Thursday, December 31, 2009

IBU MENGANDUNG JANGAN LANGGAR PANTANG

Pengalaman banyak mengajar saya menjadi seorang yang cekal. Ketika baru mencecah usia 20 tahun saya mengandung anak pertama. Dan ketika usia 21 tahun saya melahirkannya. Sepanjang tempoh itu ibu saya langsung tidak pernah datang menjenguk apatah lagi hadir ketika saya melahirkan anak.

Bukan sahaja ketika saya mengandung dan melahirkan ketujuh-tujuh anak dan sepanjang berpantangkannya, ibu saya tidak hadir, bahkan ketika anak kedua saya meninggal ketika masih di hospital selepas seminggu dilahirkan pun ibu saya tidak mahu hadir dengan alasan ayah saya baru dua minggu meninggal.

Dari mula saya pasrah. Begitu juga dengan suami saya. Kami lalui segala kesulitan dengan penuh ketabahan. Begitu juga anak-anak saya. Ketika saya mengandung dan melahirkan, suami dan anak-anak sentiasa menjaga saya waktu di rumah mahupun ketika di hospital.

Pun begitu saya tetap bersyukur kerana mempunyai suami yang setia dan bertanggungjawab serta anak-anak yang begitu memahami segala situasi yang kami hadapi. Dan alhamdulillah saya pula menjalani proses mengandung dan melahirkan ketujuh-tujuh anak saya dengan mudah dan lancar tanpa sebarang komplikasi. Maka apa yang terjadi memang ada hikmah disebaliknya.

Walaupun tanpa bantuan dan panduan seperti yang insan lain perolehi, namun saya kutip segala ilmu dan panduan melalui pembacaan dan kawan-kawan yang lebih berpengalaman.

Justeru itu untuk melahirkan anak yang sihat dan bijak anda harus memulainya ketika dari dalam kandungan lagi. Melalui pengalaman saya ketika mengandung ;

1. Saya amalkan makan limpa dan hati lembu untuk tambah darah.

2. Saya amalkan makan ikan untuk mendapat anak yang bijak.

3. Saya amalkan makan kacang hijau agar anak berambut lebat.

4.Saya amalkan makan kacang soya dan buah oren agar anak berkulit cerah

5. Saya minum banyak susu untuk tulang yang kuat.

6. Saya kurangkan makan lobak kerana khuatir anak menghidap jaundice.

7. Saya kurangkan minum air kelapa kerana khuatir anak mendapat lelah.

8. Saya makan nenas dan tapai hanya setelah kandungan mencapai 5 bulan.

9. Saya makan folic asid dan obimin seperti yang diarah oleh doktor.


10. - Saya sentiasa jaga diri agar tidak melanggar pantang orang tua-tua. Salah satu daripadanya seperti, jangan duduk ditengah-tengah bendul pintu iaitu ke dalam tidak ke luar pun tidak kerana dikhuatiri bila melahirkan, anak tersangkut di pintu rahim antara ke luar tidak dan ke dalam pun tidak. Kelahiran begini harus dibantu dengan penggunaan forcep atau vakum. Namun tempat-tempat yang dilarang begini selalu menjadi kegemaran saya ketika mengandung. Jadi saya selalu kena beringat.

Memang banyak terjadi kelahiran yang begitu akibat langgar pantang, walaupun itu semua adalah kebetulan sahaja, namun saya memang jaga untuk mengelakkannya kerana 'at the end of the day' saya juga yang akan menempuh susah payah bersalin. Jadi kalau ada petua mengelakkannya., 'why not?' Bukankah Allah Maha Kaya. Mungkin Dia nak tunjuk atas kedegilan kita. Allahualam.

- Saya elakkan mengupas kulit buah-buahan dari arah bawah ke atas kerana khuatir melahirkan anak songsang.

- Saya elakkan memukul memarahi binatang waima mengata sebarang makhluk Allah s.w.t kerana khuatir anak terkenan.

- Saya elakkan melawan cakap ibu mahupun suami saya.

11. Yang paling penting untuk dapatkan anak yang cantik, saya amalkan mana-mana surah Maryam, anak yang kacak, surah nabi Yusof, dan ayat-ayat lazim Al-Qur'an.

Insyallah, Allah Maha Kaya lagi Maha Mendengar, apa sahaja doa dan harapan kita terhadap anak-anak yang bakal dilahirkan, pasti akan termakbul.

