cuka dan garam.
Gaulkan daging goreng.
Angkat dan hidang.

Hidup Tidak Perlu Stress

Tidak mudah stress kalau ketawa dan senyuman sentiasa terukir.



Siapa kata manusia hidup di atas mukabumi ini tidak mengalami tekanan atau lebih dikenali dengan perkataan 'stress'. Bukan mudah untuk hidup. Kita perlu berusaha untuk hidup. Dalam usaha-usaha itulah kita akan berhadapan dengan pelbagai perkara yang wujud di sepanjang laluan yang kita tempuh.

Ada perkara yang mudah. Ada yang sukar. Banyak yang indah namun tak kurang juga yang buruk. Banyak yang positif tetapi banyak juga yang negatif.Perkara2 yang negatif itulah yang sering dianggap sebagai tekanan.


Tekanan atau stress boleh menyebabkan kita mudah mendapat sakit kerana tekanan menyebabkan antibodi tubuh badan kita menjadi lemah. Tekanan juga boleh menyebabkan kita kemurungan, mudah bersedih, berdendam, sukar memaafkan, dan cepat nampak tua.

Sebenarnya tidak ada tekanan dalam hidup ini, kalau kita tidak menganggap tekanan itu sebagai tekanan. Kita yang menentukan sesuatu perkara itu sebagai stress atau bukan stress. Minda kita yang mengawalnya.

Walau bagaimana complicatednya sesuatu perkara atau masalah itu, tetapi kita tidak anggap itu sebagai satu bebanan maka kita pasti tidak akan merasa stress. Kalau kita menganggap semua perkara itu mudah maka mudahlah kita menanganinya.

Hidup akan lebih ceria dan bermakna sekiranya kita dapat menangani perkara yang dianggap stress itu dengan bijak.

Friday, May 14, 2010

Rombongan Ke Luar Negara Yang Tak Mungkin Dapat Saya Lupakan



Bilah-bilah hari yang berganti adalah satu cerita tentang semalam. Sebuah kenangan masa lalu. Yang pernah kita dakap dan miliki. Yang pasti kita akan merindui walau rindu itu tidak akan pernah terungkai.


Sebuah cerita yang bukan apa-apa pun namun akan kita hargai bila kita kehilangannya.Kita rindui setelah kita ketiadaannya dan bila masih ada secebis kasih yang tertinggal di sana.



Waktu tak pernah mahu menunggu. Pantas berlari hingga selalunya meninggalkan kita termangu-mangu dan kononnya masih berkira-kira tentang hari kelmarin.


Kelmarin yang saya tinggalkan bukanlah seindah mana namun kini saya merasakan begitu. Saya ingin kembali ke situ. Merasai sejuk pagi yang berkabus. Merendamkan kaki di mata air yang dingin. Menikmati ubi rebus dimakan bersama ikan kering sambil mulut berasap-asap mengunyah ubi yang masih panas.


Berkaki ayam menggodak parit di belakang rumah hinggakan air jernih menjadi keruh perang pekat lalu ikan-ikan puyu yang menghuni disitu terkebil-kebil kelemasan tambah memudahkan saya menangkapnya untuk saya jadikan hiasan sebagai tangkal menghindari kehadiran toyol kononnya.


Hari-hari di pendalaman desa begitu memanglah rutin. Hati selalu meronta-ronta mahu keluar dari kepompong itu.Waktu itu hati rasa jemu.Bosan. Saya mahu keluar dari situ. Saya mahu pergi melihat dunia luar. Menikmati keindahan hidup yang lebih bermakna. Bukan di ceruk desa yang sepi. Yang kelam.


Begitulah apa yang pernah saya lalui. Dan kini saya ingin menerobos dan mengimbau kembali ke zaman itu. Mana mungkin!! Apa yang telah kita tinggalkan tak mungkin akan kembali sama seperti sediakala. Kita kira hati kita berubah namun kita harus tahu keadaan juga berubah setelah kita ucap selamat tinggal. Segalanya tidak akan jadi serupa lagi seperti dulu.