Wednesday, December 30, 2009

DIA MAKCIK SAYA

Dulu saya paling 'adore' sikap salah seorang makcik saya terhadap anak-anaknya.Beliau seorang lemah lembut dan penyayang.

Sewaktu kecil dulu, hampir setiap hari saya akan bertandang dan bermain di rumah makcik saya ini, jadi saya memerhatikan cara dia membesarkan anak-anaknya. Beliau memang seorang ibu yang sangat mengambil berat akan keperluan anak-anaknya sekalipun kehidupan mereka sekeluarga bukan lah senang sangat.

Dari keperluan makanan, pakaian, perkakas dan yuran sekolah hinggalah kepada sesuatu yang kurang perlu seperti barang-barang permainan anak-anak tetap disediakan sebaik mungkin walau pendapatan orang kampung seperti kami waktu itu sekadar kais pagi makan pagi.

Sikapnya yang sangat redha dan penyabar dan mendidik anak-anak yang sedang meningkat remaja, memang sangat saya kagumi. Hampir tidak pernah melihat beliau meleteri anak-anaknya. Ada waktu-waktunya, bila anak-anak membangkang nasihat beliau, beliau cuma menunjukkan kemarahan dan kekecewaan beliau dengan deraian airmata.

Sekarang bila saya mendidik anak-anak, banyak sifat-sifat mak saudara saya terapkan dalam diri saya. Saya jadikan dia sebagai idola saya kerana dalam diri beliau memang ada ilmu 'parenting skill' secara semulajadi.

Bagi saya untuk menjadikan anak-anak anda hebat, anda haruslah sanggup menjadi ibu yang hebat. Namun tidak ada jalan yang mudah untuk menjadi ibu yang hebat melainkan anda :-

1. Seorang ibu yang rajin. Anda akan sentiasa dikagumi oleh anak-anak apabila anda mempunyai sifat rajin. Anak-anak juga mahu sentiasa menjadikan anda idola mereka. Ini menjadikan mudah untuk mendidik anak-anak untuk sentiasa mendengar nasihat anda.

2.Seorang ibu yang suka masak. Menangi hati suami dan anak-anak melalui masakan anda.

3. Jadilah ibu yang suka mendengar daripada didengar. Ibu yang tidak banyak bercakap atau berleter, lebih dihormati dan disayangi anak-anak.

4. Jadilah insan yang penyayang terhadap semua makhluk Allah s.w.t. Sayang binatang terutama binatang kesayangan nabi kita s.a.w iaitu kucing juga merupakan satu terapi untuk mendidik dan memupuk perasaan kasih-sayang dalam diri anak-anak.

5.Selalu duduk bersama semua anak-anak untuk mendengar mereka bercerita apa saja topik dan ambil peluang untuk anda bercerita tentang kisah-kisah tauladan dan kisah sewaktu anda kecil.

6. Cuba sedaya upaya memenuhi apa sahaja kemahuan anak-anak dan terangkan secara terperinci sekiranya kita tidak mampu untuk memenuhinya.

7. Usahakan untuk sering bersama anak-anak walau kemana kita pergi terutama ke tempat-tempat yang disukai oleh anak-anak.

8. Anak pertama yang berjaya akan menjadi ikutan adik-adiknya. Sekiranya anda mampu, pastikan anak pertama mendapat pendidikan yang terbaik seawal mungkin.

9. Jangan paksa anak anda makan banyak. Sekiranya dari kecil anak anda sudah biasa makan banyak, mereka hanya ingat makan, makan dan tiada kepentingan lain selain dari makan dan otak akan berhenti bekerja.

10. Jadilah ibu yang penyabar dan penuh kasih sayang. Hari ini anda menyayangi anak-anak, esok lusa anak-anak akan lebih menyayangi anda.Apabila anak-anak menyayangi ibu mereka, sudah pasti mereka berusaha untuk menggembirakan hati ibu bapa.

Thursday, December 24, 2009

BESDAY MOM

Posing sket ah....Dah lama tak melawa ni...

28hb Disember ni hari jadi saya. Wah bukan main gembar=gemburkan tarikh hari jadi. Kalau muda belia tu kot lah ada jugak yang mengintai-mengintai try nak hantar hadiah...paling tak pun setangkai ros atau kad ucapan.

Ni dah jadi mak-mak ni sapa lagi kalau bukan anak-anak berbisik sama sendiri agar tak kedengaran oleh saya rancangan mereka nak cari hadiah yang sesuai dan sepadan dengan kedudukan kewangan mereka mengikut saiz tabung masing-masing.