Kelmarin juga, bila dapat berita tentang anak bujang saya Khairi menerima tawaran lawatan sambil belajar ke negeri Jepun pada 1hb Jun nanti, iaitu di bawah tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia, perasaan saya menjadi berbaur antara bangga, gembira dan terharu. Saya bangga anak saya Khairi yang sangat pendiam itu selalu mendapat peluang-peluang keemasan seperti itu. Saya gembira bagi pihak anak saya kerana dalam usia yang masih dibangku persekolahan beliau berpeluang berjalan menimba pengalaman di negara orang yang jauh ke seberang lautan.


Saya rasa sungguh terharu kerana sebenarnya peluang seperti itulah yang pernah saya impikan ketika saya berada di bangku sekolah dahulu. Pantang bila pihak sekolah menganjurkan sebarang lawatan ke tempat-tempat bersejarah atau percutian, sayalah orang yang paling seronok berangan untuk menyertainya.


Namun keinginan saya yang sangat tinggi dan berkobar-kobar melawat ke tempat orang bukan mudah untuk direliasasikan. Tak mungkin saya dapat menyertai rombongan -rombongan yang dianjurkan oleh pihak sekolah kalau untuk ke sekolah pun saya terpaksa berbasikal berbatu-batu jauhnya kerana tidak mempunyai wang untuk membayar tambang bas.


Apatah lagi kalau ke sekolah pun dengan perut kosong dan terpaksa menogok air pili dari sebuah tangki disekolah. Namun saya adalah anak kecil yang selalu mempunyai semangat yang besar. Keinginan melihat tempat orang, melonjakkan semangat saya memikirkan cara bagimana impian saya jadi kenyataan.


Satu hari apabila sekolah menganjurkan lawatan ke zoo Singapura dengan bayaran sepuluh ringgit seorang, saya termenung panjang. Apabila saya menyuarakan kepada ibu, jawapan pasti adalah tidak. Berhari-hari saya merayu.Jawapannya tetap tidak dan tidak. Biarpun ibu saya begitu keras hati namun itu belum berjaya mematahkan semangat saya untuk memujuknya.


Kemudian saya simpan satu tekad. Saya harus rajin menolong ibu menoreh dan mengutip susu getah. Sebelah petang saya tolong ibu memetik buah nenas dan menjual kepada peraih. Dan tekad saya sebenar ialah memujuk ibu agar membenarkan saya mengikut rombongan ke singapura itu. Saban malam dalam kelam cahaya lampu gaslin yang tergantung di bawah bendul pintu tengah rumah itu saya memulakan dailog yang belum jemu saya tuturkan.
Kadang-kadang bila rasa hampir putus asa, bengkak-bengkak mata saya menangis. Menangis dan menangis. Rasa sebak. Rasa sedih. Rasa tidak dipedulikan. Dan sampai satu ketika rasa macam nak mati sahaja.


Agaknya sekeras-keras hati ibu, akhirnya lembut juga bila melihat keadaan saya yang kelihatan begitu bersedih. Akhirnya ibu bersetuju membenarkan saya mengikuti rombongan tersebut.


Malah sebelum bertolak, awal subuh lagi ibu memasak nasi lemak, telur rebus dan sambal bilis yang paling enak pernah saya makan untuk bekalan saya.


Akibat terlalu seronok apabila segala anganan akhirnya jadi kenyataan, saya telah tersilap mengambil beg yang penuh dengan dokumen-dokumen penting yang kemudiannya saya tercicirkannya kerana ketika di dalam bas saya duduk betul-betul di tepi pintu.


Hingga kini peristiwa mengikut rombongan ke Singapura itu jadi kenangan paling saya ingati kerananya nama adik saya yang sudah bertukar dua kali, bertukar lagi kali ke tiga. Dulu bila arwah ayah saya, mahu menamakan nama adik saya Kasmidah, si penulis daftar nama di balai polis itu begitu jahil itu telah menulisnya dengan nama Kasmedeh. Kemudian bila saya telah menghilangkan surat-surat beranak dalam beg waktu rombongan ke Singapura itu, maka arwah ayah melapurkan dan memohon surat beranak baru untuk adik beradik kami semua dan sekali lagi nama adik saya bertukar jadi Kasmeheh. Itu nama jawa atau nama hindustan? Yang pasti itu adalah kenangan yang tak mungkin saya lupakan.

Thursday, May 13, 2010

Hari Itu Akulah Ibu Paling Bahagia

Pagi yang dingin saya terus mendekam di bawah selimut tebal yang lembut. Hmmm....barulah hari yang indah ini saya dapat menyambung balik tidur dan bergolek-golek di atas tilam hotel yang empuk selepas solat subuh. Telefon berbunyi dan suara manja sorang-sorang anak menelefon mengucapkan hari ibu.

Hati sungguh terhibur bila anak-anak begitu sporting melepaskan saya pergi bercuti bersama seorang kawan ke Johor Bahru. Tambah terhibur bila teringat perbualan telefon dengan Alisya.


Alisya : Assalamualaikum mama

Mama : Waalaikumusalam sayang

Alisya : Mama, selamat Hari ibu, Alisya love mama.

Mama : Thank you, i love you too sayang...

Alisya : Mama, Alisya dah kemas bilik Alisya.

Mama : Hmmm Bagus Alisya. Alisya dah mop semua sekali ke?

Alisya : Alisya sapu aje...kak Hanis kata nanti tunggu dia tolong mop. Sebab tangan Kak Hanis
dah lenguh mop satu rumah.

Mama : Oh ok...nanti Asliya bubuh pewangi aromatherapi ya...biar bilik Alisya wangi.

Alisya : Ok...ok mama bye...jaga diri tau mama...i love you.

Mama : Ok sayang i love you too.


Tersenyum senyum saya seorang bila anak saya yang berumur 10 tahun berpesan-pesan
kepada ibunya yang sudah berumur 44 tahun supaya menjaga diri....hmmm hebat anak-anak saya ni....



Sejuk hati saya sebagai seorang ibu bila mendapat sms begini dari seorang anak bernama Hanis......


Bersarapan pagi di coffee house The Zon Johor Bahru bersama seorang kawan Datin Haryati.



High Tea Sempena Hari Ibu Tajaan MITI Group Johor Bahru



Main sms lah apalagi....sampai jam telefon tu....






Tak habis-habis berdandan.




















Friday, May 7, 2010

Bila Anak Dara Saya Putus Cinta

Saya sangat rapat dengan anak-anak. Itulah hakikatnya.Mungkin salah satu sebab adalah bila di rumah anak-anak selalu makan hasil air tangan saya dan bila diluar anak-anak makan hasil titik peluh saya.


Saya sangat ikhlas dan bahagia berbuat begitu. Orang kata kalau kita ikhlas, kita tak kan sebut-sebut. Saya tetap mahu mengatakan yang saya ikhlas dan saya ingin menyebutnya.Saya katakan begitu kerana saya rasa bahagia, seronok dan sedikitpun tidak terkilan walau tenaga saya, masa saya, duit saya habis hanya untuk anak-anak merasa gembira.


Apa sahaja yang terdaya dan termampu akan saya lakukan untuk mengendalikan urusan semua anak-anak saya walaupun dengan kesibukan saya menjalani aktiviti membuat kuih muih dan kek.


Anak-anak tahu dimana letaknya saya dalam hidup mereka, hati mereka. Sebenarnya itu yang lebih penting bagi saya bila anak-anak hanya mahu saya disamping mereka, hanya mahu saya tempat mengadu, kawan bercerita dan sebagainya.


Baru-baru ini bila anak dara saya putus cinta, dia mengadu pada saya.Saya pun bertanya, samada dia masih mencintai atau tidak, Dia kata dia masih mencintai. Dan saya tanya lagi samada lelaki itu masih mencintainya atau tidak, Dia jawab, masih.


Kemudian saya tanya, kalau masih cinta kenapa putus.Dia kata, susahlah sebab lelaki itu tak tahu bagaimana nak mengambil atau menjaga hatinya dan hati keluarganya. Dia cuba, tapi susah, kerana lelaki untuk tidak berupaya membuat keputusan sendiri dan sangat bergantung kepada ibu-bapanya. Jadi dia rasa yang perhubungan itu susah berjaya.

Kesian dia. Saya faham situasi dia. Saya sentiasa menyokong apa yang dia rasa terbaik untuk diri dia. Mudah-mudahan ada hikmah sebaliknya kesedihan hatinya. Mudah-mudahan Allah akan sentiasa memberkati hidupnya dan akan bertemu jodoh yang baik, yang mencintainya dan dicintai sepenuh jiwa dan raga.