Tapi naluri ibu ni kuat. Tahu saja segala gerak laku anak-anak tu. Apa taknya nak beli hadiah untuk emak, sorok-sorok tapi pergi shopping sekali dengan emak. Hehe yang si emak tu berlakon je la buat-buat tak tahu ...bagi chance kat depa no..

Seronok jadi emak ni. Semua anak berlumba-lumba nak cari hadiah yang paling dikehendaki dan disukai oleh ibu mereka. Masa tu segala penat dan jerih payah membesarkan mereka hilang begitu saja.

Menjelang harijadi saya ni hadiah yang paling bermakna untuk saya bila anak sulong saya Liana grad dalam kursus ijazah ukur bangunan, Imran mendapat 5A dalam UPSR, Hanis dengan CGPA 3.94 dan hari ini Khairi mendapat 9A dalam PMR. Alhamdulillah syukur kepada Allah S.W.T termakbul segala doa saya.

Bagi saya anak-anak yang baik dan berjaya merupakan satu hadiah paling berharga buat semua ibubapa.

Tuesday, December 22, 2009

Sekeping Nota Biru

Kau lupa pagi tadi
Dah tujuh hari asyik mesyuarat
Dah tujuh hari pun mampu cuma intai kelibat

Kau lupa malam tadi
Dah tujuh hari tak menyapa
Dah tujuh hari pun belum ingin bermesra

Kenapa kau semakin kalut
Kepala pun semakin serabut
Hati ribut
jiwa pun kabut

Sibuk ke kau
Orang lain sibuk juga
Kerja ke kau
Orang lain kerja juga
Cari kesenangan ke kau
Orang lain nak senang juga

Atau kau tak macam orang lain
Atau kau ada kepentingan lain
Selain aku

kau pandanglah ke tepi langit
Pelangi di situ
Sekejap cuma
Tak berapa lama

Apa yang kau mahu dalam hidupmu
Kalau yang kau hindari itu aku

Apa yang kau simpan dalam hatimu
Kalau yang hilang itu aku

Apa yang kau kejar dalam destinasimu
Kalau yang tertinggal itu aku

Apa yang kau kendung dalam hari mu
Kalau yang tercicir itu aku


Wahai kau
Aku masih di sini
Belum mahu mengira-ngira
Belum ingin mengorak langkah
Masih mahu kau


Selamat malam
Siang tadi hari jadi ku…..

Monday, December 21, 2009

Kalau Itu Lagu Cinta

Apa saja lagu yang tercipta saat itu
Berkumandang menghangat nafas cinta
Yang ku hela
Yang padu dalam dada
Yang ku rasa pendek panjangnya
Yang menggetar
Di segenap tunjang saraf
Rasa rindu yang memukul
Sendi-sendiku
Lalu aku duduk
Ku lunjurkan segenap rasa
Cinta yang singgah
Melekat
Merangkul
Tak ingin ku lepas

Apa saja irama yang bermusim waktu itu
Melagu memanis halwa telinga
Yang ku dengar
Yang ku ikut rentak dalam hati
Yang kuhayati lambat dan cepatnya
Yang ku hafal
Di setiap baris senikatanya
Dan rasa cinta yang menampar
Pipi kiri kananku
Lalu aku diam
Ku depangkan seluruh tenaga
Rindu yang bertandang
Berpaut
Memeluk
Tak ingin renggang

Monday, December 14, 2009

Biar

Kadang-kadang untuk tidak kurang ajar
aku jadi hipokrit

Kadang-kadang untuk tunjuk rasa hormat
aku memang hipokrit

Sampaikan hati aku rasa jengkelpun
aku masih hipokrit

Bukankah kadang-kadang hipokrit itu perlu

Kerana ada masanya aku tak perlu berterus terang
ada waktunya aku tak perlu jujur
ada ketikanya hipokrit itu lebih penting.

Biar aku hipokrit asal tidak sakitkan hati orang
Biar aku hipokrit asal tidak singgung perasaan orang
Biar aku hipokrit asal tidak ada hati yang tercalar!!!


Aku rasa tidak perlu menegakkan sesuatu kalau sekadar mahu menimbulkan ketegangan
aku rasa tidak perlu menegur kalau bukan untuk mendidik.

Lebih baik diam daripada berkata-kata
Lebih baik hipokrit daripada terus terang yang menyerang....


Hipokrit itu kadang-kadang memang perlu!!!
Bagi aku lah.....