Saya dan anak-anak selalu berbual dan berbincang tentang apa jua topik dan permasalaahan yang dihadapi oleh mereka dan juga masalah yang dihadapi oleh saya sendiri. Kami selalu bersama dalam kebanyakan aktiviti harian. Hampir setiap di mana ada saya, di situ ada anak-anak.

Itu semua adalah penggerak semangat saya untuk lebih kuat menghadapi segala cabaran hidup ini. Insyallah.

Thursday, May 6, 2010

Jangan Jangan

Resepi Udang Goreng Tepung

Amboi..amboi semenjak dua menjak ni semangat masak lauk-pauk kat rumah. Semalam masih lagi dengan seafood. Al maklum hari tu beli udang besar setengah kilo boleh buat dua kali masak. Lagipun seafood ni tak sedap simpan lama-lama dalam peti sejuk. Kalau boleh balik dari pasar terus masak.

So itulah jadinya, hari pertama seafood, hari kedua pun seafood. Hari ini kalau sempat nak masak daging dendeng dengan daging salai masak lemak cili padi. Tengoklah kalau semangat masih jitu.




Ikan Senangin Goreng Kunyit, Sambal Udang Petai dan Udang Goreng Tepung...itu saja yang sempat. Lepas masak terus pecut pergi ikea lunch date dengan kawan.


Udang Goreng Tepung.


Resepi.

(Udang setengah kilo)
Buang kulit udang tinggal ekor dan marinate dengan sedikit garam dan pepper.
Bancuh tepung dengan air, sedikit garam, chicken stock dan secubit soda bikarbonat.
Celup udang dalam bancuhan tepung dan goreng dalam minyak yang banyak.

Tuesday, May 4, 2010

Resepi Butter Prawn Yang Temptation

BUTTER PRAWN

Saya ada satu perangai, yang kalau dah nak masak, mesti nak masak at least tiga empat jenis lauk. Kalau tak rasa macam lauk tu tak cukup quorum pulak.

Bayangkan kalau dengan perangai yang begitu saya amalkan, sedangkan yang nak makan cuma kami bertiga, makan segala perihal masak-memasak di rumah ni mahu sahaja saya lupakan.


Tetapi dek kerana anak dara saya yang kuat nagging suruh saya masak, yang selama ini berada diperantauan baru sahaja kembali bercuti semester maka saya gagahkan juga badan untuk ke pasar dan terus masuk ke dapur untuk menyediakan juadah makan tengahari tadi.

Inilah lauk-pauk yang saya masak tengahri tadi dan di sini saya paparkan sekali untuk pembaca blog saya yang amat saya sayangi resepi butter prawn yang sedap hingga menjilat jari.Jangan marah macam puji diri sendiri je.hehehe.


Ikan Talapia Laut Masak Tiga Rasa, Taugeh Ikan Masin, Butter Prawn, dan Kepah/Lokan/Kupang. (Sila namakan nya)

Juadah tengahari untuk kami berempat.



Resepi Butter Prawn


250 large prawn
(Marinade with salt and pepper and oil for deep frying, deep fry prawn until just cooked and drain, put aside)

3 tbsp butter
3 egg yolk, lightly beaten
(Heat oil. Pour down the beaten egg yolk from a certain height. Use the back of a big laddle to swirl the egg yolk mixture around briskly (this is to form fine strands). Put aside.

2 stalks curry leaves, use the leaves only
3 tbsp quaker oats
10 cili padi and slice thinly
2 tbsp condensed milk
2 tbsp evaporated milk

Seasoning

salt
chicken stock
sugar pepper

(Heat 3 tbsp oil and butter), fry curry leaves and 1 tbsp oats. Put in chili padi and seasoning. Add in prawns, evaporated and condensed milk. Fry briskly and toss all the ingredients well. Add the rest of oats and fry untl crispy. Add in egg yolk strands and stirly fry until well mixed.

Dish up and serve immediately.

Kebencian Di Hati Kita Adalah Satu Halangan Untuk Allah Melimpahi Rahmat Kepada Kita.

Selalu sangat terluka. Memang tak dapat nak elak. Kadang-kadang cuba jadi kebal. Tak mahu emosi sangat. Tak nak jadi cengeng. Nangesss.Tapi apakan daya, airmata tetap berlumba-lumba nak terjun jugak.

Tak apa biarlah airmata tu. Yang penting bagi saya, walau hati selalu terluka saya cuba pulihkan dengan sebuah perasaan kasih sayang yang menyapu segala luka. Saya tidak balas segala kelukaan itu dengan amarah dendam.

Banyak kali saya pijak-pijak ego sendiri. Saya tak segan silu merayu kemaafan hanya kerana tak mahu sesebuah hubungan yang sangat akrab tiba-tiba terputus begitu sahaja.

Satu sahaja prinsip yang perlu kita pegang sampai bila-bila. Dan saya pun mahu berusaha untuk berpegang pada prinsip itu. Biar orang melukai dan membenci kita tetapi jangan sekalipun kita melukai dan membenci orang.

Jangan ada sekuman pun perasaan benci terhadap orang lain. Bagi diri saya, bila tak ada seorang pun disekeliling hidup kita yang kita benci, maka hati akan jadi tenang, setenang bayi yang tidur nyenyak.

Sebenarnya banyak terjadi kita membenci orang tanpa sebab yang hakiki. Mengapa kita biarkan hidup dan hati ini membiak kuman kebencian yang tidak berasas bahkan membuat hati dijangkiti penyakit gundah. Contohnya, kadang-kadang hanya kerana kita tak suka tengok bentuk badan sesorang artis tu, kita membenci dia. Bila kita tak suka, cara pemimpin tu bercakap, kita benci dia, bila kita tak suka tengok teman sepejabat berpakaian, kita benci dia.

Kenapa perlu membenci. Lepaskanlah segala perasaan benci itu. Buang jauh-jauh dari bersarang di hati. Insyallah, hati lebih tenang, perasaan lebih ringan dan Allah akan beri kebahagiaan jitu tanpa dihalang oleh kebencian terhadap sesama insan.

Kadang-kadang kita hairan kenapa seseorang gadis itu lambat bertemu jodoh. Kita tidak pernah tahu bahawa sigadis itu banyak menyimpan perasaan benci terhadap orang lain yang menjadikan salah satu sebab Allah halang kelancarannya mendapat jodoh.

Kita hairan mengapa sesorang itu sentiasa ditimpa kesusahan yang tak berkesudahan tetapi pernah kah kita tahu mungkin dia ada menyimpan dendam atau kebencian terhadap saudara-mara yang menjadi salaha satu sebab Allah menghalang rahmat melimpahi hidupnya.

Jadi jangan ada benci dihati ini. Melainkan perasaan yang dipenuhi kasih sayang semata-mata.

Monday, May 3, 2010

Mana Yang Sempat

Minggu yang hectic giler. Tempahan kek dekat 20 biji. Hari Jumaat make up dinner salah seorang kawan blogger, Mamashasha. Masa tu jugaklah ada plan yang dah lebih seminggu dengan kawan facebook nak bawa anak masing-masing pergi melalak kat kotak merah. Tapi alahai mak arissa budak yang suka makan kertas tu balik ambil anak dia dekat pukul 8.30 malam, maka sessi berkaraoke pun melepas.

Weekend macam dah tak boleh nak berdiri, penat giler, giler,giler penat. Hari ini akibat dah terlalu penat, tetamu datang kat rumah, saya bawak sarapan pagi di luar sahaja. Malam sebelum tu cadang nak bawa kakak ipar sekeluarga merasai juadah nasi arab direstoran saba cyberjaya, tapi dek tak nak menyusahkan saya, mereka keluar dan makan sendiri.

Hari ini, saya beli makanan siap-siap untuk anak-anak makan di rumah kerana saya akan bertolak sendirian ke Segamat untuk mengambil Hanis mula bercuti semester.


Nasi Ambang, cecodok pisang, kuih koci dan popia basah untuk Imran, Hafiz, Alisya dan Arissa.

Goreng mee basah yang simple-simple sahaja.


Anak-anak saya lebih suka makanan begini daripada nasi.




Potong jambu yang saya petik dibelakang rumah, bubuh gula, cili dan asam boi.....